Wednesday, February 25, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 4

SENTIASA KETAWA BERSAMA ISTERI

Memandangkan Nabi SAW adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lain, pasti keinginan dan perilaku nabi SAW seperti manusia kebiasaan. Cumanya, nabi SAW adalah utusan Allah yang sudah pasti segala pergerakan kemanusiaan baginda itu dikawal oleh Allah SWT.

Dalam berkeluarga, dilihat Nabi SAW sangat romantik dengan isteri-isterinya, sehingga diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ’Umarah yang bertanya kepada ’Aisyah;

كيف كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا خلا مع نسائه ؟ قالت : « كان أكرم الناس وألين الناس وأحسنهم خلقا ، وكان رجلا من رجالكم وكان بساما ضحاكا »

Maksudnya;
“Bagaimana keadaan Nabi SAW ketika menyendiri bersama isteri-isterinya?. Berkata Aisyah : Baginda SAW adalah semulia-mulia manusia dan selembut-lembut manusia dan sebaik-baik akhlak dari kalangan manusia. Baginda SAW seperti lelaki lain, bahkan beliau terlalu banyak tersenyum dan ketawa (bersama isteri-isterinya)
[1]

Dari hadis ini, kita akan mendapat satu gambaran betapa Nabi SAW adalah manusia yang sangat disayangi oleh isteri-isteri baginda. Gambaran sayangnya isteri baginda itu adalah dilihat kepada pujian yang diberikan oleh Aisyah terhadap nabi SAW.

Sebagai manusia yang paling rapat, pasti isteri lebih mengetahui keadaan suami mereka. Segala kelemahan dan kelebihan yang wujud pada suami, pasti berada dibawah pengetahuan isteri.

Jika diperhatikan pada hadis ini, juga dari hadis-hadis yang lain, kita akan dapati bahawa tidak ada satu hadis pun yang pernah di keluarkan oleh mana-mana isteri nabi tentang keburukan nabi SAW, menunjukkan bahawa kebaikan yang wujud dalam diri nabi adalah sesuatu yang diakui dan sekali-kali tidak wajar jika tidak mencontohi dan mentauladaninya.

Pujian dari hadis ini adalah, baginda SAW adalah manusia yang terbaik dari semua sudut kehidupan; sama ada dari sudut kemuliaan, kelembutan dan akhlaknya terhadap para isterinya.

Kehebatan yang wujud ini digambarkan oleh Aisyah dengan jelas bahawa Baginda SAW semasa berdua-duaan dengan mana-mana isterinya, sering kali didapati mereka berdua tertawa bersama-sama dan senyum bersama-sama.

Senyum dan tertawa bersama isteri secara berdua-duaan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Antaranya, ia merupakan cara untuk melunakkan hati dan perasaan seseorang isteri agar rasa hidup mereka sentiasa ceria.

Disamping itu juga, dengan tertawa dan senyum berdua-duaan, akan mewujudkan satu suasana yang romantik, harmoni, ketenangan dan seterusnya mampu membangkitkan ghairah syahwat yang sudah pasti akan tercapai kehidupan yang puas dalam kehidupan berumah tangga.

Keadaan ini sebenarnya telah membenarkan sebilangan kajian ilmu Psikologi yang menyatakan bahawa, kerangsangan seks yang wujud pada perempuan tidak sama seperti kerangsangan seks yang wujud pada lelaki.

Kaum lelaki, rangangan seks mereka adalah dengan penglihatan mata, adapun perempuan, rangsangan seks mereka adalah dengan romantik, keharmonian dan dengan kata-kata manis dari lelaki
[2].

Justeru itu, inilah rahsia kebahagian rumah tangga yang diajar oleh nabi SAW kepada umatnya yang wajar dijadikan sebagai contoh tauladan demi mengharungi kehidupan berkeluarga yang bahagia.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 febuari 2009 * 2:54 petang.


[1] Az-Zuhd : 1263.
[2] Quran Saintifik : m/s 288-289.

Monday, February 23, 2009

Ibrah Yusuf Mendepani Biusan Cinta

radix-long

Ibrah Yusuf Mendepani Biusan Cinta

“Ko jangan banyak cakap. Ko tak kena lagi. Kalau ko kena penangan cinta ni, baru ko tahu!” tempelak Zack apabila menerima teguran Azim.

“Habis kamu nak tunggu mayat dalam kubur tegur kamu ke?” Azim menamatkan perbualan. Bosan.

Memang susah mahu bercakap dengan orang yang sedang asyik cinta. Fikirannya lumpuh dan seluruh dunia dituduhnya bodoh kerana tidak memahami apa yang sedang dialami.

“Cinta itu kurap, makin digaru makin sedap!” rengek seekor buaya di kafe kampus di hadapan kekasih pujaannya.

Cakap mereka jadi tidak tentu hala. Nasihat sesiapa pun semuanya ditepis mudah. Mereka mabuk cinta. Mereka dibius cinta.

CINTA ZULAIKHA JADI IKTIBAR

Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah pun mengajar manusia menguruskan cinta. Ia bagai minyak petrol. Gunanya untuk menjana tenaga kerja. Kuasanya hebat. Tetapi cinta itu mudah terbakar. Mudah menyambar apabila tersentuh. Justeru manusia sudah awal-awal lagi diberitahu, berhati-hati dengan cinta.

Tetapi manusia sering lupa.

Mungkin kerana kurang kasih sayang dalam kehidupan, ramai yang tidak menyempat-nyempat mahu bercinta. Dan dengan fikiran yang masih seputik jagung, bersama nafsu yang panas membara, ramai yang dibius cinta.

Soal dibius cinta ini bukanlah soal baru. Ia sudah pernah berlaku, malah sudah pun mempamerkan segala bencana dan keaiban-keaiban yang datang mengiringinya. Dibius cinta, adalah bencana yang menimpa wanita bergelar * Zulaikha.

s0120

Gambar hiasan

Dia mabuk cinta bukan dengan al-Aziz suaminya. Tetapi keberahiannya tumpah kepada anak muda yang dijaganya semenjak kecil. Anak angkatnya sendiri. Bernama Yusuf. Nabi Allah Yusuf ‘alayhi al-Salaam. Keinginannya kepada Yusuf menyebabkan wanita itu sanggup untuk melakukan apa sahaja. Diperangkapnya Yusuf hingga terfitnah anak muda yang suci bersih itu.

“Apa yang nko tahu pasal cinta?” bentak seorang perempuan mabuk cinta apabila ditegur rakannya.

Mungkin soalan ini jua yang berlegar di benak Zulaikha.

“Apa yang orang ramai tahu tentang perasaanku terhadap Yusuf? Mereka mengata, aku merasa. Aku yang menanggungnya!” begitulah mungkin bayangan kita tentang kata-kata Zulaikha semasa kemahuannya kepada Yusuf menjadi buah mulut orang ramai.

Suaminya sudah memberi nasihat. Al-Aziz memberitahu Yusuf supaya melupakan kejadian baju terkoyak di kamar itu dan buat sang isteri, bertaubatlah kepada Allah…

12_29

“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. dan engkau (wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu. Sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!” [Yusuf 12: 29]

Bukankah ini nasihat yang sama kita ulang-ulangkan kepada rakan-rakan yang mabuk cinta? Bukan tidak jelas apa yang diberitakan. Bukan tidak berhikmah apa yang dinasihatkan. Namun manusia yang dibius cinta, sudah hilang pertimbangan fikirannya.

Zulaikha lebih nekad.

Dikumpulnya teman-teman yang mengata. Mahu dibuktikan betapa cintanya bukan sebarangan. Kamu yang tidak kena, tidak memahaminya.

ZULAIKHA DIBIUS CINTA

12_30

“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, Sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; Sesungguhnya Kami melihatnya berada di dalam kesesatan yang nyata!” [Yusuf 12: 30]

Qad syaghafaha hubba!

Itulah ungkapan al-Quran tentang manusia yang dibius cinta. Keinginannya yang membuta tuli itu menyelinap masuk ke seluruh tubuh hingga terangkat segala rasa malu yang selama ini membenteng diri dari perbuatan yang mengundang kerendahan.

Inilah yang sedang dialami oleh teman-teman kita yang ghairah dengan cinta. Janganlah kita berpura-pura hairan dengan kerenah mereka. Hairan dengan ilmu yang penuh di dada, hairan dengan janggut sejemput penghias dagu, atau hairan dengan tudung labuh yang membalut tubuh. Dengan cinta sebegini, tudung tidak bertudung, janggut tidak berjanggut, mereka sudah lumpuh dari alam realiti.

Justeru Allah Subhanahu memberitahu kita, bahawa golongan yang seperti ini:

“…Sesungguhnya Kami melihatnya berada di dalam kesesatan yang nyata!” [Yusuf 12: 30]

Cinta yang bukan sekadar buta.

Cinta yang bukan sekadar membius kewarasan minda.

Tetapi cinta yang akhirnya mengheret manusia ke dalam kesesatan yang nyata.

Kesasatan itu menjadikan Zulaikha gila. Dia mahu membuktikan bahawa dalam cintanya kepada Yusuf, bukan dirinya yang bersalah. Tetapi Yusuf dan rupa parasanya, serta panahan cinta itu yang menggilakannya. Dikumpulkan teman-teman yang mengata itu tadi, untuk mereka pula diuji sihir cinta memandang Yusuf.

12_31

“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Lalu pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!” [Yusuf 12: 31]

s0216

Gambar hiasan

Teman-teman yang mengata itu tadi juga terpukau. Bukan sahaja mata mereka tidak dapat lari dari memandang Yusuf, malah biusan cinta itu menyebabkan mereka melukakan tangan tanpa sedar. Benar-benar dibius cinta. Justeru berhasillah perangkap Zulaikha. Bahawa memang selama ini mereka yang mengata itu berkata demikian kerana mereka tidak mengetahui bahana cinta. “Kini tahulah mereka apa yang menyeksa diriku selama ini” demikian hati isteri al-Aziz itu berdetik.

12_32“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; Dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.” [Yusuf 12: 32]

SULITNYA MENYEDARKAN DIA

Bius itu suatu kelumpuhan. Resapannya merebak ke seluruh tubuh badan. Manusia yang dibius cinta tidak lut dengan cakap-cakap biasa manusia di sekitarnya. Malah debat-debat antara kita dan dia mungkin menambahkan lagi jauhnya diri dia dari kebenaran.

Apa yang perlu adalah sebuah keteguhan.

Bagi mereka yang bersungguh memegang iman, ketahuilah bahawa mujahadahmu mencegah diri dari biusan cinta, harganya boleh sampai ke nilai sebuah PENJARA. Itulah pilihan Yusuf. Tidak tunduk kepada cinta, tidak tunduk kepada paksa, tidak tunduk kepada suasana. Yusuf meminta kepada Allah, andai penjara itu bisa menyelamatkan diri baginda dari dosa dan maksiat biusan cinta, PENJARA itulah mohon dikurniakan sebagai jalan keluarnya.

12_33

“Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan tergolonglah aku dari kalangan kaum yang jahil” [Yusuf 12: 33]

Ya… dalam mujahadah kita menjauhkan diri dari cinta dosa yang penuh dusta itu, apakah kita sudah menguatkan hati sekukuh pendirian Yusuf?

NASIHAT BUAT ADIK-ADIKKU

Wahai adik-adik remaja sekalian, sesungguhnya cinta itu BESAR. Jangan diremehkan cinta. Gunanya besar untuk kebaikan. Namun salah gunanya juga besar mengundang bencana kemusnahan. Hari ini, bukan sekadar Zulaikha dan wanita bangsawan itu yang terkena biusan cinta, malah segala yang berada di sekitarmu, merangsang diri untuk tunduk kepada desakan trend semasa ini. Jalan untuk cinta dosa dan zina terbentang luas, berbanding jalan taat yang sulit dan penuh liku.

Justeru penjarakanlah dirimu dengan semangat Yusuf. Peliharalah kesucian dirimu dengan kesungguhanmu berpegang dengan tali Allah. Janganlah sekadar berdolak dalih secebis dua, sudah dikatakan telah berusaha. Sedangkan Yusuf merengkok bertahun di penjara, agar tidak menjadi mangsa BIUSAN CINTA.

Dan bagi mereka yang terus mabuk dibius cinta, tidak mudah bagi kita untuk mencapai mereka. Tidak mudah untuk berkomunikasi dengan mereka. Berusahalah sedaya yang kamu ada, dan berikan masa untuk menjadi sebahagian daripada penawarnya. Zulaikha itu mengambil tempoh yang panjang untuk akhirnya tersedar, bahawa beliau telah lama tersesat di dalam dosa, kerana membiarkan diri dibius cinta. Kebenaran Yusuf akhirnya diperakui, Zulaikha bertaubat kepada Allah… akhir sebuah perjalanan yang panjang, seperti yang terungkap dalam firman-Nya di dalam Surah Yusuf ayat 51.

Berhati-hatilah dalam permainan cinta.

Kalian tidak tahu apa yang menanti di hadapan sana.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

* Nama Zulaikha tidak mempunyai sandaran terhadap sumber al-Quran mahu pun Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Beliau hanya digelar sebagai isteri al-’Aziz (imra’ah al-’Aziz) Nama itu diguna pakai sekadar untuk memudahkan penceritaan. Harap maklum.

Teori Evolusi Cinta

radix-long

Teori Evolusi Cinta

evolusicinta-e

Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.

Keras bunyinya.

Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.

“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

s0102

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.

Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.

Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.

“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

7_163

“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A'araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

Asfala saafileen,” kata al-Quran.

Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

2_65

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.

Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

33_53

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

2245

Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

33_53-i

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

kerabunga

source

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang