Saturday, December 31, 2011

Kerana Mereka Adalah Suami Isteri

Aku Terima Nikahnya sudah dilengkapkan dalam tiga siri. Setiap satunya menekankan sudut-sudut yang menjadikan buku sebelumnya tidak ‘tergantung’.

Setelah siri Aku Terima Nikahnya landing dengan topik Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai murabbi kepada cinta kita, saya tidak berhajat untuk membuka semula apa yang telah kemas tersimpul. Biarlah ATN begitu.

Demikian.

Namun saya sedar, ia hanyalah rakaman kepada satu peringkat daripada peringkat-peringkat yang ditempuh oleh sebuah perkahwinan.

Andai MAWADDAH [al-Rum 30: 21] itu diertikan sebagai ‘cinta yang bertambah hasil kejayaan mengatasi cabaran‘, ertinya proses Mawaddah tidak pernah selesai. Cabaran-cabaran bagi sebuah rumahtangga menjelang usia ‘mid life‘ akan terus mengunjungi perkahwinan kita. Pelbagai warna, pelbagai rupa.

Hakikatnya juga, selepas 10 tahun berumahtangga, benda-benda yang lebih realistik untuk diperkatakan banyak menuntut bicara tentang krisis. Tentang masalah. Dan bagaimana hendak mengatasinya. Cabaran bagi sebuah rumahtangga di usia seperti usia saya dan isteri, semakin dalam dan mencungkil diri kami berdua.

Cabarannya semakin peribadi.

Semakin menguji.

Mengendalikan rentak kehidupan antara sempadan AKAD dan TALAQ adalah sebuah perjuangan.

Justeru, bagaimanakah perkara-perkara itu hendak dibicarakan?

Jika ia mendedahkan kelemahan dan kesilapan saya untuk dicari iktibarnya, membuka pekung di dada sendiri, demi sebuah kejujuran dalam bicara, saya mampu melakukannya, Insha Allah. Saya akan mengambil tanggungjawab ke atas maruah diri sendiri.

Tetapi, bagaimanakah hendak membicarakan tentang pahit maung rumahtangga tanpa berkata tentang kelemahan isteri? Kesalahannya? Kelakuan dan perangainya?

Bagaimana dengan kelemahan dan kesilapan anak-anak? Ketika mereka semakin mumayyiz dan ‘Aqil dalam memahami apa yang ditulis dan diperkatakan tentang mereka?

Dari Jabir: Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka. [Hadith riwayat Muslim]

Menulis yang baik-baik, bunyinya seperti cuba menggambarkan seolah-olah rumahtangga saya itu pelanginya pagi ke petang.

Menulis yang buruk-buruk, keji pula saya mengaibkan insan-insan yang saya kasihi di mata ramai.

MENELADANI CARA RAKAMAN RUMAHTANGGA NABAWI

Melihat kepada hadith-hadith Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang rumahtangga Baginda, kita memang bertemu dengan pelbagai perkara yang boleh difahami sebagai keaiban. Bukan semuanya indah-indah belaka. Cemburu sang isteri, kesilapan perhitungan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada mendamaikan cemburu para isteri (yang ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Tahrim ayat 1), kelakuan-kelakuan manusiawi para Alul Bayt, semuanya dirakam dengan telus dan tulus.

Membaca hadith tentang rumahtangga Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, ia tidak ubah seperti sebuah drama. Ada ilmunya, ada tawa, ada duka, ada menang dan ada kalah, ada peluh dan air mata. Namun kesemuanya digarap sebagai teladan dan sempadan daripada Rumahtangga Nabawi kepada kita.

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [Al-Nisaa' 4: 19]

Saya mengambil teladan itu untuk mencari panduan diri dalam kendali rumahtangga. Mencatat pengalaman itu, dalam bentuk tulisan yang mudah-mudahan boleh berfungsi sebagai panduan. Teruji pula dengan hakikat diri sebagai penceramah dan jurulatih yang menjadikan rumahtangga sebagai core subject.

Namun sukar buat saya. Sukar mencari bahasa optimis dan positif, pada membentangkan ibrah daripada sebuah krisis.

Buku Bestseller yang ditulis orang seorang lelaki yang pernah bercerai dan runtuh rumahtangga pertamanya

Seperti John Gray yang membuat pengakuan bahawa dirinya pernah gagal dalam perkahwinan pertama, sebelum munculnya buku Men Are From Mars, Women Are From Venus.

Gray married self-help author Barbara De Angelis and they divorced in 1984. Gray married his current wife, Bonnie in 1986. Gray has two daughters from his wife Bonnie’s previous marriage and another daughter together. – petikan Wikipedia

Dek gagal mencari titik jawapan yang jelas kepada persoalan ini, saya hilang momentum dalam menulis tentang keluarga. Majalah ANIS kehilangan saya sebagai kolumnis, dan saya kehilangan Majalah ANIS sebagai sumbangan.

Jarang sekali menulis tentang rumahtangga dan keluarga.

Di tahun ke-10 perkahwinan kami, manisnya hidup berumahtangga semakin lain dari biasa. Ia bukan lagi manis kerana asalnya manis, tetapi manis apabila satu demi satu krisis berjaya diatasi.

Apa yang saya mampu lakukan hanya bersabar.

Sabar apabila ada yang menuduh saya cuba membina bayangan khayalan tentang sebuah rumahtangga dek kurangnya berbicara tentang masalah, pergaduhan, keaiban dan hal-hal yang sinonim dengan realiti sebuah rumahtangga.

Namun syabas bagi mereka yang mampu untuk read between the lines bahawa rumahtangga saya sama seperti rumahtangga orang lain.

Dan syabas juga kepada anak bujang yang faham bahawa, uniknya cinta antara seorang suami dan isteri ialah, seburuk mana pun kelakuan suami kepada isteri, dan seteruk mana pun perangai isteri kepada suami, akhirnya mereka kembali kepada sebuah damai, kerana mereka adalah SUAMI ISTERI.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

No comments: