Showing posts with label Kisah Cinta Nabi. Show all posts
Showing posts with label Kisah Cinta Nabi. Show all posts

Tuesday, March 31, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 23 - GEMBIRAKAN ISTERI YANG SEDIH

GEMBIRAKAN ISTERI YANG SEDIH

Perasaan sedih dikala tidak dapat melakukan sesuatu, atau tidak mendapat apa yang diinginkan adalah perkara lumrah yang wujud dalam diri setiap makhluk yang bernama manusia. cumanya, cara manusia menghadapi sedih itu tidak sama. Menangis, masam muka, memberontak dan berbagai-bagai lagi cara manusia menghadapi kesedihan.

Kebiasaan bagi perempuan, apabila mereka ditimpa sesuatu kesedihan, antara cara yang digunakan oleh mereka adalah dengan menitiskan air mata. Bermakna, air mata merupakan antara cara bagi perempuan menterjemah bagi kesedihan yang sedang dialami mereka.

Ini bukan bermakna, kaum lelaki tidak menangis di kala sedang bersedih. Tetapi, Keadaan ini berlaku kepada perempuan, disebabkan mereka dihadiahkan oleh Allah jiwa dan hati yang tidak sama dengan kaum lelaki. Hati dan jiwa yang dipenuhi kelembutan, disamping fitrah ketetapan dari Allah bahawa orang perempuan mempunyai sifat sedemikian.

Selalunya, apabila perempuan bersedih, mereka sebenarnya tidak menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang sedang menimpa. Ekoran itu, mereka meluahkan perasaan sedih itu melalui menangis.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah tersebut, hendaklah diberikan jalan penyelesaian bagi meringankan atau menghilangkan terus perasaan kesedihan tersebut.

Jika diperhatikan kepada Hadis, didapati Rasulullah SAW menggunakan kaedah ini dalam mengembirakan hati isteri dikala mereka sedang bersedih.

Ini dapat dibuktikan dengan satu hadis riwayat Jabir bin Abdillah R.A yang berkata;

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَّاجًا لَا نُرِيدُ إِلَّا الْحَجَّ وَلَا نَنْوِي غَيْرَهُ حَتَّى إِذَا بَلَغْنَا سَرِفَ حَاضَتْ عَائِشَةُ فَدَخَلَ عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ تَبْكِي فَقَالَ مَا لَكِ تَبْكِينَ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَابَنِي الْأَذَى قَالَ إِنَّمَا أَنْتِ مِنْ بَنَاتِ آدَمَ يُصِيبُكِ مَا يُصِيبُهُنَّ

Maksudnya;
“Kami keluar bersama Rasulullah untuk menunaikan haji. Kami tidak mempunyai tujuan lain, melainkan ketika kami sampai di ”Sarif”. Di sana, Aisyah telah kedatangan Haid. Rasulullah SAW masuk berjumpa dengan Aisyah, didapati beliau sedang menangis. Bagi bertanya; ”mengapa kamu menangis?” Aisyah menjawab; ”Aku didatangi Haid”. Berkata Nabi : ”kamu adalah anak-anak perempuan Adam. Kamu akan ditimpa perkara yang sama ditimpa kepada anak-anak perempuan Adam[1]”.

Hadis yang dinukilkan ini, kita akan dapati bahawa Rasulullah SAW amat bijak dalam menggembirakan hati Aisyah yang sedang menangis ekoran kedatangan Haid yang sudah pasti membantutkan peluang beliau untuk menunaikan haji bersama Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW sedar disebalik kesedihan yang dihadapi oleh Aisyah. Kesedihan itu berpunca, Aisyah tidak sedar bahawa kedatangan Haid merupakan perkara lumrah bagi semua manusia yang bernama Perempuan.

Justeru, bagi menghilangkan kesedihan tersebut, Rasulullah SAW bertindak menyebut tentang asal kejadian perempuan yang tidak boleh lepas dari kedatangan Haid. Asal kejadian ini, bukanlah perkara yang hanya menimpa kepada Aisyah sahaja, bahkan menimpa seluruh perempuan di atas muka bumi Allah SWT, sejak dari zaman nabi Adam, hinggalah ke akhir dunia.

Nah !! kita renungi hadis ini. kita akan dapati, kesedihan yang dihadapi oleh Isteri tidak selayaknya dibiarkan mereka terus menerus dengan kesedihan. Sebagai suami yang baik, sebarang kesedihan yang diketahui, hendaklah difikirkan cara dan kaedah bagi memberhentikan kesedihan tersebut.

Kesedihan yang menimpa isteri, jika dibiarkan, dibimbangi menghasilkan masalah di masa akan datang. Apabila sesuatu masalah tidak diselesaikan dengan segera, menyebabkan di masa akan datang, apabila masalah lain akan menimpa, pasti isteri tersebut akan menghadapi masalah yang bertimbun-timbun.

Apabila sudah banyak masalah yang sudah dihadapinya, memungkinkan mereka akan ditimpai masalah psikology jiwa yang juga memungkinkan berlaku berbagai-bagai kemungkinan yang tidak diingini. Seperti mereka akan susah hendak senyum. Susah hendak gembira. Tidak agrasif dalam bertindak dan sebagainya. semuanya berpunca dari permasalahan Psikology jiwa yang bermula dari kesedihan yang tidak diselesaikan.

Justeru, sebagai suami yang baik. Jadikan hadis ini sebagai panduan bagi mendapatkan kasih sayang antara suami Isteri yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi, jika kaedah menyelesaikan masalah tersebut digunakan cara yang romantik, kata-kata manis, ucapan-ucapan memuji yang sudah pasti dapat menghasilkan natijah kebahagiaan dalam mengharungi lautan rumahtangga yang kadangkala tenang dan kadangkala bergelora.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 mac 2009 * 1:16 petang

[1] Musnad Ahmad 14414.

Tuesday, March 24, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 22 - MEMBELAI ISTERI

MEMBELAI ISTERI



Membelai isteri memperlihatkan isteri mendapat pembelaan. Suami yang membelai bisa digambarkan sebagai pendekar yang sedang mempertahankan permaisurinya.

Rasa mendapat pembelaan merupakan satu wajah dalaman hati perempuan bahawa mereka sedang dihargai. Dari situ, bermulanya kebahagiaan hidup.

Rasulullah SAW telah membuktikan kebahagiaan bentuk ini. diamalkan sebagai rutin harian, walaupun terpaksa berhadapan dengan masa sebuk yang keterlaluan.

Aisyah R.ha berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ يَوْمٍ إِلَّا وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا جَمِيعًا امْرَأَةً امْرَأَةً فَيَدْنُو وَيَلْمِسُ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ حَتَّى يُفْضِيَ إِلَى الَّتِي هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتَ عِنْدَهَا

Maksudnya;
“Nabi SAW sentiasa mengelilingi isteri-isteri baginda seorang demi seorang. Baginda SAW menghampiri kami dan membelai kami tanpa menyetubungi hinggalah Baginda SAW sampai ke rumah isteri yang masa gilirannya, maka dia bermalam disitu
[1]”

Amat nyata, Nabi SAW tidak pernah mengabaikan perasaan hati para isteri, walaupun itu bukan malam gilirannya. Baginda SAW yang berpoligami, akan mengelilingi rumah para isteri semata-mata membelai mereka. sesampai di rumah isteri yang merupakan malam gilirannya, baru Baginda SAW bermalam di situ.

Tindakan Nabi SAW itu, bukanlah dilakukan secara bermusim, tetapi rutin harian. Nabi melakukan demikian, kerana tidak mahu “tawar hati” dalam hati para isteri, walaupun dalam masa sehari sekalipun.

Perhatian dalam dakwah, tidak mengabaikan Nabi terhadap para isteri. Ekoran itu tidak hairan, Allah memberikan izin kepada nabi berpoligami lebih dari umat.

Kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpoligami. Isteri adalah sebahagian dari kehidupan. Gembira mereka adalah gembira suami. Sedih mereka adalah sedih suami.

Jika isteri bersedih, membuatkan banyak perkara dalam urusan rumah tangga dilakukan dengan tidak ikhlas. Wujudnya tidak ikhlas itu, merupakan bibit permulaan krisis rumah tangga.

Justeru, keikhlasan antara suami isteri perlu dibina. Antara cara yang ditunjukkan oleh Nabi adalah, perhatian yang sewajarnya diberi, seperti belaian isteri tidak diabaikan.

Belaian ini, tidak semestinya datang dari suami, bahkan isteri juga perlu membelai suami. Belaian yang diberi, hendaklah bersesuaian dengan mood suami, agar belaian yang diberi hendaklah dipastikan mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 mac 2009 * 2:45 petang



[1] Musnad Ahmad : 23621.

Sunday, March 22, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 21 - SEDIA WAKTU KHUSUS UNTUK ISTERI

SEDIA WAKTU KHUSUS UNTUK ISTERI



Ada manusia yang hidupnya tidak sibuk, masalah pembahagiaan waktu untuk keluarga tidak menjadi masalah baginya. Pun begitu, disana wujud manusia yang hidupnya terlalu sibuk. Kesibukan itu, ada kalanya kerana kerja, ada kalanya kerana dakwah dan berbagai-bagai lagi istilah sibuk ditampalkan.

Ada sebilangan manusia, kesibukan yang mengintai hidupnya menyebabkan dia tidak sempat menyediakan masa untuk bersama keluarga. Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi kemesraan sesama keluarga, khususnya antara suami dan isteri akan menjadi hambar.

Apabila hambar kemesraan, menyebabkan hilangnya daya kebahagiaan dan rahmat sebenar dalam berumahtangga seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya;
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

(Surah Ar-Rum : 21)

Nabi Muhammad SAW yang merupakan tauladan terbaik, telah memberikan satu gambaran yang berkualiti dalam menghadapi waktu sibuk, disamping tidak mengabaikan tugasan memberikan kemesraan terhadap para isteri.

Keadaan ini dapat dibuktikan dengan satu hadis, bahawa Saidina Husain yang merupakan salah seorang cucu Baginda Nabi bertanya kepada bapanya yang bernama Ali bin Abi Talib dengan katanya;

سَأَلْتُ أَبِي عَنْ دُخُولِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:كَانَ دُخُولُهُ لِنَفْسِهِ مَأْذُونًا لَهُ فِي ذَلِكَ فَكَانَ إِذَا أَوَى إِلَى مَنْزِلِهِ جَزَّأَ نَفْسَهُ دُخُولِهِ ثَلاثَةَ أَجْزَاءٍ: جُزْءٌ لِلَّهِ، وجزءٌ لأَهْلِهِ، وجزءٌ لِنَفْسِهِ،

Maksudnya;
“Aku bertanya kepada bapaku (Ali bin Abi Talib) berkenaan Rasulullah SAW ketika masuk ke dalam rumah. Berkata; ketika Rasulullah masuk, baginda masuk dengan diberi izin terlebih dahulu. ketika berada dalam rumah, baginda membahagikan masanya di rumah kepada tiga bahagian; (1) untuk Allah, (2) untuk ahli keluarganya, dan (3) untuk dirinya
[1]”

Kita mengenali Nabi Muhammad adalah seorang manusia yang amat sibuk dengan tugasan dakwah. Dalam kesibukan itu, Nabi SAW tidak pernah menjadikan tugasan yang lain sehingga terabai.

Antara tugasan yang tidak diabaikan oleh Nabi SAW adalah, memberikan satu waktu khusus untuk bermesra bersama para isteri. Nabi Muhammad SAW mengerti, tugasan baginda dalam dakwah amat besar dan berat. Sebagai pendakwah, sudah pasti beliau akan dijadikan contoh tauladan oleh manusia ramai.

Ekoran dari itulah, kita akan dapati Nabi SAW benar-benar mengajar tauladan kepada manusia. Antara tauladan itu adalah, Nabi SAW tidak mengabaikan tugasan baginda untuk memberikan kemesraan baginda terhadap para isteri.

Kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan dalam mengharungi kehidupan berumahtangga yang bahagia. Jika diperhatikan rata-rata manusia yang bercerai, antara sebabnya adalah, apabila pihak suami terlalu sebuk dengan tugasan mencari rezeki, sehinggakan terlalai dari melaksanakan tugasan terhadap isteri mereka.

Ekoran itulah, didapati isteri menjadi liar. Jika tidak liar pun, mereka akan menjadi manusia yang mempunyai perasaan dalaman yang bergelora, yang apabila ianya terluah melahirkan perceraian yang dibenci oleh Allah SWT.

Justeru, jadikan tauladan Nabi SAW ini sebagai panduan. Panduan dalam berkeluarga, juga panduan dalam melahirkan kemesraan dalam berumahtangga yang berjaya mengecapi kebahagiaan dalam mengharungi bantera kehidupan

Sekian
Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- sri Indah (B), Sg Buloh
22 mac 2009 * 2:27 pagi



[1] Al-Mukjam Al-Kabir : 17867

Thursday, March 19, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 20 - TIDAK MENERIMA JEMPUTAN TANPA ISTERI

TIDAK MENERIMA JEMPUTAN TANPA ISTERI

Kebahagiaan tidak sekadar wujudnya kemesraaan antara suami dan isteri. Kadangkala isteri akan merasa mereka dihargai juga merupakan cara untuk melahirkan kebahagiaan berumah tangga.

Sebagai suami yang baik, Nabi SAW amat meletakkan para isterinya sebagai manusia yang dimuliakan di mata masyarakat. Tindakan Nabi SAW itu adalah, untuk melahirkan perasaan berharga dalam diri para isteri di mata suami mereka.

Jika diselidiki dari hadis-hadis. Kita akan dapati, antara cara nabi SAW bertindak mewujudkan perasaan kebanggaan isteri baginda adalah dengan menghadiri sesuatu majlis tertentu dengan disertai isteri baginda bersama. Bahkan, apabila jemputan itu hanya kepada Nabi, baginda tidak menerima jemputan tersebut hinggalah isteri baginda juga dijemput.

Ini disandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang berkata;

أَنَّ جَارًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَارِسِيًّا كَانَ طَيِّبَ الْمَرَقِ فَصَنَعَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ جَاءَ يَدْعُوهُ فَقَالَ وَهَذِهِ لِعَائِشَةَ فَقَالَ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا فَعَادَ يَدْعُوهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَذِهِ قَالَ لَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا ثُمَّ عَادَ يَدْعُوهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَذِهِ قَالَ نَعَمْ فِي الثَّالِثَةِ فَقَامَا يَتَدَافَعَانِ حَتَّى أَتَيَا مَنْزِلَهُ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Rasulullah SAW mempunyai seorang jiran berbangsa farsi. Dia mempunyai kepandaian memasak lauk berkuah. Dia telah memasak untuk dihidangkan bersama Rasulullah SAW. kemudian Dia menjemput Nabi. Nabi berkata : ”Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia menjawab: ”tidak”. Nabi berkata : ”kalau begitu, aku pun tidak terima jemputan itu”. Dia pun pulang dan datang kembali menjemput. Nabi SAW berkata : ”apakah Aisyah dijemput sama?” dia berkata : ”tidak”. Nabi SAW berkata : ”kalau begitu, Aku tidak akan terima jemputan ini” Dia pulang dan datang kembali lagi menjemput. Nabi berkata : ”apakah Aisyah dijemput?” Dia menjawab : ”Ya” pada kali ketiga. Nabi dan Aisyah pun bangun, dan sama-sama ke rumahnya[1]”

Lihatlah Nabi SAW dalam hadis ini, bagaimana penghargaan yang telah diberikan oleh Nabi kepada Isteri baginda. Tindakan Nabi SAW ini sewajarnya dijadikan contoh tauladan yang baik dalam melahirkan kebahagiaan sesama suami dan isteri.

Isteri pasti akan berbangga, jika suami mereka bertindak tidak mengabaikan mereka dalam menghadiri majlis-majlis tertentu. Lebih-lebih lagi, jika suami mereka adalah orang yang kenamaan.

Begitujuga, dengan tindakan membawa isteri sama dalam sesuatu majlis, sememangnya di sana wujudnya persaudaraan itu tidak sekadar dengan suami sahaja, tetapi sudah melibatkan bersaudaraan antara keluarga. Yang sudah pasti, dengannya melahirkan masyarakat yang harmoni.

Melahirkan masyarakat harmoni sering menjadi perbincangan. Permasalahan ini tidak berjaya dirungkaikan, apabila mereka tidak berjaya mendapat satu keputusan yang kukuh.

Apa yang nyata, Nabi SAW sendiri sebenarnya telah memberikan panduan dalam menyelesaikan permasalahan yang sedang dibincangkan itu. Tetapi sedih, ianya tidak disambut dengan sebaiknya.

Nah !! Nabi SAW sendiri telah memberikan satu panduan yang amat berguna dalam menyelesaikan permasalahan ini. bukan sekadar masalah masyarakat harmoni sahaja boleh terbina, bahkan ianya juga berjaya melahirkan keharmonian dalam berumahtangga.

Apabila isteri sudah rasa dihargai suami, maka sudah pasti isteri tidak akan mengabaikan tugasnya untuk membalas penghargaan yang diberikan suami. Maka disitulah, bermula kebahagian yang cantik lagi indah dalam mengharungi bahtera rumah tangga.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
20 mac 2009 * 3:03 pagi


[1] Sahih Muslim : 3798.

Wednesday, March 18, 2009

KISAH CINTA NABI SAW: SIRI 19

KISAH CINTA NABI SAW: SIRI 19
CIUM ISTERI JADI RUTIN HARIAN

Mencium Isteri merupakan ibadah. Islam memandang, tindakan tersebut tidak terlarang, bahkan dapat memberikan pahala kepada suami. Lebih-lebih lagi, dengan ciuman itu akan membawa kepada bersetubuh.

Isteri pasti akan gembira apabila mereka selalu dicium oleh suami mereka. Hati yang gundah, bisa menjadi bahagia. Gelap kesedihan, bisa menjadi cerah dengan keriangan.

Dilihat kepada Nabi, suri tauladan ini menjadi amalan harian Nabi SAW dikala bersama Isteri. Tindakan Nabi itu tidak pernah diabaikan, hatta dalam bulan ramadhan sekalipun.

Aisyah R.Ha ada meriwayatkan hadis dengan katanya;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ فِي رَمَضَانَ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW sentiasa mencium aku dalam bulan Ramadhan, ketika itu Baginda SAW sedang berpuasa[1]”

Hadis ini amat nyata lagi jelas, Nabi SAW tetap juga memberikan kasih sayang baginda kepada isteri tanpa mengira waktu. Bulan Ramadhan yang diwajibkan berpuasa tidak dijadikan penghalang bagi Nabi untuk bermesra dengan isteri.

Mungkin ada sebilangan pihak akan merasa ganjil berkenaan dengan cium Isteri ketika sedang berpuasa. Segi hukum, cium isteri dikala sedang berpuasa bukanlah larangan. Tetapi yang terlarang adalah, cium itu boleh membawa kepada bersetubuh.

Ekoran dari itulah, ada sebilangan ulama fiqh menfatwakan mencium isteri bagi orang berpuasa adalah makruh. Mereka menyandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Ha yang berkata;

أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم رجل ، فقال : أقبل في رمضان ؟ قال : « نعم » ثم أتاه آخر ، فقال : أقبل في رمضان ؟ قال : لا ، فقالت عائشة : يا نبي الله ، أذنت لذلك ، ومنعت هذا ؟ قال : « إن الذي أذنت له شيخ كبير يملك إربه ، والذي منعته رجل شاب لا يملك إربه ، فلذلك منعته

Maksudnya;
“Seorang lelaki datang berjumpa dengan Rasulullah SAW, berkata; “bolehkah aku cium isteriku pada bulan Ramadhan?” Nabi berkata : “boleh”. Datang pula lelaki lain bertanya; “bolehkah aku cium isteriku pada bulan Ramadhan?” nabi berkata : “tidak boleh”. Aisyah berkata: Wahai Nabi Allah, kamu izinkan yang ini, dan kamu mencegah yang itu? berkata Nabi : Yang Aku izinkan itu adalah seorang lelaki yang sudah tua. Pasti dia mampu menahan syahwatnya. Dan yang Aku cegah itu pula adalah adalah lelaki muda. Dia tidak mampu menahan syahwatnya, sebab itulah aku mencegahnya[2]”

Jelas dari hadis ini. Larangan dari Nabi agar tidak mencium Isteri dalam bulan ramadhan adalah dikala bimbang berlaku persetubuhan. Adapun jika tidak ada kebimbangan berlaku persetubuhan, maka mencium Isteri itu adalah ibadah, yang memberikan pahala kepada orang yang melakukannya.

Nah !! tauladan Nabi ini amat berguna untuk dijadikan panduan dalam mencipta kemesraan dan kebahagiaan dalam berumahtangga. Dengan mencium Isteri, kebahagiaan, kemesraan dan keseronokkan dalam berumah tangga pasti akan wujud.

Jadikanlah mencium isteri ini sebagai rutin harian. kerana, disebalik tunjuk ajar nabi ini, pasti akan melahirkan sesuatu yang tidak terduga dalam melayari bahtera dalam usaha menuju ke Syurga Allah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 mac 2009 * 1:26 pagi


[1] Sahih Muslim : 1860
[2] Amali Al-Muhamali : 105.

Monday, March 9, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 16

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 16
TEGURAN ROMANTIK DI KALA ISTERI MARAH

Dari segi psikology, kejadian perempuan tidak sama seperti kejadian lelaki. Kejadian lelaki yang kurang beremosi berbanding perempuan. Ekoran itulah, Allah memberikan kelayakkan menjadi pemimpin kepada lelaki berbanding perempuan.

Firman Allah;

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

Maksudnya;
”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)”

(Surah An-Nisa’ : 34)

Perempuan diciptakan oleh Allah ekoran dari penciptaan lelaki. Adam diciptakan oleh Allah terlebih dahulu berbanding hawa. Bermaksud, perempuan hidup memerlukan perlindungan lelaki.

Memandangkan perempuan tidak seperti lelaki, kadangkala perempuan itu boleh melakukan sebarang kesilapan. Bukan bermakna lelaki tidak melakukan kesilapan, tetapi kesilapan mereka tidak seperti kesilapan yang dibuat oleh lelaki.

Lebih-lebih lagi, dari kejadian mereka sendiri adalah tulang rusuk yang paling bengkok.

Sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Maksudnya;
”Sesungguhnya perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Sekiranya kamu mahu meluruskannya, pasti kamu mematahkannya. Sekiranya kamu membiarkannya, pasti ia akan sentiasa bengkok. Oleh itu, sentiasalah memberi wasiat kebaikan kepada mereka[1]”

Menurut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, hadis ini memberi gambaran bahawa Hawa diciptakan oleh Allah dari tulang rusuk Adam. Tetapi, Imam Al-Qurtubi pula menyatakan, maksud dengan perempuan diciptakan dari tulang rusuk bukanlah memang hakikatnya diciptakan dari tulang rusuk Adam, tetapi menggambarkan betapa ”bengkoknya” perempuan seperti bengkoknya tulang rusuk[2].

Walaubagaimanapun, hadis ini telah memberikan satu gambaran bahawa jika perempuan melakukan kesalahan, kesalahan itu tidak sama seperti kesalahan yang dilakukan oleh lelaki.

Justeru itu, dibimbangi bengkok itu semakin melampau, menyebabkan Nabi SAW ada memberikan sedikit panduan dalam membetulkan kesilapan perempuan.

Ini disandarkan kepada hadis daripada Qasim bin Muhammad bin Abi Bakar yang berkata;

كانت عائشة رضي الله عنها إذا غضبت عرك النبي صلى الله عليه وسلم بأنفها ، ثم يقول : « يا عويش ، قولي : اللهم رب محمد ، اغفر لي ذنبي ، وأذهب غيظ قلبي ، وأجرني من مضلات الفتن

Maksudnya;
“Apabila Aisyah sedang marah, Nabi SAW memicit hidungnya seraya berkata :”wahai A’yish, katakanlah, Ya Allah tuhan Muhammad, ampunilah dosaku. Dan hilangkan kekerasan hatiku, dan lindungi aku dari fitnah yang menyesatkan[3]”

Hadis ini merupakan satu panduan dari Nabi SAW kepada lelaki dalam menghadapi isteri yang kadangkala agak keterlaluan dalam memarahi sesuatu perkara.

Jika diperhatikan, hadis ini menyebut bahawa dikala Aisyah sedang marah, Nabi SAW tidak memanggilnya dengan panggilan biasa, tetapi memanggil dengan panggilan yang mengandungi unsur manja dan mesra, iaitu dengan menyebut “Ya A’yish” atau diterjemah melayu “wahai ‘Aisyah yang kecil molek”. Disamping itu juga, Nabi SAW menunjukkan dari sudut perbuatan manja dan mesra dengan memicit hidung Aisyah dikala melakukan teguran tersebut.

Apabila perempuan dipanggil dengan panggilan manja dan diperlakukan seperti itu, pasti perasaan mereka akan berubah. Marah yang meluap-luap kebakaran akan berjaya dipadamkan dengan air manja dan sentuhan. Dengan tindakan Nabi SAW itu, pasti kemarahan mereka akan reda, dan dalam masa yang sama Baginda SAW telah berjaya mewujudkan suasana mesra dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

Alangkah indahnya aturan Allah dengan mendatangkan Nabi SAW dalam menjaga manusia. kisah sebegini sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua manusia yang berumah tangga, agar kehidupan berkeluarga akan sentiasa indah dan makmur.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 mac 2009 * 9:15 malam.





[1] Sahih Al-Bukhari : 3084.
[2] Fath Al-Bari : 10/111.
[3] Amal Al-Lail wa Al-Lailah Li Ibni As-Sunni : 454. Syaikh Albani menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis doif dalam kitab Doif Al-Jami’ : 4433

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 14

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 14
MENEMANI ISTERI DALAM PERJALANAN

Isteri yang disayangi adalah isteri yang selalu dijaga keselamatannya oleh suami, juga sering dirisaukan oleh suaminya dikala berada di luar rumah, mahupun di rumah.

Sebagai isteri, mereka tidak seharusnya rasa ”tersepit” atau terganggu dikala sering ditanya suami dengan soalan-soalan seperti, dimana mereka berada, apakah waktu mereka tiada dirumah itu sesuai atau tidak?? Ini kerana, soalan-soalan sebegini menggambarkan kebimbangan suami terhadap mereka, yang sudah pasti semuanya terlahir daripada perasaan sayang suami terhadap mereka.

Mengambil tahu keadaan keselamatan isteri ini merupakan tuntutan Islam yang ditunjuk ajar oleh Nabi SAW, bahkan ianya terbukti dengan salah satu hadis Sofiyyah, salah seorang Isteri Nabi SAW yang berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَكِفًا فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلًا فَحَدَّثْتُهُ وَقُمْتُ فَانْقَلَبْتُ فَقَامَ مَعِي لِيَقْلِبَنِي وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW beriktikaf, lalu aku datang menziarahi Nabi SAW pada satu malam. Aku berbual-bual dengan Baginda. Apabila aku bangun untuk pulang, Baginda SAW pun turut bangun untuk menghantarku pulang. Rumah Sofiyyah berada di kampung Usamah bin Zaid[1]”

Jika dilihat dalam beberapa hadis yang lain, kita akan dapati bahawa Sofiyyah binti Huyay bin Akhtab bukanlah seorang perempuan yang cantik, bahkan mempunyai badan yang gempal dan pendek, lebih-lebih lagi, bapa beliau adalah antara orang yang memusuhi Islam dan beragama yahudi, juga merupakan pembesar utama Yahudi Bani Nadhir yang terlalu memusuhi Nabi SAW dan pernah melancarkan provokasi jahat untuk memurtadkan sebilangan Sahabat[2].

Ekoran dari itu, menyebabkan Aisyah dan Hafsah yang satu kali memerli bahawa mereka berdua lebih mulia disisi Nabi SAW berbanding Sofiyyah. Perlian dua isteri nabi itu menyebabkan hati Sofiyyah agak terguris, lalu melaporkannya kepada Nabi SAW.

Mendengar itu, baginda SAW berkata kepadanya;

ألا قلت: وكيف تكونان خيرا مني، وزوجي محمد، وأبي هارون، وعمي موسى

Maksudnya;
“Mengapa tidak kamu berkata; “bagaimana kamu berdua lebih baik daripadaku, sedangkan suamiku adalah Nabi Muhammad, “Bapaku” adalah Nabi Harun, dan “bapa saudaraku” adalah Nabi Musa??[3]”

Dalam keadaan Sofiyyah bukan isteri yang cantik pun, Baginda SAW amat menyayanginya. Sentiasa memberikannya semangat bagi berhadapan dengan kerenah-kerenah isteri yang lain, sehinggakan Baginda SAW amat menjaga keselamatan dirinya.

Hadis yang dinukilkan di atas, amat nyata dan jelas bahawa betapa Nabi SAW amat mengambil perhatian terhadap isterinya yang bernama Sofiyyah ini. Perhatian yang diberikan itu amat besar sehingga baginda SAW sendiri yang menghantar Sofiyyah pulang walaupun ketika itu Baginda sedang beriktikaf.

Tindakan yang dilakukan oleh Nabi ini, sedikit sebanyak akan melahirkan perasaan “diambil tahu” dalam hati Sofiyyah, yang sudah pasti akan lahirnya perasaan cinta yang membara terhadap suaminya yang merupakan Nabi akhir zaman itu.

Kepada para suami, hadis ini selayaknya dijadikan tauladan bagi melahirkan perasaan cinta yang membara antara kedua suami dan isteri. Isteri mana yang tidak mahu dijaga keselamatan dan sering diambil tahu oleh suaminya, ini kerana, apabila ini dilakukan oleh suaminya, pasti dari hati kecil mereka akan terlintas satu perasaan bahawa mereka akan rasa terselamat jika berada dibawah naungan suaminya, justeru itu, mereka akan rasa bahawa mereka benar-benar dicintai oleh suami.

Oleh itu, adalah satu tindakan yang kurang tepat jika ada sebilangan suami yang bertindak membiarkan isterinya pulang ke kampung dengan membiarkan mereka menaiki bas bersama dengan anak-anak, tanpa kehadiran suami menemani dalam perjalanan. Ini kerana, keadaan ini akan melahirkan banyak persepsi yang kurang sihat, sama ada dalam hati isteri, keluarga mertua malahan pada pandangan masyarakat umum.

Mudah-mudahan hadis ini menjadi panduan bagi suami bertindak dengan yang lebih baik dalam melahirkan perasaan kasih sayang antara suami isteri, demi mencapai kebahagiaan dalam mengharungi kehidupan rumah tangga yang diredhai oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 mac 2009 * 3:19 petang


[1] Sahih Al-Bukhari : 3039.
[2] Tafsir Ibni Kathir : 1/382.
[3] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala’ : 2/233.

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 13

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 13
UNDI PARA ISTERI DALAM SESUATU PERMUSAFIRAN

Bermusafir dan bermuqim menjadi kebiasaan bagi manusia. Dalam bermusafir, Islam memberikan beberapa kemudahan kepada muslim, antaranya adalah, dibenarkan menjamakkan solat antara solat asar dan solat zohor dan solat Isya’ dengan Solat Maghrib; dibenarkan mengqasarkan solat yang berbentuk rubaiyyah (baca : solat jenis empat rakaat); dibenarkan berbuka puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Bagi permusafiran, digalakkan perjalanan itu berlaku lebih dari 2 orang. Permusafiran yang dilakukan bersendirian dan berkeseorangan, adalah tindakan yang tidak digalakkan oleh nabi SAW. ini dibimbangi berlaku berbagai-bagai kesusahan dalam perjalanan, memungkinkan wujud orang yang boleh berbincang dan membantu dalam menyelesaikan sebarang kesusahan tersebut.

Sabda Nabi SAW;

الرَّاكِبُ شَيْطَانٌ وَالرَّاكِبَانِ شَيْطَانَانِ وَالثَّلَاثَةُ رَكْبٌ

Maksudnya;
”seorang yang bermusafir adalah seekor Syaitan; dua orang yang bermusafir adalah dua ekor Syaitan. Dan tiga orang bermusafir adalah orang yang sebenarnya bermusafir[1]”

Ada ulama mensyarahkan hadis ini – seperti kitab Al-Muntaqa syarah kepada kitab Muwatta’ – menyatakan, maksud dengan syaitan bagi seorang yang bermusafir adalah kerana apabila menyendiri, atau berdua dalam permusafiran, memungkinkan berlaku amalan-amalan syaitan, seperti melakukan amalan maksiat tanpa ditegur, atau salah seorang akan merasa malu atau segan untuk menegur jika seorang lagi melakukan maksiat.

Adapun jika tiga orang dalam permusafiran, akan wujudlah jemaah, yang sudah pasti akan wujud unsur tegur-menegur jika ada salah seorang itu melakukan maksiat, atau wujud perasaan malu untuk tidak menegur terhadap kawan permusafiran yang melakukan maksiat[2].

Memahami dari hadis ini, menunjukkan dalam permusafiran tidak digalakkan dilakukan seorang diri, bahkan hendaklah disertai dengan beberapa orang teman sehingga melebihi dari dua orang.

Disamping itu juga, apabila sebut permusafiran, pasti akan wujud unsur menjelajah ke tempat-tempat baru, yang sudah pasti akan mendapat satu pengetahuan baru tentang sesuatu tempat yang dijelajahi. Keadaan ini sudah pasti mewujudkan satu keseronokkan.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti di kalangan isteri-isteri Nabi akan berasa mahu mengikut sama dalam sesuatu permusafiran Nabi SAW. pun begitu, adalah satu tindakan yang tidak tepat jika permusafiran itu menyebabkan Nabi membawa semua isteri-isteri baginda.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Baginda SAW telah mengadakan pengundian antara mereka untuk memilih, manakah dikalangan mereka yang turut sama dengan nabi dalam sesuatu permusafiran.

Keadaan ini disumberkan kepada hadis Aisyah R.Ha yang berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَخْرُجَ سَفَرًا أَقْرَعَ بَيْنَ أَزْوَاجِهِ فَأَيَّتُهُنَّ خَرَجَ سَهْمُهَا خَرَجَ بِهَا مَعَهُ

Maksudnya;
“Apabila Rasulullah SAW mahu keluar bermusafir, nabi SAW akan mengundi di antara isteri-isteri Baginda untuk memilih dikalangan mereka, manakah nama mereka keluar, maka isteri itulah akan bermusafir bersama baginda SAW[3]”

Jika diperhatikan tindakan nabi SAW ini, didapati Nabi SAW tidak akan bertindak memilih mengikut kehendak nabi untuk membawa mana-mana isterinya turut sama bermusafir. Jika ini dilakukan, pasti akan wujud perasaan tidak puas hati dari kalangan isteri yang tidak dibawa oleh nabi dalam permusafiran.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, disamping mahu mewujudkan suasana yang adil dengan para isteri, menyebabkan Nabi SAW bertindak melakukan undi terhadap nama-nama mereka bagi mana-mana permusafiran sekalipun.

Tindakan sebegini, sedikit sebanyak akan melahirkan perasaan “berpuas hati” antara sesame para isteri, lantaran akan melahirkan hubungan harmoni sesama mereka.

Bagi para suami yang berpoligami, hadis ini sedikit sebanyak telah mengajar kepada mereka tentang cara berpoligami yang membawa kepada keadilan dalam berumah tangga. Jika hadis ini berjaya dijadikan amalan oleh para suami yang berpoligami, pasti unsur “tidak puas hati” itu akan terhapus antara sesame isteri, dan sudah pasti keadilan akan terwujud lantaran keharmonian antara isteri itu yang menjadi factor pembantu dalam mewujudkan keadilan tersebut.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 mac 2009 * 6:58 pagi



[1] Muwatta’ : 1548.
[2] Al-Muntaqa : 4/432.
[3] Al-Bukhari : 2467.

Thursday, March 5, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 12

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 12

TIDAK JIJIK DENGAN MAKANAN LEBIHAN ISTERI

Kesetiaan dan keteguhan antara suami isteri amat susah untuk ditafsirkan. Pun begitu, apabila suami dan isteri mampu makan dari satu bekas, ataupun suami makan lebihan makanan isteri, atau isteri makan lebihan makanan suami, seakan-akan tergambar satu watak bahawa antara suami dan isteri itu tidak wujud perasaan jijik sesama mereka.

Rupa-rupanya tindakan sebegitu merupakan pengamalan Nabi SAW dengan para isteri baginda. Ini dapat dibuktikan kepada hadis Aisyah yang bercerita;

كُنْتُ أَشْرَبُ مِنْ الْقَدَحِ وَأَنَا حَائِضٌ فَأُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ مِنْهُ

Maksudnya;
”aku minum air daripada satu bekas, ketika itu aku sedang berhaid, lalu Nabi SAW mengambil bekas minumanku itu dan meletakkan mulut baginda pada tempat aku meletakkan mulut pada bekas tersebut
[1]”

Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW tidak menjadikan bekas mulut isterinya sebagai jijik, walapun ketika itu isteri Baginda sedang berhaid.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan jika diperhatikan kepada hadis lain, didapati baginda juga makan makanan dari kesan gigitan isteri.

Ini dapat dibuktikan dengan sambungan hadis di atas yang menyebut;

وَأَتَعَرَّقُ مِنْ الْعَرْقِ وَأَنَا حَائِضٌ فَأُنَاوِلَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ

Maksudnya;
”Aku mengigit sepotong daging, lalu sisa gigitan itu diambil oleh Nabi SAW, lalu baginda pun mengigitnya pada bahagian yang aku gigit tadi”

Nah !!! betapa romantiknya Nabi SAW dengan isteri. Lebihan makanan mereka tidak dijadikan sebagai sesuatu yang menghalang nabi untuk makan dari makanan tersebut.

Dengan hadis ini, tauladan yang boleh diambil adalah, bagaimana Nabi SAW telah menjadikan makanan sebagai cara untuk melahirkan perasaan mesra antara suami isteri.

Tindakan sebegini juga sebenarnya telah melahirkan perasaan cinta yang teguh. Berjaya meremajakan dan memperhangatkan lagi perasaan sayang, lebih-lebih lagi dalam mengharungi kehidupan rumah tangga yang penuh dengan ujian.

Disamping itu juga, tindakan sebegini sebenarnya dapat melahirkan kesetiaan dan keyakinan yang penuh antara kedua suami dan isteri. Ini kerana, ia tergambar melalui perasaan tidak berkira atau tidak merasa jijik dan keji terhadap lebihan makanan dan minuman antara pasangan sehingga menganggap ianya seperti lebihan makanan sendiri.

Jika keadaan ini sering berlaku, ia menunjukkan betapa kukuh dan teguhnya perasaan cinta antara dua suami isteri, dan ini juga menjadi bukti nyata bahawa cinta dan sayang yang lahir dari kedua-dua suami dan isteri tersebut adalah cinta yang ikhlas dan sejati.

Oleh itu, suami dan isteri sepatutnya menjadikan tindakan Nabi SAW ini sebagai tauladan demi melahirkan perasaan cinta yang tidak hipokrit, lebih-lebih lagi bagi mencari redha Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 mac 2009 * 1:38 pagi




[1] Sunan An-Nasai : 377.

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 11

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 11

MINTA PANDANGAN ISTERI KETIKA BERSEGAK

Sebagai seorang Nabi yang menjawat jawatan pemimpin sesebuah negara, berpakaian segak merupakan satu kepentingan. Ini kerana, semua tindak tanduk Nabi SAW pasti akan ditiru.

Berpakaian segak bukan bermakna berpakaian yang berharga mahal, tetapi cukup berpakaian yang bersih dan pakaian itu sesuai dengan pemakainya. Kesesuaian pada sudut saiz, warna pakaian dengan warna kulit dan sebagainya.

Bahkan, jika diperhatikan kepada hadis-hadis Nabi, kita akan dapati berpakaian segak ini merupakan satu tuntutan, bahkan ianya disukai oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

والله جميل يحب الجمال

Maksudnya;
”Allah adalah tuhan yang maha indah, amat suka kepada keindahan
[1]”

Segak sebahagian dari keindahan dan kecantikan. Ekoran itulah, ia merupakan kesukaan bagi Allah SWT terhadap hambanya.

Dalam hal itu pula, kita akan dapati, Baginda SAW adalah manusia yang selalu segak dikala di rumah, mahupun di luar rumah. Baginda SAW segak dirumah sebagai melahirkan keseronokkan para isteri melihat baginda, bahkan diluar nabi juga segak untuk melahirkan penghormatan umat terhadap baginda SAW, juteru mereka juga akan meniru untuk menjadi segak.

Didapati, baginda SAW dikala mahu keluar rumah, Nabi SAW akan mengenakan pakaian segak, lalu untuk memastikan kesegakan baginda itu bersesuaian dengan pakaian yang dikenakan, Baginda SAW akan bertanya terlebih dahulu kepada isterinya.

Hal ini dirujuk kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hamid bin Hilal berkata ;

لبس رسول الله صلى الله عليه وسلم بردة سوداء فقال يا عائشة كيف ترين قالت فقلت : ما أحسنها عليك شيب بياضك بسوادها وشيب سوادها ببياضك ، فخرج فيها فعرق فوجد منها ريحا فرجع فنزعها


Maksudnya;
“Rasulullah SAW memakai pakaian serba hitam, lalu bertanya kepada Aisyah; “apa pandangan kamu Wahai Aisyah?” berkata; “alangkah segaknya kamu apabila kulit putih kamu dengan hitam pakaian itu, dan hitamnya dengan putih kamu. Nabi SAW pun keluar dan didapati beginda berpeluh, maka semerbaklah bau wangi. Lalu baginda pulang dan memecat pakaiannya tadi
[2]”

Hadis ini membuktikan kepada kita bahawa, Nabi SAW sering bertanya kepada isterinya tentang pakaian yang dikenakan baginda, apakah ianya bersesuaian atau tidak.

Tindakan bertanya pandangan isteri tentang pakaian yang hendak dipakai ini, merupakan salah satu cara untuk melahirkan perasaan dihargai dalam diri isteri. Isteri pasti akan berbangga apabila dihargai sebegitu, lebih-lebih lagi jika suami mereka adalah manusia yang menjadi model untuk manusia tiru. Sudah pasti isteri itu akan berfikir, orang meniru suaminya, pada hakikatnya meniru hasil dari pendapat dan pandangan yang dikemukakan terhadap suaminya.

Menelaah kepada hadis ini, selayaknya para suami menjadikan ianya sebagai tauladan. Tidak perlu malu untuk bertanya pandangan isteri tentang pakaian yang dipakai. Disamping itu juga, para isteri hendaklah bersedia memberikan pendapat yang bernas dan jujur dalam menentukan bentuk pakaian yang mahu di pakai oleh suami.

Jika ini boleh di amalkan, sudah pasti kemesraaan dan kebahagiaan dalam rumah tangga akan terhasil, lebih-lebih lagi dalam usaha mencapai redha Allah SWT dalam mengharungi bahtera kehidupan berumah tangga.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
5 mac 2009 * 3:21 petang







[1] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 68.
[2] Musnad Ishaq bin Rahawiyyah : 1530.

Wednesday, March 4, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 10

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 10
BEREBUT-REBUT DENGAN ISTERI KETIKA BERWUDU’

Pada pandangan umum menyatakan bahawa bermesra dengan isteri hanya berlaku di atas ranjang tidur, sedangkan bermesra dengan isteri itu tidak semestinya di ranjang sahaja, bahkan di mana-mana pun boleh bermesra dengan isteri.

Bermesra merupakan cara untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang antara dua suami dan isteri. Bagi melahirkan perasaan itu, Islam membenarkan ianya berlaku, walaupun dikala mahu melakukan ibadat.

Ini dapat dilihat dengan hadis Ummu Subayyah Al-Juhaniyyah atau nama sebenarnya Khaulah binti Qais yang merupakan salah seorang Isteri Nabi SAW[1] pernah berkata;

اخْتَلَفَتْ يَدِي وَيَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْوُضُوءِ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ

Maksudnya;
”tanganku dan tangan Rasulullah SAW sering berselisih ketika berwudu’ daripada satu bekas[2]”

Yang dimaksudkan dengan tangan Ummu Subaiyyah dan tangan Nabi SAW berselisih adalah, kadangkala Ummu Subaiyyah menaguk air dengan kedua tangannya dari bekas tersebut, lalu diikuti oleh Nabi SAW, dan kadangkala Nabi SAW menaguk air dengan kedua belah tangan Baginda, lalu diikuti oleh Ummu Subayyah[3].

Ada ulama lain menyatakan, perselisihan tangan yang berlaku ketika berwuduk antara Rasulullah SAW dengan Ummu Sabiyyah itu sehingga mereka berebut-rebut sehingga Ummu Sabiyyah tidak mendapat air untuk berwudu’, lalu meminta Rasulullah SAW agar air itu disimpan sedikit untuknya.

Memahami dari ulasan-ulasan ulama-ulama hadis ini, amat jelas kepada kita bahawa Baginda SAW tidak sekadar menjadikan masa di ranjang sahaja tempat untuk bermesra dengan isteri, bahkan kadangkala Baginda SAW juga mengambil kesempatan dalam beberapa keadaan ibadat, iaitu berwudu’ untuk bergurau dan bermesra dengan isteri.

Kepada kaum lelaki yang mahu melahirkan kehidupan rumah tangga yang meriah dan gembira, selayaknya menjadikan hadis ini sebagai panduan. Bergurau dengan isteri dikala berwudu’ ini, tidak semestinya dilakukan selalu, tetapi dalam sebulan sekali, dalam masa dua minggu sekali dan sebagainya.

Jika ini dapat dilakukan oleh para suami, pasti isteri akan merasa bahagia hidup bersama suaminya itu. ini kerana, suaminya sering mewujudkan suasana gurau yang melahirkan keseronokkan hidup antara suami isteri.

PENAMBAHAN

Air sedikit dijadikan berwudu’ adalah perkara yang dikhilafi oleh ulama. Menurut pendapat Imam Syafii Qadim, iaitu pendapat Imam As-Syafii keluarkan semasa berada di Iraq, bahawa air sedikit boleh dijadikan sebagai air wudu’.

Adapun pendapat Imam As-Syafii semasa di Mesir, atau dikenali Qaul Jadid Imam As-Syafie, beliau berfatwa bahawa air yang sedikit memungkinkan berlaku air musta’mal yang dilarang digunakan untuk berwudu’.

Definisi Air Musta’mal menurut Syafiiyyah adalah;

“Air sedikit yang digunakan pada fardu taharah daripada hadas, seperti basuhan pertama, mandi jinabah dan sebagainya[4]”

Mengikut pendapat Syafiyyah Jadid, titisan air bagi basuhan sunat yang kedua dan ketiga ketika berwudu’ atau mandi jinabah, tidak dikira sebagai air musta’mal.

Dikira sebagai air musta’mal juga, sekiranya basuhan tersebut dari basuhan wajib bagi wudu’ kanak-kanak.

Mengikut Mazhab Syafii yang jadid, hukum air musta’mal adalah suci dan tidak boleh menyucikan. Maknanya, air musta’mal tidak boleh dijadikan sebagai air untuk berwudu’ dan mandi.

Dalil yang dipegang oleh mereka adalah hadis;

عن مُحَمَّدِ بن الْمُنْكَدِرِ قال سمعت جَابِرًا يقول جاء رسول اللَّهِ (ص) يَعُودُنِي وأنا مَرِيضٌ لَا أَعْقِلُ فَتَوَضَّأَ وَصَبَّ عَلَيَّ من وَضُوئِهِ

Maksudnya;
“Daripada Muhammad bin Al-Mungkadir berkata, Aku dengan Jabir berkata, telah datang Rasulullah SAW menziarahiku ketika aku sedang sakit. Lalu baginda berwudu’ dan menuangkan kepadaku air wudu’nya (aku menadah air wudu’ nabi SAW)[5]”

Mengikut ulasan Mazhab Syafii jadid, mereka mengatakan hadis ini disangkakan bahawa tadahan air itu bukanlah untuk dijadikan wudu’, tetapi dijadikan sebagai minuman, kerana dizaman tersebut, kekurangan air amat teruk[6]. Oleh itu, air tersebut tidak dijadikan sebagai berwudu’, tetapi digunakan untuk minuman. Dengan itu, air kesan wudu’ nabi itu adalah air musta’mal yang tidak boleh digunakan untuk berwudu’.

Walaubagaimanapun, mengikut satu riwayat mazhab Syafii dan Malik, mereka berpendapat bahawa air musta’mal tetap dikira seperti air mutlaq juga, iaitu airnya suci dan menyucikan[7].

Mereka berdalilkan kepada hadis;

عن الرُّبَيِّعِ أَنَّ النبي (ص) مَسَحَ بِرَأْسِهِ من فَضْلِ مَاءٍ كان في يَدِهِ

Maksudnya;
“Daripada Rubai’, Sesungguhnya Nabi SAW menyapu kepalanya daripada air yang tersisa ditangannya[8]”

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 mac 2009 * 3:15 pagi


[1] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala : 2/261. Aun Al-Ma’bud : 1/97.
[2] Sunan Abi Daud : 71.
[3] Aun Al-Ma’bud : 1/97.
[4] Al-Fiqh Al-islami Wa Adillatuh (1/123)
[5] Saheh Al-bukhari (1/82) hadis no : 191.
[6] Al-Fiqh Al-islami Wa Adillatuh (1/124)
[7] Fiqh As-Sunnah (1/23)
[8] Sunan Abi Daud (1/32) hadis no : 130.