Sunday, December 19, 2010

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud :

"Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya"

Dalam melayari bahtera dakwah, pastinya tersedia ombak yang menggunung tinggi. Menguji akan nahkoda dan segala yang berada di atas kapal itu.

Jika nahkoda gagal mengemudi, pembantu nahkoda gagal membantu serta anak-anak kapal tidak cakna, maka karamlah kapal itu walaupun sebesar kapal Titanic.

Betapa perlunya 'akhlak' pada setiap unit anggota di atas kapal. Fikir-fikirkanlah!!

Tuesday, May 25, 2010

Cinta Di rumah Hassan Al-Banna

Assalamualaikum,

Bapa Ibu Yang Dimuliakan,

Selalunya apabila kita membaca perihal sejarah Syeikh Al Syahid Hassan al Banna;maka kita menjadikan beliau sebagai tokoh dakwah yang hebat,pemimpin islah yang mujahid,genius, cerdas dan murabbi.Maka banyaklah penulisan beliau yang kita baca dengan harapan kita dapat mengikuti tarbiyah dan dakwah kotemparari yang di bawa oleh beliau dan jamaah Ikhwan Muslimin. Namun dalam keghaihrahan kita mengutip ilmu -ilmu yang ditinggalkan beliau pada umat Islam,jarang sekali kita membaca perihal Syeikh Hassan al Banna sebagai model dan contoh ketua keluarga. (termasuk diri yg menulis ini)

Kebetulan saya terbaca dalam salah satu buku yang bertajuk "Cinta Di Rumah Hassan al Banna" yang ingin saya kongsikan dengan bapa ibu betapa hebatnya seorang tokoh yang mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT dalam membentuk rumahtangga yang pendakwah yang berjaya.Tajuk ini juga pernah saya bicarakan bersama dengan rakan-rakan perbincangan kami.Fokus catatan saya melihat bagaimana Hassan al Banna dalam mendidik anak-anak beliau seramai 6 orang (Yang sempat bersama beliau ialah seramai 4 orang)

Kita semua sedia maklum akan kesibukkan Syeikh Hassan apatah lagi beliau ketika itu adalah pemimpin kepada gerakkan Ikhwan Muslimin. Masanya banyak digunakan untuk Dakwah dan beliau banyak bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam menggerakkan ummah ketika itu.

Percaya atau tidak, bapa ibu yang dimuliakan- antara kelebihan Syeikh Hassan dalam mendidik anak-anakbeliau ialah:-

i) Sesibuk mana beliau,Sheikh Hassan akan memastikan untuk makan bersama dengan keluarga dan akan menggunakan kesempatan tersebut dalam memberi hak beliau terhadap keluarganya.

ii) Tidak pernah meninggikan suara samada pada anak atau isterinya nya walaupun ada tikanya beliau berada dalam keadaan tertekan.

iii) Mengambil berat tentang hal-hal anaknya.Beliau menyimpan data dan carta setiap anaknya yang antaranya ialah tarikh kelahiran,no kelahiran, sejarah penyakit anak,pelajaran anak-anak,disiplin anak-anak dan sebagainya.

iv)Menyediakan keperluan rumah- beliau akan memastikan keperluan rumah mencukupi dan mencatakan keperluan tersebut samada mencukpi atau tidak.

v) Dalam kesibukan ,beliau masih sempat mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak nya dan memastikan anak-anaknya tidak ketingalan dalam pelajaran. Beliau sendiri akan menghubungi guru-guru jika anak-anaknya lemah dalam mata pelajaran tersebut.

vi) Beliau mengambil berat mengenai displin anak-anak dan mengambil berat tentang bahan bacaan yang dibaca oleh anak-anaknya. Jika anak-anaknya didapati membaca bahan bacaan yg tidak manafaat maka beliau akan memberi buku dan menasihatkan anaknya dengan cara terbaik.

v) Memastikan anak-anaknya mendapat belanja persekolah dan mendidik anak-anak membuat tabungan.

vi)Tidak menyusahkan isterinya. Pernah ketika mana beliau balik membawa sahabatnya di waktu malam dan isterinya telah tidur. Syeikh Hassan tidak mengejutkan isterinya malah beliau sendiri meyediakan minuman dan makanan untuk tetamunya itu.

vii)Amat teliti ketika balik rumah di waktu malam. Beliau akan membuka pintu dengan kunci secara perlahan dan tidak menggangu isteri serta anak-anaknya.

viii)Bermain bersama-sama anaknya ketika alapang.

Sebenarnya banyak lagi contoh yang diceritakan oleh anaknya dalam buku tersebut, Alangkah jauhnya perwatakkan beliau dengan diri ini. Ketika mana saya menceritakan perkara ini pada rakan-rakan saya,maka kami akui betapa lemahnya kita berbanding dengan beliau . Saya memberitahu antara kesilapan besar saya sebelum ini adalah dengan menyerahkan hal pendidikan pada isteri saya dan ternyata kudrat dan keupayaan merka mempunyai batasan.Alhamdulill ah Allah SWT masih menyayangi kami ketika itu kerana memberi kesedaran betapa si bapa harus berperanan besar dalam menentukan arah dan halatuju anak-anak ini.

Memang benar kata salah seorang rakan kami-jika nak tahu samada kita berjaya atau tidak dalam pendidikan anak-anak ialah bilamana dia menjadi kita sebagai idola dalam kehidupannya, kalau nak cari jodoh maka si anak akan katakan yang dia ingin kan pasangannya sepertimana bapa atau ibunya!!!!!. Jika dalam berdakwah dialah yang menjadi penyambung pada warisan ibu bapanya.

Semoga sedikit catatan ini dapat menyedarkan kita khususnya kaum bapa bahawa peranan mendidik anak-anak harus dipikul sepenuhnya oleh sibapa dan siibu menjadi pelengkap kepada terbinanya generasi anak-anak soleh dan solehah.Ibarat matahari dan bulan yang lengkap menlengkapi antara satu sama lain.

Sesibuk mana atau sehebat mana si bapa dalam berdakwah;luangkanl ah masa untuk memberi hak pada anak-anak dan pada isteri anda kerana kegagalan kita mendidik-mendidik anak-anak dan isteri akan menyebabkan fitnah pada gerakan Islam.

Wednesday, February 3, 2010

Pernikahan Robot Muslim

Pernikahan Robot Muslim

Sumber : http://saifulislam.com/?p=7520


Sukar sekali mahu menjentik minda.

Lain yang diungkap, lain benar kefahamannya.

Mengupas sisi-sisi terlindung pada minda anak muda yang merancang untuk berumahtangga, sering menimbulkan reaksi yang lelah. Malah tidak kurang yang mencetuskan isu baru, seperti terhasilnya artikel yang anda sedang baca ini.

Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan poligami, ada yang cepat membuat kesimpulan bahawa saya menafikan hukum poligami. Anti poligami!

Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan perkahwinan semasa belajar, ada yang pantas membuat kesimpulan bahawa saya menentang perkahwinan semasa belajar atau kahwin muda. Bahkan tergamak menyimpulkan bahawa saya lebih risaukan pasangan suami isteri bergaduh, berbanding couple yang berzina. Mereka yang memilih untuk berzina, dan menyandarkan zina itu kepada saya!

Keadaan ini menambahkan keyakinan saya bahawa cara kita beragama hari ini penuh dengan konflik bukanlah semasa-mata kerana kekurangan ilmu agama, atau kerana kuatnya pengaruh jahiliah semata, tetapi ia juga banyak disebabkan oleh cara berfikir yang tidak betul. Alat untuk memahami nas dan ajaran agama itu sendiri rosak, justeru melahirkan banyak salah faham biar pun sudah disuluh di bawah terik mentari.

Mengapa tidak difahamkan sahaja, tatkala saya bincangkan tentang kepincangan amalan poligami semasa, kesimpulannya ialah, jika mahu berpoligami ambillah perhatian yang lebih agar kepincangan itu tidak berlaku? Bukankah itu sangat mudah untuk difahami? Mengapa harus memutar kesimpulan kepada kritikan terhadap cara mengamalkan poligami itu, adalah kritikan terhadap poligami itu sendiri? Jika tidak enak bicara tentang sisi negatif yang memerlukan pengurusan, lupakah kepada manfaat yang kita perolehi daripada cara Huzaifah radhiyallaahu ‘anhu mengambil hikmah daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Orang ramai selalu bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tentang kebaikan. Sedangkan aku pula selalu bertanya kepada baginda tentang kejahatan, kerana khuatir bertemu dan terjebak dengannya” [Hadith riwayat Muslim]

Ya, itulah penjelasan Huzaifah mengapa sisi-sisi gelap kehidupan umat perlu diketahui. Bukan untuk membunuh harapan, tetapi supaya langkah menjadi lebih kemas ketika mengatur perjalanan menempuh kehidupan.

Anak muda,

Tulisan-tulisan saya tidak sama sekali bermaksud mahu menakut-nakutkan kalian. Kecualilah kalian memang penakut, hingga cicak disangka buaya, cacing disangka ular.

Anda memerhatikan kejayaan rakan-rakan yang berkahwin muda, dan memang ramai yang perkahwinan itu adalah baik buat mereka. Anda bertuah kerana dapat melihatnya. Tetapi saya didatangi oleh mereka yang bermasalah. Mereka yang terkapai-kapai mencari jalan keluar daripada cubaan-cubaan hidup pasca perkahwinan yang melampaui persediaan diri mereka. Masalah mereka itulah yang saya k0ngsikan bersama anda, agar persiapan anda lebih baik daripada mereka yang telah mendahului anda.

Ketika saya menulis artikel KAHWIN SEMASA BELAJAR, ia bukan artikel yang berfungsi membuat keputusan bagi pihak anda. Amat jarang saya membuat keputusan bagi anda atau sesiapa. Sentiasa sahaja, tulisan saya menuntut anda menjadi manusia berfikir. Setelah berhasil untuk berfikir, buatlah keputusan dengan fikiran yang matang.

Saya cuba mengajak anda supaya memikirkan terlebih dahulu beberapa isu yang ditimbulkan. Supaya nanti, sama ada anda membuat keputusan untuk berkahwin semasa belajar atau tidak, yang penting anda sudah mempertimbangkan isu-isu yang saya ketengahkan. Apa yang penting kepada anda mungkin berkahwin atau menangguhkan kahwin, tetapi yang penting bagi saya di dalam artikel itu ialah, anda sudah mempertimbangkan isu yang diketengahkan, dengan sebaiknya. Soal keputusan akhir, andalah yang menentukannya.

Apa yang terbaik ialah berkahwin selepas berfikir, juga menangguhkan perkahwinan selepas berfikir. Apa yang buruk pula ialah berkahwin sebelum habis berfikir, atau selepas berkahwin anda mula berfikir yang bukan-bukan.

Demikian juga, tatkala saya menulis artikel JANGAN SEKADAR SYURGA DUNIA, sekali lagi saya menekankan perkara yang sama. Saya tidak sama sekali bermaksud, jangan kahwin awal kerana nanti mungkin dilanda jemu. Tidak sama sekali. Sama ada berkahwin awal atau berkahwin lewat, jemu itu boleh timbul dan selalu timbul.

Tetapi orang yang sudah berfikir panjang dan mendalam sebelum berkahwin, tidak akan bertindak bodoh semasa menguruskan kejemuan yang dialaminya. Apa yang beliau fikirkan semasa membuat keputusan untuk bernikah dahulu, menjadikannya bersedia dan menempuh tempoh jemu itu dengan sabar, teliti dan bukan keanak-anakan.

Saya ditempelak, kerana dianggap lebih rela membiarkan pasangan terdesak di kalangan mahasiswa berzina, berbanding dengan membantu mereka menyegerakan perkahwinan. Sungguh hodoh persepsi itu.

Saya ingin bertanya, siapakah yang berani menjamin, orang sudah berkahwin tidak akan berzina? Justeru anda begitu idealistik malah simplistik pada menganggap perkahwinan terus sahaja boleh menyelesaikan gelora jiwa si anak muda.

TERUK SANGATKAH?

Sepanjang 2009, ada dua suami dan 4 isteri menghubungi saya. Kesemua mereka adalah mahasiswa dan mahasiswi yang masih di bangku pengajian dan sudah berumahtangga. Mengadu masalah jemu dengan pasangan, mencetuskan rasa bimbang yang mendalam pada diri saya.

Lebih menyedihkan, ada pasangan yang suaminya masih berjiwa PSP, tiada keghairahan terhadap anak yang lahir. Ada isteri yang memberikan anak kecil minum susu sejuk kerana tidak tahu susu badan yang dibekukan di peti ais perlu dihangatkan terlebih dahulu sebelum diberi kepada anak. Semuanya gara-gara kurang persediaan dan kurang bersungguh mencari pengetahuan yang diperlukan.

Harganya apa?

Talaq yang menggegarkan arasy?

Atau nyawa anak kecil yang malang itu?

Jadi, penyelesaiannya bukan jangan kahwin, atau nak kahwin juga. Sebaliknya, berfikirlah dengan cermat sebelum apa-apa keputusan dibuat. Kemudian buat persiapan dengan bersungguh-sungguh. Bermula dengan mematangkan fikir daripada rentak seorang anak muda atau pelajar, kepada suami dan isteri, ibu dan bapa, yang sinonim dengan tanggungjawab dan peranan.

Supaya tidak meleret panjang, izinkan saya membuat kesimpulan berikut:

CARA YANG SANGAT BERKESAN UNTUK MEMUSNAHKAN KEHIDUPAN MANUSIA IALAH:

  1. Memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.
  2. Menolak perkahwinan kerana takut akan memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.

Dan kedua-dua itu adalah cara berfikir sebuah robot.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG