Wednesday, May 6, 2009

Keluarga Idaman : Merancang Bahagia

Oleh : abuFateh


'Nak pilih doktor ke ustazah ni?'

'Kalau doktor lepas ni sama-sama sibuk. Sapa nak jaga anak?'

Soalan biasa yang selalu saya terima untuk dijawab. Soalan sebegini sebenarnya menggambarkan mentaliti si penanya. Memilih jenis dan kategori mana bakal pasangan hidup merupakan langkah awal untuk sebuah pembinaan rumahtangga yang bahagia.

Kebahagian sepuluh tahun mendatang perlu dirancang. Bukan sekadar relax dan menunggu sebuah natijah yang baik tanpa usaha yang unggul.

Saya tertarik dengan 3 artikel dari Berita Harian. Maklumat sebegini sangat perlu diketahui oleh pasangan yang berkahwin dan yang dalam perancangan ke arah itu. Seeloknya pembaca melayari artikel-artikel di bawah ini sebagai ilmu berguna untuk kita bersama.

1. Jodoh singkat
2. Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak
3. Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda.

Saya sendiri mula gusar dengan fenomena 'cerai express' yang makin meningkat di negara kita. Mangsa yang tidak berdosa ialah anak-anak yang pastinya akan tandus kasih sayang dan trauma psikologi jangka masa panjang.

Pelbagai faktor yang mungkin boleh dibawa datang. Hakikatnya ianya perlu kepada kesedaran pasangan dalam mempertahankan mahligai yang dibina.

Ada rumahtangga yang dibina di atas asas yang cukup kukuh. Suami yang soleh, isteri yang taat dan ekonomi yang mantap. Tetapi terkadang hanya kerana masalah komunikasi menjadikan kemanisan yang dikecapi mula tawar. Suami 'bisu', isteri pula membatu. Tiada perkongsian yang menggembirakan hari-hari dalam sebuah rumah. Tidak pandai mengambil hati, merajuk melampau atau tidak pandai memujuk pasangan. Mungkin ianya dipadang remeh oleh segelintir individu, tetapi ketahuilah 'seni bergaul' satu perkara yang teramat penting dalam mengekalkan keharmonian rumahtangga.

Ramai suami atau isteri yang mampu berhadapan dengan orang bawahan di tempat kerja dengan baik tetapi gagal bila berada di rumah.

Ada yang berhujjah mengenai peri penting ilmu agama untuk sebuah rumahtangga yang bahagia. Ramai juga yang jahil dalam ilmu agama tapi mampu meraih bahagia. Persoalannya bagaimana?

Tahu ilmu agama tidak bermakna faqih! Juga tidak bermakna si empunya diri turut lengkap dengan amalan yang sewajarnya. Ianya kembali kepada kefahaman dan amalan. Sekadar tahu syarat sah akad nikah dan cerai talak bukanlah penjamin sebuah kebahagian. Akhlak berumahtangga sebagaimana ajaran Rasulullah saw asas penting yang jangan sesekali dilupakan.

Akhlak berumahtangga atau sikap dan nilai kita dalam bermuamalah dengan pasangan dan anak-anak merupakan seni penguat keutuhan keluarga. Ramai yang hanya cakna pada hukum hakam tapi tidak pada akhlak sebegini. Sedangkan nabi saw pernah mengingatkan kepada kita :

'sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik (hubungan muamalah) dengan ahli keluarganya, dan aku lah yang terbaik (hubungan muamalah) dengan keluargaku'.

Hadis ini perlu dinilai dari sudut perilaku nabi saw sebagai seorang suami. Bagaimana baginda saw bila bersama-sama dengan para isteri dan anak-anak dengan kesibukkan tugas sebagai rasul.

Rasulullah saw seorang yang sibuk. Baginda saw juga bukanlah seorang yang kaya raya. Kajian turut menyebut antara punca penceraian zaman sekarang ialah kekangan ekonomi dan kesibukkan suami isteri mencari nafkah. Sekiranya hal sebegini menjadi alasan, mengapa tidak kita menjengah kehidupan nabi saw sebagai panduan.

Kehadiran orang ketiga sering kali disebut-sebut sebagai punca. Orang ketiga maupun keempat sekiranya ditangani dengan betul pastinya masih mampu menyendal dinding yang hampir roboh. Masalahnya belum disendal, rumah sudah dibakar. Orang ketiga yang dibenarkan syarak boleh ditangani dengan baik. Yang sukarnya sekarang ini bukan sahaja suami yang mempunyai orang ketiga bahkan isteri terbabit sama.

Perkahwinan perlu kepada sebuah perancangan.

Betul ilmu agama sangat penting. Namun jangan diabaikan untuk merancang berubah sikap, menambah ilmu kekeluargaan dan merangka ekonomi keluarga buat hari-hari mendatang.

Ramai yang berkahwin kerana ingin berkahwian. Tak kurang juga kerana hanya sebagai ikut-ikutan lantaran kawan-kawan sekeliling sudah menamatkan zaman bujang. Perkahwinan tanpa perencanaan yang teliti terkadang boleh mengundang padah.

Ya, kita mesti yakin kepada rezeki daripada Allah! Namun yakin tanpa usaha dan perancangan itu satu kebodohan. Sekadar menagih janji Allah dengan lipahan rezeki seusai perkahwianan, 'rezeki anak' dan sebagainya tetapi statik berpeluk tubuh tanda awal rumahtangga yang akan runtuh. Ini cerita ekonomi dan rezeki, sama halnya dengan sudut-sudut lain yang perlu diteitikberatkan.

Justeru rancanglah kebahagiaan mendatang anda dari sekarang. Ilmu, amal, ekonomi, sikap dan kawalan emosi untuk sebuah keluarga idaman.

Jadi nak pilih doktor ke ustaz@ustazah? Saya sambung dalam entri mendatang. Ianya ada kaitan dalam merancang bahagia.

1 comment:

hasellusiby said...

salam...

tumpang ziarah. jika ada yang berminat dengan teori konspirasi, sejarah nusantara yang hilang, sufism, kebangkitan akhir zaman..sila lah ke nusanaga.blogspot.com

harap salam ukhwah akan bertaut demi masa depan..sekian

......................................