Wednesday, July 18, 2012

Rumahtangga ‘cacat’ tanpa kemuliaan agama


Rujukan : http://padredeumares.blogspot.com/2011/06/rumahtangga-cacat-tanpa-kemuliaan-agama.html

Oleh: Mohd Nasir Awang

Rasanya tiada wanita yang berhasrat mendirikan rumahtangga, terutama yang waras dan merdeka, yang tidak menginginkan sebuah mahligai hidup yang rukun dan bahagia. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusaha mencapai kemuliaan dalam hidup dunia dan akhirat, soal pembentukan keluarga sejahtera dan diredhai Allah Ta’ala tidak syak lagi menjadi keutamaan dalam hidup.

Hasrat itu bagaimana pun tidak mungkin dapat disempurnakan tanpa titik berat sewajarnya sama ada oleh bakal suami atau isteri. Seberat mana Islam menekankan peri pentingnya seseorang lelaki meneliti calon isterinya, begitu lah juga mustahaknya seorang wanita menghalusi ciri-ciri lelaki terbaik untuk dijadikan pasangan hidupnya.

“Bakal suami hendaklah orang yang ada asas agama, itu yang utama”, tegas Ustaz Haji Adam Mat Said, memulakan bicaranya.

Beliau yang juga Mudir Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI), di Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, mengatakan demikian sebagai reaksi pertanyaan penulis mengenai ciri-ciri seorang lelaki yang sepatutnya menjadi idaman muslimah.

Menghurai lebih lanjut, Haji Adam berkata yang dimaksudkan asas agama itu bukan setakat memiliki ilmu, tetapi mestilah disertakan kefahaman agama.

“Sebab kadang-kadang ada orang, ilmu tu ada, tetapi faham agama tu tak ada,” ulasnya.

Tidak syak lagi kefahaman yang betul mengenai ajaran agama merupakan faktor terpenting memastikan wujudnya kerukunan rumahtangga. Ciri itu malah paling dituntut dimiliki oleh suami atau bapa. Selaku ketua keluarga, di tangannya halatuju rumahtangga, sama ada menuju keredhaan Allah Ta’ala atau sebaliknya.

“Sebab itu, si suami atau bapa juga hendaklah orang yang sentiasa berusaha nak “comelkan” keluarga. Dalam satu kitab (disebutkan) antara ciri-ciri lelaki yang soleh atau bapa yang bertanggungjawab ialah (yang) sentiasa nak tengok diri dia atau keluarga dia meningkat sokmo (sentiasa),” hurai Haji Adam.

Menurutnya lagi, seorang bapa juga mestilah berkemampuan untuk memperkenalkan kepada anaknya, siapa Allah Ta’ala.

“Itu satu kewajiban yang asas, wajib bagi bapa memperkenalkan Allah Ta’ala kepada anak-anak dia. Dialah lelaki yang boleh memahamkan anak-anak dia apa itu hak Allah, hak Rasul, hak diri, hak ibubapa, semua sekali,” katanya.

Seorang bapa yang baik juga, sambungnya, ialah yang boleh menolong anak-anaknya melepaskan tuntutan fardhu ain. Dia juga lelaki yang berkemampuan untuk menuntuni anaknya, yakni bertindak sebagai murabbi, memimpin anaknya menuju Allah Ta’ala.

“Bahkan, bukan setakat pimpin, dia juga lelaki yang mampu untuk menjinakkan hati anak-anak. Kalau kita pimpin sahaja, tak boleh jinakkan hati, tak jadi juga. Itu sifat-sifat yang ada pada murabbi,” ulas Haji Adam lagi.

Beliau turut mengakui usaha seberat itu tidak akan menghasilkan natijah diharapkan sekiranya sang suami atau bapa gagal mempamerkan sifat kasih sayang dalam dakwah atau seruannya kepada anak-anak atau isteri

Sebagai contoh, seorang bapa memarahi anak-anak lalu menghukum mereka dengan nafsu, tanpa disulami dengan kasih sayang, maka hukuman yang dikenakan itu tidak akan menyedarkan anak-anak. Sebaliknya, katanya, Allah Ta’ala akan jauhkan hati anak-anak daripada sang bapa.

“Sebab itu antara ciri lelaki yang baik ialah yang sentiasa doakan kepada orang yang dia seru, sama ada anak atau isteri, doa kebaikan dan sentiasa menolong anak-anak atau isteri untuk mencapai maksud yang baik dalam hidup,” sambungnya.

Beliau menghuraikan agak panjang mengenai kaedah menghukum anak-anak menurut Islam. Tegasnya, merotan bukan jalan terbaik untuk mendidik anak-anak. Bahkan, katanya, Nabi s.a.w. sendiri mengesyorkan hukum merotan itu hanya dalam masalah meninggal sembahyang.

“Hak kena rotan tu, kalau tinggal sembahyang, bagi anak yang umur 10 tahun. Itu je yang Nabi s.a.w. ajar, lain daripada tu Nabi tak ajar kita untuk merotan anak. Bagaimana pun, kadang-kadang tu kita boleh nak rotan (anak) dengan syarat, pertama tidak dalam keadaan kita marah tadi,” hurai Haji Adam.

Syarat kedua, katanya, merotan dengan harapan kepada Allah ia memberi peringatan kepada si anak.

Yang ketiga, merotan dengan tidak menghasilkan kesan fizikal kepada anak. Manakala syarat yang keempat, katanya, jangan merotan di bahagian atas daripada pinggang, tetapi tidak salah jika dirotan pada tangan.

“Yang kelima, rotan yang tidak mengaibkan dia (anak). Jangan rotan depan orang lain. Sebab kalau dia aib, akibatnya dia sendiri akan lawan kita,” beliau mengingatkan.

Ada pun dalam konteks hubungan dengan isteri, Haji Adam menegaskan, hukuman fizikal seumpama merotan amat tidak disyorkan. Bahkan, dalam keadaan yang amat memerlukan sang suami menghukum isteri pun, ia perlu dilakukan secara sangat bertertib, jauh sekali dalam bentuk menyakitkan.

Sebagai kesimpulannya, beliau menekankan bahawa seorang lelaki idaman itu sewajarnya dinilai berdasarkan kemampuannya menyempurnakan nafkah yang zahir mahu pun batin. Di samping itu, soal kufu turut menjadi perkiraan dalam membentuk rumahtangga bahagia.

“Lelaki itu hendaklah yang kufu dengan yang perempuan, setaraf. Sebab tu kalau si ayah menikahkan anak dia dengan cara paksa, tiba-tiba isteri jumpa suami, dia tengok tak setaraf, dia boleh batalkan nikah dia, dengan sebab tidak sekufu, selagi mana tidak (belum) setubuh,” ulasnya.

Menurutnya, nilaian sekufu itu mungkin dari segi mental, di mana si isteri cerdik, tetapi lelaki tersangat bodoh atau memiliki akal yang lemah. Ia juga mungkin atas perkiraan kedudukan atau taraf yang terlalu jauh bezanya. Contohnya, nisbah keturunan, di mana lelaki berketurunan jahat, sedangkan si isteri dari keturunan orang mulia.

“Mereka boleh nikah, tapi kalau yang perempuan tu tak redha, ayah dia paksa juga kahwin, maka dia (isteri) berhak untuk putuskan perkahwinan dia. Dan sekufu ni boleh memisahkan perkahwinan bila isteri tak redha,” katanya.

Tidak syak lagi penghayatan terhadap kesemua perbahasan di atas, terutama ciri atau keperibadian lelaki yang layak digelar murabbi kepada isteri dan anak-anak seperti disenaraikan tadi tidak akan dapat disempurnakan tanpa ilmu dan kefahaman yang betul mengenai agama.

Sebab itu, sepertimana Islam menekankan peri pentingnya bagi seorang lelaki mengutamakan wanita beragama sebagai calon isteri, mengatasi kemuliaan-kemuliaan lain, seperti rupa paras, kedudukan keturunan dan harta, tuntutan serupa turut terpakai terhadap wanita dalam memilih bakal suami.

“Lelaki (bakal suami) pun begitu juga. Yang pertama, kita pilih yang ada kemuliaan agama. (Sebab) kalau orang ni tak ada kemuliaan agama, walau pun yang lain (harta, rupa atau kedudukan) ada, dia akan mencacatkan rumahtangga kita. Nak agama juga dan nak bakal suami kita seorang yang mampu bertanggungjawab. Kita boleh tengok dulu (sebelum kahwin) lagi,” ujar Haji Adam.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 232, Jun 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

No comments: