Tuesday, December 23, 2008

KAHWIN ORANG USRAH??? BEST KE?

Oleh : Ust Sarip

Cuma kadang saya sedikit hairan…ada pemuda/pemudi yang yakin bahawa perjuangan yang diikutinya itu benar, syumul, dekat dengan sirah Rasul…tapi bila pilih pasangan cari yang berlainan. Padahal kat depan mata ada pun pilihan yang memenuhi perjuangannya? Mungkin ia pun dah jadi macam orang lain mementingkan ukuran duniawi sebelum ukhrawi? Was-was dibuatnya, adakah dia hidup mendahulukan perjuangan atau mendahulukan pasangan?…Entahlah, cuma kat akhirat pasti akan dipersoalkan. . apatah lagi kalau gagal menjadikan rumahtangga kubu perjuangan.

Bagi yang tak ikut usrah…saya tak kata kalian 2nd class…tapi pastinya kefahaman tak sama dengan yang berusrah. Allah pun menyebut dalam al-Quran bahawa tak sama orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu...saya juga tak berani nak kata orang yang berusrah itu confirm masuk syurga atau perfect sebagai muslim sejati…Cuma yang hebatnya, mereka miliki keinginan untuk berubah dan ada kesedaran untuk berjuang berbanding kalian.

Cuma kalau yang dibentuk dalam usrahpun tak menjadi? Bagaimana yang langsung tak dibentuk? Kecuali mereka yang dilahirkan dalam keluarga yang cukup soleh, nafsu syahwat pun tak berapa berfungsi dan kebal dari godaan duniawi…atau lahir sebagai malaikat.. kerana itu kalau rasa hidup ini ada peranan dan rasa sukar nak jadi baik atau teringin nak masuk syurga yang terlalu mahal harga dan nilainya…(kerana Allah jual ia hanya dengan perjuangan dan kesanggupan mengorbankan nyawa dan harta)…eloklah cari-cari usrah untuk diikuti (kat UMS kakak2 dan abang2 dalam EKSAH, luar EKSAH byk buat usrah2 ni..follow lah mana-mana, insyaAllah mereka akan ajar kalian jadi baik dan berjuang…sbb saya tak jumpa lagi mereka ajar bunuh orang atau bom bangunan…kah kah). Mana yang terbaik..saya takde jawapan…lu pikir la sendiri..

Harap baca gak artikel sahabat saya di:
http://satuperkongs ian.wordpress. com/2007/ 05/30/cinta- oh-cinta/

Bagi yang merasakan ingin memberi output maksimum untuk dakwah setelah penat orang mentarbiah kita…bincanglah dengan naqibah/naqib sebelum membuat pilihan, disamping bincang dengan mak bapa. Cuma bezanya ibubapa selalu lihat pada aspek keharmonian berkeluarga anaknya, tapi naqib/naqibah melihat pada keutuhan perjuangan dan dakwah dalam rumahtangga. Kalau tak…seakan tidak menghargai sumbangan naqib/naqibah yang sanggup sedarkan kita selama ini dengan percuma berbanding bertahun kita duduk dengan mak bapa.

Kecualilah mereka yang ditarbiah dan diusrahkan sendiri oleh mak bapa mereka macam anak-anak saya…he he..mereka takde pilihan. Harap anak-anak kalian pun sama suatu hari nanti…

Tuesday, July 15, 2008

ANTARA CINTA DAN TANGGUNGJAWAB

ANTARA CINTA DAN TANGGUNGJAWAB

“Cinta itu tidak menjanjikan sebuah rumahtangga aman damai, tetapi penerimaan dan tanggungjawab adalah asas utama kebahagiaan rumah tangga. Cinta hanya sebuah keindahan perasaan. Cinta akan bertukar menjadi tanggungjawab apabila terbinanya sebuah rumahtangga”

Majalah anis

Begitulah ungkapan sisipan dalam majalah anis. Isteri saya yang menunjukkan sisipan itu kepada saya . Saya berfikir sejenak apabila membaca bait-bait kata di atas. Cuba menghayati apakah di sebalik pengertian kata-kata yang diungkapkan.

Sekilas pandang, saya tidak bersetuju. Saya nyatakan ketidak setujuan saya kepada isteri saya dengan beberapa alasan.

Pertamanya, cinta itulah melahirkan tanggungjawab. Tanpa cinta, tanggungjawab akan menjadi lesu dan tempang. Tanggungjawab tanpa cinta seolah-olah ‘kosong’ dari perasaan. Cinta dan tanggungjawab tidak dapat dipisahkan.

Seringakali saya berbincang dengan isteri. Kami bersetuju bahawa rumahtangga kami di bina atas prinsip aqidah Islam. Aqidah Islam yang membawa cinta (hubbul) kepada Allah dan RasulNya lebih tinggi daripada segala-galanya.

Keduanya, hujjah saya ialah cinta bukan sekadar keindahan perasaan. Cinta ialah makhluk Allah yang diletakkan dalam diri manusia sebagai pelengkap kepada insan.

Firman Allah SWT :

Cintalah yang melahirkan tanggungjawab. Jika kita cinta Allah dan Rasul lebih dari segalanya, maka kita akan bertanggungjawab untuk bekorban apa saja.

Ketiganya, hujjah saya cinta tidak akan berubah menjadi tanggungjawab apabila berumahtangga kerana cinta adalah seiringan dengan tanggungjawab. Cinta adalah adunan dengan tanggungjawab.

Saya menyampaikan hujjah kepada isteri. Nampaknya, isteri saya mengangguk-angguk tanda setuju.

Saya berfikir kembali ungkapan di atas dengan reality masyarakat hari ini. Dari satu sudut saya menolak ungkapan di atas dan dari sudut reality hari ini ia boleh diterima.

“Cinta akan bertukar menjadi tanggungjawab apabila terbinanya sebuah rumahtangga” inilah yang menyebabkan rumahtangga kosong dan tidak ceria sebagaimana awal perkahwinan. Cinta tidak dapat disuburkan kerana tanggungjawab bertumpuk-tumpuk.

Masalah duit, masalah anak-anak, masalah hutang dan pelbagai lagi telah menyebabkan pasangan kekasih (suami dan isteri) tidak dapat menyuburkan cinta dalam rumahtangga mereka.

Sebenarnya cinta tidaklah 100% bertukar menjadi tanggungjawab. Cinta itu tetap ada. Tidak berubah sepenuhnya menjadi tanggungjawab. Pada pandangan saya, cinta tetap ada cuma tidak disuburkan akibat tanggungjawab yang pelbagai. Fokus tidak lagi pada cinta tetapi fokus kini lebih kepada tanggungjawab.

Saya tinggalkan ulasan saya di sini. Saya pohon membaca memberi komen lebih lanjut. Komen pembaca setia semua saya amat alu-alukan. Wallahua’alam.

Monday, July 14, 2008

RUMAHTANGGA MUSLIM MENJAMIN KELANGSUNGAN DAKWAH SALAH

RUMAHTANGGA MUSLIM MENJAMIN KELANGSUNGAN DAKWAH SALAH

satu aspek penting dalam persiapan untuk melalui hidup secara Islam adalah menyediakan rumah tangga kita supaya menjadi rumah tangga Muslim. Rumah tangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar sahaja boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan tarbawi (bercirikan tarbiah Islam), melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.
Rencana ini cuba membincangkan persoalan rumah tangga Islam dan kedudukannya dalam pembentukan generasi anak yang bakal memikul taklif (tanggungjawab) Islam. Rencana ini akan menumpukan perbincangan kepada beberapa aspek komunikasi dalam rumah tangga tersebut.
Pandangan Islam mengenai pembinaan rumahtangga.
Sebelum kita meneruskan perbincangan mengenai tajuk ini, mari kita fahami pengertian rumahtangga atau keluarga Muslim. Keluarga Muslim ialah keluarga yang meletakkan segala aktiviti pembentukan keluarganya sesuai dengan syari'at Islam.
Berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, terdapat beberapa tujuan penting pembentukan rumah tangga Muslim ini, iaitu:
(a) mendirikan syari'at Allah dalam segala urusan rumah tangga. (b) mewujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan roh
"Dialah Yang Menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya" (al- A'raaf.. 189)
Di dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa mawaddah dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berftkir. "
AI-Qurtubi telah mencatatkan komentar lbn Abbas mengenai 'mawaddah' yang dijelaskan sebagai 'cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya dan 'rahmah' pula bermaksud 'rahmatnya agar isterinya jangan sampai menderita atau mengalami kesusaban'. Di sini dapat disimpulkan bahawa pembentukan rumah tangga Muslim itu diasaskan di atas 'mawaddah' dan 'rahmah'.
Suasana rumahtangga yang dibina di atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan dan memberi ketenangan kepada jiwa dan roh dalam kehidupan pendakwah. Dalam hal ini tiada contoh yang lebih baik dan tepat daripada rumah tangga Rasuluillah SAW yang dibina bersama denga Saidatina Khadijah, terutama ketika menghadapi cabaran dan pengalaman baru yang memerlukan sokongan padu serta keyakinan tanpa sebarang keraguan si isteri.
Anak-anak yang dibentuk dalam suasana 'mawaddah' dan 'rahmah'akan menghasilkan peribadi yang bahagia, yakin diri, tenteram, kasih sayang serta jauh daripada kekacauan serta penyakit batin yang melemahkan peribadi.
(c) mewuiudkan sunnah Rasuluilah dengan melahirkan anak-anak soleh sehingga umat manusia merasa bangga dengan kehadiran kita.
(d) memenuhi keperluan cinta kasih anak-anak. Ketidakseimbangan atau ketandusan cinta kasih ini akan menyebabkan penyimpangan akhlak dan perilaku.
Di dalam perkahwinan dan pembentukan rumah tangga Muslim, Islam tidak menyempitkan tujuan perkahwinan kepada hanya untuk mendapatkan anak-anak soleh (walaupun ini adalah antara tujuan perkahwinan), untuk mengekang padangan dan menjaga kemaluan (walaupun ini juga menjadi matlamat perkahwinan) dan bukan juga bertujuan untuk menyalurkan nafsu secara syar'i sahaja, sebaliknya Islam telah menentukan matlamat yang lebih tinggi, mulia dan jauh jangkauannya. la berkait rapat dengan matlamat kemasyarakatan, jihad serta pelaksanaan amal Islam yang luas.
Walaupun matlamat terpenting dalam perbentukan rumah tangga Muslim ialah untuk menyediakan suasana dan persekitaran yang subur bagi mendidik anak-anak, Islam telah menentukan bahawa tuiuan utama kesinambungan zuriat mempunyai kaitan dengan matlamat dakwah dan jihad. Tujuan ini dapat difahami menerusi beberapa ayat al-Quran. Antaranya ayat yang menggambarkan doa Nabi Zakaria yang berhajat kepada anak baqi mneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau. Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Yaaqub." (Maryam: 5-6)
Peristiwa yang dirakamkan di dalam al-Quran itu menunjukkan bahawa seorang pendakwah juga berhajatkan anak seperti manusia lain, tetapi hajatnya lebih mulia kerana ia menghendaki anaknya mewarisi tugas dakwah dan jihad yang dipikulnya. Aspek ini penting kerana perjalanan dakwah dan pertarungan dengan jahiliyah memerlukan masa yang panjang. Oleh itu, dengan adanya pewaris yang meneruskan perjuangan, dapatlah dipastikan, insyaAllah, perjuangan itu tidak mati di pertengahan jalan kerana pupusnya pendokong perjuangan tersebut.
Pelaksanaan pendidikan Islam dalam rumahtangga Muslim.
Salah satu ciri penting yang membezakan rumah tangga Muslim dengan rumahtangga bukan Muslim ialah pelaksanaan pendidikan Islam yang sebenar di dalamnya. Para pendakwah dituntut supaya memberi perhatian serius mengenai perkara itu. Anggota keluarga yang tidak mendapat pendidikan Islam atau yang lebih parah lagi jika pendidikan mereka terus terabai, mereka bukan sahaja tidak mampu menyambung perjuangan Islam tetapi mungkin merencat dan menjadi penghalang perjuangan itu.
Pendidikan anggota keluarga dimulakan dengan pendidikan isteri. Pendidikan ini bermula dengan pemilihan yang dibuat di atas dasar keimanan dan keislamannya. Pendidikan isteri sangat penting diberi perhatian kerana isteri memainkan peranan yang paling besar dalam pendidikan anak. Anak sulung pula merupakan tumpuan kedua selepas isteri kerana isteri dan anak sulung (bapa juga tidak terkecuali) merupakan qudwah (contoh teladan) kepada anak-anak yang lain. Seandainya pendidikan isteri dan anak sulung terabai mereka tidak mungkin mampu menjadi teladan yang baik kepada anggota yang lain di dalam keluarga.
Keseimbangan di dalam rumahtangga.
Berumahtangga bagi seorang Mukmin ialah untuk melaksanakan perhambaan kepada Allah, bukan menghalanginya daripada tugas utama itu. Bagaimanapun ada banyak ujian dan fitnah di dalam rumah tangga. Salah satu ciri penting yang perlu wujud dalam rumah tangga Islam adalah keseimbangan. Golongan yong beriman perlu bersungguh-sungguh untuk melahirkan keseimbangan ini kerana telah ramai golongan yang gugur daripada jalan yang penuh keberkatan ini kerana gagal melahirkan keseimbangan ini dan mendidik isteri serta anak-anak menerima keseimbangan ini.
Secara fitrahnya manusia mempunyai pelbagai keinginan hidup. Antara keinginan itu ialah keinginan kepada harta, pasangan hidup, memiliki harta (seperti rumah dan kenderaan), hidup selesa, berehat serta bersenang. Keinginan ini tidak salah selagi wujud keseimbangan dengan tuntutan Allah. Suasana persekitaran akan merangsang keinginan ini ke satu tahap yang mungkin menyebabkan seseorang pendakwah mengabaikan tuntutan Islam atau terus mengetepikan hak-hak Allah dalam kehidupannya. Sebagai contoh, setiap orang mempunyai kecenderungan memiliki harta tetapi kecenderungan itu perfu diimbangi dengan tuntutan mengeluarkan infaq di jalan Allah. Begitu juga dengan kecenderungan untuk untuk berehat di rumah bersama isteri dan anak-anak diimbangi dengan kekuatan tajarrud di dalam jiwa. Rifa'i Sirur di dalam bukunya 'Baitul Dakwah' mendefinisikan 'tajarrud' sebagai 'memiliki sesuatu tetapi sanggup mengorbankannya atau bersabar dengan kehilangan'.
Dakwah terpancar daripada rumahtangga Muslim.
Dr Abdul Mufa'al Muhammad al-Jabari di dalam bukunya, 'Identifi Rumah Tangga Muslim' menulis, di antara ciri wujudnya identiti rumah tangga Muslim ialah kewajipan berdakwah mestilah terlaksana dalam rumah tangga itu. Ini bermaksud angota rumah tangga - suami, isteri dan anak-anak - menjalankan usaha dakwah kepada teman-teman, saudara mara mahupun jiran tetangga.
Suami Muslim yang soleh perlu melalui proses pendidikan dan terus menerus mendidik dirinya sebagai pendakwah contoh kepada angota keluarganya. Kesibukan di dalam kehidupan sehariannya biarlah berhubung kait dengan dakwah yang telah menjadi darah dagingnya. lsteri dan anak-anak perlu dididik mengenai tanggungjawab dakwah. Mereka hendaklah disediakan untuk memikul tugas dakwah.
Terdapat ramai juga pendakwah yang sangat aktif di medan dakwah tetapi roh dakwah tidak wujud di dalam rumah tangganya sehingga bukan sahaja isteri dan anak tidak memberi sokongan kepada perjuangannya, bahkan mereka menjadi penghalang utama, mengusutkan fikiran dan menekan perasaan pendakwah sehingga akhirnya pendakwah berkenaan meninggalkan perjuangannya.
Atas sebab inilah da'wah dan pendidikan perlu dilaksanakan di dalam rumah tangga secara terancang dan berterusan. Anak dan isteri perlu dibimbing peringkat demi peringkat dan tahap demi tahap untuk menjadikan dakwah Islam sebati dengan kehidupan mereka.

Rujukan : http://members.tripod.com/~hasan98/rtmuslim.htm

Tuesday, June 17, 2008

Kasih Sayang dlm Keluarga & Dakwah

Kasih Sayang dlm Keluarga & Dakwah

Kasih sayang adalah intipati kehidupan dan perjuangan.

Baru-baru ini, sehari sebelum di aqad nikah, seorang teman datang sebentar ke rumah saya untuk bertanyakan tips hidup berumahtangga. Kehidupan saya berumahtangga selama lebih 20 tahun, sudah tentu tidak mungkin dapat disimpulkan dalam beberapa petua dalam masa sejam dua. Saya mengambil kesempatan singkat tersebut untuk menekankan satu hakikat yang sangat penting dalam kehidupan berumahtangga, bahkan kehidupan di dalam Jalan Dakwah dan kehidupan dalam masyarakat antarabangsa. Hakikat itu adalah kasih sayang.

Sebelum saya meneruskan bicara, kasih sayang dalam rumahtangga adalah juga sama dengan kasih sayang di dalam jemaah di Jalan Dakwah. Keluarga adalah jemaah yang kecil. Jemaah adalah sebuah keluarga yang besar. Keluarga dan jemaah ada juzuk pemimpin dan mereka yang dipimpin. Kedua-duanya ada aspek bekerja bertungkus lumus dalam menerima ahli baru, meningkatkan kualiti diri diaspek ilmu dan syahsiyah ahli, bekerja keras mencapai matlamat kehidupan dan Islam yang digariskan Allah swt, bersama menanggung susah dan berkongsi menyambut hari-hari gembira dan sebagainya.

Berdakwah dengan penuh kasih sayang adalah kunci kejayaan.

“Sesungguhnya orang-orang beriman adalah Ikhwah (bersaudara)” (Al-Quran). Ikhwah di dalam ayat diatas sering diterjemah sebagai bersaudara, sedang saudara mara lebih tepat di dalam bahasa Arab sebagai Qurabah atau Aqribak (kerabat). Ikhwah sebenarnya lebih banyak digunapakai bererti adik beradik. Oleh itu ikatan orang-orang beriman apatah lagi di dalam satu jemaah di Jalan Dakwah lebih tepat digambarkan seperti ikatan adik beradik di dalam satu keluarga, dinaungi dan dipimpin oleh kepimpinan yang bersifat seperti ayah dan ibu kandung. Sepertimana di dalam keluarga yang sering membuat pertemuan bersama-sama ketika hari raya dan cuti sekolah, menghilang rasa rindu dan berkongsi perkembangan senang maupun susah, anggota-anggota di dalam satu organisasi juga dikira berjaya menghayati perasaan kasih sayang sekiranya mereka selalu rindu terhadap program-program yang mempertemukan sesama mereka, mendengar sebarang bentuk nasihat dan tunjuk ajar dan berkongsi perkembangan diri, keluarga dan Dakwah dalam pertemuan dan perbualan tersebut.

Melalui pengalaman dan pengamatan lebih 25 tahun di dalam amal Dakwah yang mana di satu tempat atau masa penuh kasing sayang dan di dalam satu tempat atau masa yang lain pula di dalam fitan (haru biru) dan hilang perasaan kasih sayang, saya dapat menyimpulkan bahawa :

Teruskan Pembacaan

1. Asas Dakwah atau amal Islami adalah kasih sayang yang didasari Iman. Tanpanya, tiada buah kepada Iman, bahkan tiada Amal Islami sejati pun yang hendak diperjuangkan.

2. Kasih sayang bukan sahaja dituntut berlaku sesama ahli dalam organisasi, keluarga, suami isteri, bahkan juga terhadap mad’u yang kita hendak dakwahkan, bahkan terhadap sekelian bani insan di dunia ini. Lihat sahaja tulisan Al-Banna di dalam risalah-risalahnya, kita akan dapati ruh kasih sayang yang sangat mendalam terhadap semua lapisan manusia.

3. Di masa atau tempat yang subur kasih sayang sesama ahli-ahlinya, segala masalah yang sebenarnya besar dan runcing, saya lihat menjadi masalah yang sangat kecil dan remeh yang tiba-tiba sahaja menjadi selesai sebelum sempurna usaha yang bersungguh-sungguh untuk membenterasnya.

4. Dimasa atau tempat yang kasih sayang sesama ahlinya pudar, bermasalah atau tidak mendapat penekanan yang secukupnya, segala masalah yang sebenarnya kecil dan remeh, tiba-tiba menjadi satu masalah yang sangat besar, sukar diselesaikan bahkan terbawa-bawa hingga ke peringkat tertinggi dalam organisasi !

5. Kasih sayang tempatnya di hati dan ruh yang dimiliki oleh Allah swt. Ia adalah ikatan hati dan ruh itu sendiri. Oleh itu keikhlasan yang tinggi kepada Allah sahaja yang dapat menjamin tersemainya kasih sayang hakiki yang diinginkan. Di sini pentingnya ilmu tentang Islam dan perjuangannya, kefahaman tentang matlamat dan Jalan Dakwah, kewajipan sebenar sebagai hamba Allah, pengikut Rasulullah saw dan anggota jemaah. Tanpa hakikat-hakikat di atas, perjuangan dan kasih sayang yang dimiliki adalah menyeleweng, rapuh dan akan berkecai pada bila-bila masa. Gugurnya seorang demi seorang dari Jalan Dakwah yang berlaku di depan mata kepala kita sendiri dari masa kesemasa membenarkan hakikat ini. Ada yang meninggalkan Jalan Dakwah hanya kerana teman-teman enggan meminjamkan wang kepadanya.

6. Wajib keatas setiap individu yang cintakan Islam dan kejayaannya di hari muka menyuburkan perasaan kasih sayang terhadap isterinya, suaminya, anak-anak, ahli di dalam organisasi dan manusia amnya. Sebarang sebab yang membawa kepada keadaan sebaliknya hendaklah segera disingkir atau dijauhkan. Ini termasuk bersangka buruk, mengumpat, mencari aib orang lain, ghurur (tertipu kehebatan diri kononnya), menerima berita tanpa periksa, kurang taaruf, ziarah dan berterus terang dan sebagainya.

Walaupun perbahasan diatas nampak menyangkut perihal dalam organisasi jemaah, namun ia juga sebenarnya tips dalam membina organisasi rumahtangga Dakwah yang berjaya. Hakikatnya, tiada yang didamba oleh siisteri dan anak-anak melainkan kasih sayang dari seorang suami dan ayah. Kasih sayang ini melebihi dari wang ringgit dan kemewahan harta dunia. Kekadang kita berasa aneh apabila melihat si anak yang sedang belajar di perantauan Barat yang hidup canggih serba moden sanggup membeli tiket ribuan ringgit untuk pulang bercuti di kampung yang terletak di ulu sungai di tanahair hanya semata-mata kerana dahagakan kasih sayang dari ibu bapanya.

Sebagai suami, ayah atau pemimpin, kita bukan sahaja dituntut agar menyayangi isteri, anak-anak dan anggota, tetapi juga kita dituntut menunjukkan kasih sayang tersebut kepada mereka. Menyayangi adalah perasaan. Menunjukkan kasih sayang adalah perbuatan yang boleh dilihat mereka. Betapa ramai kita yang menyayangi tetapi gagal menunjukkan kasih sayang sehingga boleh dirasai, dihargai dan dinikmati oleh orang lain. Oleh itu pada saya tidak cukup seorang suami itu terhadap isterinya sekadar affection (a feeling of loving), tetapi mestilah romantic (showing feelings of love). Tidak cukup pimpinan itu terhadap anggotanya sekadar bersifat concern, tetapi mestilah caring.

“Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil Azim ringan dibibir tetapi berat di timbangan (Hari Kiamat)”, maksud pesanan dari Rasulullah saw. “Apabila kamu sayang kepada saudaramu, katakan kepadanya “Aku sayang kepada mu” (maksud Hadis). Ramai lelaki yang tidak tahu bahawa ungkapan kepada isterinya ‘Abang sayang kepada Ani’ walaupun ringan dibibir seorang suami tetapi besar nilai dan kesannya kepada si Ani, isterinya. Ramai yang menyangka cukuplah sekadar bekerja kuat mencari nafkah sebagai tanda sayang kepada isteri dan anak-anak, tanpa perlu untuk mengungkapkan kata-kata romantik ! Berdasarkan hadis di atas, sangkaan tersebut adalah tidak benar.

Allah swt menciptakan lelaki dan perempuan dengan ciri-ciri yang similar but not identical. Banyak gaya bahasa yang dikeluarkan oleh satu jantina tidak difahami oleh satu jantina yang lain. Begitu juga bahasa anak kecil banyak yang tidak difahami oleh si ayah atau saya sendiri. Si anak kecil menangis tidak mahu ikut berjalan ke rumah nenek kekadang menyebabkan si ayah mencadangkan tempat lain yang lebih menarik seperti taman permainan. Pada si ayah, tangisan tersebut adalah kerana perasaan tidak puas hati si anak. Namun di anak tetap tidak mahu dan terus menangis. Si ibu lebih memahami rupanya di anak menangis lapar kerana kerana belum makan tengahari tadi ! Sering di dalam Dakwah, anggota di lihat bermasalah di segi prestasi amal atau perkataannya, atau si isteri bersikap dingin atau berleter. Pemimpin atau suami sering membuat diagnosis yang salah dari tanda-tanda yang lahir dari isteri atau teman di dalam Jalan Dakwahnya. Berbagai perbincangan, mesyuarat, berterus terang, jalan penyelesaian, wang ringgit dicurahkan namun tidak juga berkesan. Mungkin kerana masalah di pejabat, mungkin kerana kurang wang belanja, mungkin juga kerana masalah komunikasi atau mungkin kerana masalah pengajian di universiti. Sering bila diamati, jawapan sebenar ialah kerana merosot atau hilangnya perasaan kasih sayang di dalam rumahtangga dan organisasi.

Demikian sedikit sebanyak pesanan saya kepada teman yang datang untuk berkongsi pengalaman, dan saya muatkan di dalam blog ini dengan tambahan-tambahan dimana perlu semoga ianya berguna kepada para pembaca sekelian di dalam melayari kehidupan berumahtangga dan Jalan Dakwah. Kenalilah hakikat kasih sayang, hargailah peranan besar yang dimainkannya dalam menjamin kejayaan kita melayari bahtera rumahtangga dan Dakwah. Kelak kita akan takjub betapa kasih sayang mampu menggerakkan ahli disekeliling kita menuju ke arah kejayaan yang kita cita-citakan.

“Tidak beriman kamu sehingga Allah dan RasulNya lebih disayanginya dari selain kedua-duanya” (Hadis).

“Tidak beriman kamu sehingga dia menyayangi temannya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri” (Hadis)

“Orang-orang beriman itu Ikhwah (adik beradik), maka baikilah hubungan diantara kamu dan bertaqwakan kepada Allah …” (Al-Quran).

Ustaz Abd Halim Abdullah,

London.

Rujukan : http://inijalanku.wordpress.com