Monday, March 23, 2009

Mendidik Anak Berdakwah

radix-long

“Yop, kalau Yop nampak Imad pergi ke dapur, Yop tengok ya. Jangan biarkan dia seorang diri di situ,” saya memberitahu Saiful Islam sebelum naik ke atas bersiap untuk solat.

“Ok,” jawabnya.

“Ummiiii, Imad berak,” kata anak perempuan saya, mengadu tentang adiknya yang tiba-tiba diam membatu di tepi tangga.

“Naurah bawakan Imad ke atas ya,” kata Ummu Saif kepadanya.

“Kalau Yop atau Naurah nampak lampu bilik air terbuka, tutupkan boleh?” saya berpesan.

“Boleh!” jawab Naurah. Saiful Islam mengangguk.

07012008342

Apa yang penting? Kerjasama…!!!

Dialog-dialog di atas adalah perbualan harian di antara kami sekeluarga. Pesanan-pesanan kepada anak agar mereka saling bantu membantu menjaga keselamatan adalah rutin yang diulang-ulang. Apatah lagi selepas kami masuk ke rumah baru yang bertingkat atas dan bawah ini. Apabila duduk di atas, kadang-kadang timbul rasa risau apabila anak-anak senyap di bawah.

Entah apa ‘projek’ mereka di bawah sana.

Perbualan sebegini jika dinilai sebelah mata, ia mungkin sekadar pesanan biasa dari seorang ibu atau bapa kepada anak-anaknya. Tidak lebih daripada itu.

Tetapi jika kita mempertimbangkannya dari sudut yang lebih tinggi, pesanan sebegini amat berkesan dalam menanamkan nilai PEDULI di antara satu sama lain. Kepedulian itu amat penting kerana ia adalah asas kepada perintah DAKWAH.

Mungkin biasa benar kita mendengar ibu bapa mengajar anak bersolat.

Biasa juga mendengar ibu bapa mendidik anak menutup aurat.

TIDAK DENGAN DAKWAH

Tetapi amat jarang kita mendengar ibu bapa mendedahkan anak-anak kepada konsep dan perintah DAKWAH.

Bukan sahaja daripada ibu bapa kepada anak, malah di dalam masyarakat kita sendiri. Dakwah adalah sebahagian daripada keganjilan Islam di akhir zaman ini. Jika disebut bab solat, semua orang tahu bahawa solat itu sebahagian daripada Islam. Jika dibicarakan soal zakat, maka pembayar zakat, penerima zakat, amil zakat dan orang yang enggan membayar zakat, semuanya tahu bahawa zakat itu adalah salah satu daripada binaan Islam.

Begitu juga dengan aurat, mengaji Quran dan menghormati ibu bapa.

Tetapi tidak dengan dakwah.

Dakwah urusan orang berketayap berjanggut. Dakwah itu subjek orang yang keluar 40 hari. Dakwah itu kerja ustaz-ustaz. Macam-macam idea tentang dakwah, memencilkannya daripada kehidupan Muslim.

Apatah lagi untuk seorang ibu atau bapa mengajar anak tentang dakwah.

Malah apa yang banyak berlaku ialah ibu bapa berpesan kepada anak-anak menjauhkan diri daripada dakwah. Mereka lebih tenang melihat anak yang bertudung tiba-tiba mencabut tudung, berbanding dengan anak yang bertudung tiba-tiba melabuhkan tudungnya.

“Gila dakwah,” kata mereka.

NASIHAT LUQMAN

Keganjilan itu, tidak pada manusia yang kaya hikmah bernama Luqman.

Nasihat-nasihat beliau kepada si anak, penuh tertib dan mendalam pengertiannya. Tidak jemu-jemu ahli Tafsir mengkaji dan menghuraikan keindahan dan ketinggian nilai pada nasihat Luqman kepada anaknya.

Di antara sederetan nasihat beliau kepada anaknya, yang disampaikan dengan penuh kasih sayang pada ungkapan kalimah Ya Bunayya (wahai anakku sayang), adalah nasihat beliau tentang DAKWAH.

31_17

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala musibah yang pasti menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya” [Luqman 31: 17]

Tiada perintah yang lebih besar berkaitan dengan hablun min Allah selain daripada solat. Dan tiada perintah yang lebih penting berkaitan hablun min al-Naas selain daripada perintah dakwah berupa amar ma’ruf dan nahi munkar.

Luqman tidak bertangguh menasihat anaknya tentang hal ini. Biar pun kita tidak mempunyai sebarang maklumat sahih berkenaan dengan profail si anak, namun lenggok bahasa Luqman memperlihatkan bahawa anaknya itu berada di usia yang muda. Sebahagian daripada nasihat Luqman kepadanya, adalah pada menyatakan tentang tuntutan dakwah.

Malah Luqman tidak sekadar mengingatkan anaknya tentang tuntutan dakwah, beliau juga mendedahkan si anak tentang realiti dakwah.

“…dan bersabarlah atas segala musibah yang pasti menimpamu.”

Dakwah itu sasarannya manusia.

Halangannya adalah syaitan dan nafsu.

Dakwah itu suatu tugas. Upahnya adalah ujian yang mendatang. Ia bukan jalan yang senang. Pendakwah pasti teruji. Justeru bersabarlah wahai anak dan sekalian yang menyeru, ini jalannya semenjak dahulu. Teruji dengan kesengsaraan, mungkin juga oleh kesenangan dan kemewahan. Apa-apa sahaja yang bakal melintang di jalan dakwahmu, bersabarlah.

Nasihat Luqman tentang dakwah kepada si anak, disampaikan dengan penuh sedar. Sabar dan proaktif, begin with the end mind juga disuluh secerahnya. Dan biar pun begitu realiti dakwah, ia adalah urusan yang besar. Tekadkan azam dan berikan komitmen.

SILIBUS IBU BAPA

Luqman mengajar anaknya tentang dakwah.

Ia juga tugas kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak agar berhasil melahirkan generasi pendakwah di masa hadapan. Langkah pertama untuk menyemai pemikiran dakwah di minda dan jiwa anak-anak, adalah dengan menyuntik kepedulian kepada jati diri mereka.

Didiklah anak-anak agar mereka saling mengambil berat di antara satu sama lain.

Bermula dari situ, insan kecil yang berjiwa peduli ini akan sampai masa dan ketikanya mereka menyambut dakwah dengan fitrah, tanpa kesah dan tanpa beban gelisah.

Dakwah itu fitrah… suburkanlah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Sunday, March 22, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 21 - SEDIA WAKTU KHUSUS UNTUK ISTERI

SEDIA WAKTU KHUSUS UNTUK ISTERI



Ada manusia yang hidupnya tidak sibuk, masalah pembahagiaan waktu untuk keluarga tidak menjadi masalah baginya. Pun begitu, disana wujud manusia yang hidupnya terlalu sibuk. Kesibukan itu, ada kalanya kerana kerja, ada kalanya kerana dakwah dan berbagai-bagai lagi istilah sibuk ditampalkan.

Ada sebilangan manusia, kesibukan yang mengintai hidupnya menyebabkan dia tidak sempat menyediakan masa untuk bersama keluarga. Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi kemesraan sesama keluarga, khususnya antara suami dan isteri akan menjadi hambar.

Apabila hambar kemesraan, menyebabkan hilangnya daya kebahagiaan dan rahmat sebenar dalam berumahtangga seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya;
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

(Surah Ar-Rum : 21)

Nabi Muhammad SAW yang merupakan tauladan terbaik, telah memberikan satu gambaran yang berkualiti dalam menghadapi waktu sibuk, disamping tidak mengabaikan tugasan memberikan kemesraan terhadap para isteri.

Keadaan ini dapat dibuktikan dengan satu hadis, bahawa Saidina Husain yang merupakan salah seorang cucu Baginda Nabi bertanya kepada bapanya yang bernama Ali bin Abi Talib dengan katanya;

سَأَلْتُ أَبِي عَنْ دُخُولِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:كَانَ دُخُولُهُ لِنَفْسِهِ مَأْذُونًا لَهُ فِي ذَلِكَ فَكَانَ إِذَا أَوَى إِلَى مَنْزِلِهِ جَزَّأَ نَفْسَهُ دُخُولِهِ ثَلاثَةَ أَجْزَاءٍ: جُزْءٌ لِلَّهِ، وجزءٌ لأَهْلِهِ، وجزءٌ لِنَفْسِهِ،

Maksudnya;
“Aku bertanya kepada bapaku (Ali bin Abi Talib) berkenaan Rasulullah SAW ketika masuk ke dalam rumah. Berkata; ketika Rasulullah masuk, baginda masuk dengan diberi izin terlebih dahulu. ketika berada dalam rumah, baginda membahagikan masanya di rumah kepada tiga bahagian; (1) untuk Allah, (2) untuk ahli keluarganya, dan (3) untuk dirinya
[1]”

Kita mengenali Nabi Muhammad adalah seorang manusia yang amat sibuk dengan tugasan dakwah. Dalam kesibukan itu, Nabi SAW tidak pernah menjadikan tugasan yang lain sehingga terabai.

Antara tugasan yang tidak diabaikan oleh Nabi SAW adalah, memberikan satu waktu khusus untuk bermesra bersama para isteri. Nabi Muhammad SAW mengerti, tugasan baginda dalam dakwah amat besar dan berat. Sebagai pendakwah, sudah pasti beliau akan dijadikan contoh tauladan oleh manusia ramai.

Ekoran dari itulah, kita akan dapati Nabi SAW benar-benar mengajar tauladan kepada manusia. Antara tauladan itu adalah, Nabi SAW tidak mengabaikan tugasan baginda untuk memberikan kemesraan baginda terhadap para isteri.

Kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan dalam mengharungi kehidupan berumahtangga yang bahagia. Jika diperhatikan rata-rata manusia yang bercerai, antara sebabnya adalah, apabila pihak suami terlalu sebuk dengan tugasan mencari rezeki, sehinggakan terlalai dari melaksanakan tugasan terhadap isteri mereka.

Ekoran itulah, didapati isteri menjadi liar. Jika tidak liar pun, mereka akan menjadi manusia yang mempunyai perasaan dalaman yang bergelora, yang apabila ianya terluah melahirkan perceraian yang dibenci oleh Allah SWT.

Justeru, jadikan tauladan Nabi SAW ini sebagai panduan. Panduan dalam berkeluarga, juga panduan dalam melahirkan kemesraan dalam berumahtangga yang berjaya mengecapi kebahagiaan dalam mengharungi bantera kehidupan

Sekian
Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- sri Indah (B), Sg Buloh
22 mac 2009 * 2:27 pagi



[1] Al-Mukjam Al-Kabir : 17867

Thursday, March 19, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 20 - TIDAK MENERIMA JEMPUTAN TANPA ISTERI

TIDAK MENERIMA JEMPUTAN TANPA ISTERI

Kebahagiaan tidak sekadar wujudnya kemesraaan antara suami dan isteri. Kadangkala isteri akan merasa mereka dihargai juga merupakan cara untuk melahirkan kebahagiaan berumah tangga.

Sebagai suami yang baik, Nabi SAW amat meletakkan para isterinya sebagai manusia yang dimuliakan di mata masyarakat. Tindakan Nabi SAW itu adalah, untuk melahirkan perasaan berharga dalam diri para isteri di mata suami mereka.

Jika diselidiki dari hadis-hadis. Kita akan dapati, antara cara nabi SAW bertindak mewujudkan perasaan kebanggaan isteri baginda adalah dengan menghadiri sesuatu majlis tertentu dengan disertai isteri baginda bersama. Bahkan, apabila jemputan itu hanya kepada Nabi, baginda tidak menerima jemputan tersebut hinggalah isteri baginda juga dijemput.

Ini disandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang berkata;

أَنَّ جَارًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَارِسِيًّا كَانَ طَيِّبَ الْمَرَقِ فَصَنَعَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ جَاءَ يَدْعُوهُ فَقَالَ وَهَذِهِ لِعَائِشَةَ فَقَالَ لَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا فَعَادَ يَدْعُوهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَذِهِ قَالَ لَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا ثُمَّ عَادَ يَدْعُوهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَذِهِ قَالَ نَعَمْ فِي الثَّالِثَةِ فَقَامَا يَتَدَافَعَانِ حَتَّى أَتَيَا مَنْزِلَهُ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Rasulullah SAW mempunyai seorang jiran berbangsa farsi. Dia mempunyai kepandaian memasak lauk berkuah. Dia telah memasak untuk dihidangkan bersama Rasulullah SAW. kemudian Dia menjemput Nabi. Nabi berkata : ”Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia menjawab: ”tidak”. Nabi berkata : ”kalau begitu, aku pun tidak terima jemputan itu”. Dia pun pulang dan datang kembali menjemput. Nabi SAW berkata : ”apakah Aisyah dijemput sama?” dia berkata : ”tidak”. Nabi SAW berkata : ”kalau begitu, Aku tidak akan terima jemputan ini” Dia pulang dan datang kembali lagi menjemput. Nabi berkata : ”apakah Aisyah dijemput?” Dia menjawab : ”Ya” pada kali ketiga. Nabi dan Aisyah pun bangun, dan sama-sama ke rumahnya[1]”

Lihatlah Nabi SAW dalam hadis ini, bagaimana penghargaan yang telah diberikan oleh Nabi kepada Isteri baginda. Tindakan Nabi SAW ini sewajarnya dijadikan contoh tauladan yang baik dalam melahirkan kebahagiaan sesama suami dan isteri.

Isteri pasti akan berbangga, jika suami mereka bertindak tidak mengabaikan mereka dalam menghadiri majlis-majlis tertentu. Lebih-lebih lagi, jika suami mereka adalah orang yang kenamaan.

Begitujuga, dengan tindakan membawa isteri sama dalam sesuatu majlis, sememangnya di sana wujudnya persaudaraan itu tidak sekadar dengan suami sahaja, tetapi sudah melibatkan bersaudaraan antara keluarga. Yang sudah pasti, dengannya melahirkan masyarakat yang harmoni.

Melahirkan masyarakat harmoni sering menjadi perbincangan. Permasalahan ini tidak berjaya dirungkaikan, apabila mereka tidak berjaya mendapat satu keputusan yang kukuh.

Apa yang nyata, Nabi SAW sendiri sebenarnya telah memberikan panduan dalam menyelesaikan permasalahan yang sedang dibincangkan itu. Tetapi sedih, ianya tidak disambut dengan sebaiknya.

Nah !! Nabi SAW sendiri telah memberikan satu panduan yang amat berguna dalam menyelesaikan permasalahan ini. bukan sekadar masalah masyarakat harmoni sahaja boleh terbina, bahkan ianya juga berjaya melahirkan keharmonian dalam berumahtangga.

Apabila isteri sudah rasa dihargai suami, maka sudah pasti isteri tidak akan mengabaikan tugasnya untuk membalas penghargaan yang diberikan suami. Maka disitulah, bermula kebahagian yang cantik lagi indah dalam mengharungi bahtera rumah tangga.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
20 mac 2009 * 3:03 pagi


[1] Sahih Muslim : 3798.

Usrah Muslimah Nadi Ummah

Muqaddimah

Umat kini dinodai tanpa belas simpati. Setiap sendinya dilumpuhkan dengan kekejaman yang tidak terperi , sedang umat ini merupakan umat terbaik yang dirancang oleh Allah SWT untuk membina ketuanan al-Ma’ruf dan memusnah kemaharajalelaan al-Mungkar.

Di dalam Surah Ali `Imran : 110, Allah SWT berfirman;

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر و تؤمنون بالله

Maksudnya: Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan untuk manusia agar kamu menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT.

Barat dan orientalis Zionisme melalui protokol jahat mereka menjadikan sistem keluarga (usrah) umat Islam sebagai tuju sasar mereka untuk menghancurkan Islam dan gerakannya.

Proses Pelupusan Usrah Muslimah

1. Menganjurkan pergaulan bebas dan merangsang nafsu ke arah ‘Free Sex’. Sementara api hedonisme terus menerus disirami minyak agar umat Islam alpa selanjutnya meninggalkan prinsip-prinsip Islami. Kesan sampingan yang paling minima, bakal diterima oleh umat Islam ialah mengenepikan aspek agama dalam memilih pasangan hidup mereka, sedangkan ini adalah suatu bahaya besar yang akan menghancurkan institusi rumahtangga muslim ( Usrah Muslimah ).

2. Konsep rumahtangga barat yang berorientasi maddiyah kononnya sebagai asas kebahagiaan diberi publisiti yang luas. Harta dan kemewahan menjadi target perlumbaan hidup mereka sehingga ianya memberi persaingan hebat kepada kasih sayang dan keharmonian rumahtangga.

3. Pendidikan sekular ( penjarakkan ugama dari kehidupan ) di‘higt light’ kepada masyarakat umat Islam bermula dari peringkat tadika ( Hadhanah ) hinggalah ke tangga universiti. Fenomena ini mencambahkan benih jahiliah sekular dari dalam rumahtangga umat Islam itu sendiri.

4. Kebebasan bersuara tanpa batas dan kawalan sistem dosa dan pahala anjuran barat ditiup kepada masyarakat umat Islam yang akhirnya di atas nama tamadun dan hak asasi manusia, seorang isteri boleh menuntut hak sekalipun di luar kemampuan suami dan suami boleh didakwa kiranya menyetubuhi isteri tanpa kerelaan. Begitu juga seorang anak, bebas bertindak tanpa perlu kepada kawalan ibu bapa.

5. Pembinaan sahsiah dan umah Islamiah dianggap hak peribadi dan di luar tanggungjawab Usrah Muslimah, sehingga amal Islami menjadi satu ruang yang sempit setelah mereka mendirikan rumahtangga.

Demikian antara kerja jahat musuh yang tidak berhati perut untuk melumpuhkan umat Islam. Persoalannya sekarang, apakah kita hanya berpeluk tubuh dan menyepi diri menyaksi segala aksi mereka di hadapan mata kepala kita?! Hanya mereka yang tidak memiliki sensitiviti dan basirah sanggup membisu dan menggulung lidah menyaksi segalanya.

Struktur Pembinaan Usrah Muslimah

Pembinaan Usrah Muslimah bermula dari penyediaan konkrit dan tapak yang kukuh. Percubaan membina Usrah Muslimah di tanah lumpur atau di tebing runtuh hanya satu percubaan yang sia-sia malah membahayakan diri. Islam telah melakarkan “Pelan Tapak Kukuh” untuk tujuan pembinaan tersebut.

Tapak Usrah Muslimah

عن جابر أن النبي صلى الله عليه و سلم قال : إن المرأة تنكح على دينها و مالها و جمالها فعليك بذات الدين تربت يداك .
رواه الترمذي وقال حسن صحيح

Maksudnya: Dari Jabir bahwa Nabi SAW telah bersabda ; Sesungguhnya perempuan itu dikahwini berdasarkan agamanya, hartanya dan kecantikkannya, maka selayaknya engkau memilih agama yang pasti membahagiakanmu. [Hasan Sahih, Riwayat at-Tirmizi]

Hal ini turut ditegaskan oleh al-Imam al-Ghazali Rhm di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin :

“ Proses pengislahan ehwal kehidupan ( berumahtangga ) tidak dapat tidak dengan mengambil perhatian serius terhadap perempuan yang ingin dikahwininya supaya kekal cinta kasih, iaitu perempuan yang ada padanya lapan perkara :

1. Beragama ( keperibadian dan spiritual )
2. Berakhlak mulia ( solehah )
3. Murah mas kahwinnya
4. Tidak mandul
5. Anak dara
6. Berbangsa ( keturunan yang baik )
7. Cantik
8. Tidak daripada kaum kerabat yang dekat ”

Statement ini tidak bermakna hanya pihak lelaki yang mesti memilih calon isteri yang solehah sebaliknya kaedah yang sama perlu dipraktikkan oleh pihak perempuan untuk memilih calon suami yang soleh.

Justeru perempuan turut diberi tanggungjawab yang sama oleh Allah SWT untuk menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Di dalam Surah at-Taubah : 71, Allah SWT berfirman:

والمؤمنون و المؤمنات بعضهم أولياء بعض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلوة ويؤتون الزكوة ويطيعون الله ورسوله أولئك سيرحمهم الله إن الله عزيز حكيم

Maksudnya: Lelaki dan perempuan yang beriman sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain ke arah menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mereka mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta mentaati Allah dan Rasul, mereka ini akan dirahmati Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Sabda Rasulullah SAW :

إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوا تكن فتنة في الأرض وفساد عريض

Maksudnya : Apabila seorang lelaki yang engkau redhai agama dan akhlaknya masuk meminang, maka terimalah ( kahwinilah ! ) jika tidak akan berlaku fitnah dan kerosakkan yang besar di muka bumi. ( Riwayat at-Tirmizi )

Haikal Usrah Muslimah

Tapak yang kukuh tanpa seni bina yang berkualiti juga tidak memberi sebarang erti. Usrah Muslimah sayugianya memiliki haikal yang lengkap dan sempurna menepati ‘Pelan Induk’ yang telah diutuskan oleh Allah SWT kepada nabiNya Muhammad SAW.

Ustaz Said Hawa telah menggariskan sepuluh perundangan Usrah Muslimah yang wajib dilaksanakan : [1]

Qanun 1 : Kebersihan dan Kesucian ( النظافة و الطهارة )
Qanun 2 : Sistematik, Penyusunan dan Kekemasan ( التنظيم و الترتيب و حسن الههيئة )
Qanun 3 : Ketenteraman dan Kerahsiaan ( خفض الصوت و كتمان الأسرار )
Qanun 4 : Sistematik Ilmu dan Ibadah ( تنظيم العلم و العبادة )
Qanun 5 : Belanjawan ( الإقتصاد في الطعام و الشراب )
Qanun 6 : Komunikasi dan Interaksi ( العلاقة و آداب التعامل )
Qanun 7 : Kesihatan dan Pergerakan Jasmani ( العناية بالصحة و الرياضة )
Qanun 8 : Kawalan penghuni dan Nahi Mungkar ( حماية البيت و أهله من الشذوذ )
Qanun 9 : Kejiranan dan Tetamu ( الإحسان إلى الجار و إكرام الضيف )
Qanun 10 : Adab Keluar Masuk ( مراعاة الأدب في الدخول و الخروج )

Tip Usrah Muslimah Cemerlang

Di dalam Surah ar-Ruum : 21, Allah SWT berfirman :

ومن اياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا اليها وجعل بينكم مودة ورحمة

Maksudnya: Dan di antara tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kasih sayang ....

Objektifnya :

1. Rumahtangga yang dibina atas dasar taqwa dan kesinambungan dakwah.

2. Menghiasi rumahtangga dengan Biah Islamiah.

3. Kreatif dalam memeriahkan suasana rumahtangga seperti tazkirah, qiam, jaulah, ziarah, infaq dan persekitaran yang ceria seperti gubahan bunga, penyusunan perabot, pelan pembinaan rumah, halaman yang segar dan sebagainya.

4. Mendalami tanggungjawab dalaman dan luaran suami isteri melalui pembacaan, perbincangan dan pengamatan.

5. Menjadikan rumahtanggga sebagai Markaz Dakwah.

6. Mengamal konsep Tanasuh dan Tafahum.

7. Menunaikan hak-hak suami isteri seperti kepuasan seks, kerahsiaan dan seumpamanya.

8. Tidak mudah buruk sangka terhadap pasangan dan mengamalkan sikap berlapang dada dalam sesuatu perkara.

9. Pengurusan ekonomi yang sederhana dalam rumahtangga. Kreatif menambah sumber kewangan rumahtangga untuk kegunaan peribadi dan dakwah.

10. Melibatkan diri dalam mana-mana organisasi atau jemaah Islam dan mengikuti perkembangannya seperti keterlibatan dalam program sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran dakwah dan bertanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

Penutup

Usrah Muslimah adalah madrasah yang bertanggungjawab penuh melahirkan individu muslim yang memahami tugas dan peranan mereka sebagai hamba Allah. Lantaran itu, kejayaan sesebuah Usrah Muslimah dinilai sejauh mana ianya mampu melahirkan individu muslim yang memiliki identiti dan kualiti Muslim Rabbani.

Kegemilangan Usrah Muslimah tidak hanya terhenti pada rupa wajah zahir dan kebahagiaan sementara yang dikecapi di dunia ini sebaliknya bergantung kepada nilai ukhrawi yang wujud pada Usrah Muslimah tersebut.

Disediakan oleh:

Hj Nasrudin at-Tantawi & Syukriah binti Zakaria

http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

_____________________________________

[1] Sila rujuk kitab : كي لا نمضي بعيدا عن احتياجات العصر karangan Us Said Hawa. m/s 48 Cetakkan Darul Salam. ( cetakkan ketiga 1992 )

Wednesday, March 18, 2009

KISAH CINTA NABI SAW: SIRI 19

KISAH CINTA NABI SAW: SIRI 19
CIUM ISTERI JADI RUTIN HARIAN

Mencium Isteri merupakan ibadah. Islam memandang, tindakan tersebut tidak terlarang, bahkan dapat memberikan pahala kepada suami. Lebih-lebih lagi, dengan ciuman itu akan membawa kepada bersetubuh.

Isteri pasti akan gembira apabila mereka selalu dicium oleh suami mereka. Hati yang gundah, bisa menjadi bahagia. Gelap kesedihan, bisa menjadi cerah dengan keriangan.

Dilihat kepada Nabi, suri tauladan ini menjadi amalan harian Nabi SAW dikala bersama Isteri. Tindakan Nabi itu tidak pernah diabaikan, hatta dalam bulan ramadhan sekalipun.

Aisyah R.Ha ada meriwayatkan hadis dengan katanya;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ فِي رَمَضَانَ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya;
“Rasulullah SAW sentiasa mencium aku dalam bulan Ramadhan, ketika itu Baginda SAW sedang berpuasa[1]”

Hadis ini amat nyata lagi jelas, Nabi SAW tetap juga memberikan kasih sayang baginda kepada isteri tanpa mengira waktu. Bulan Ramadhan yang diwajibkan berpuasa tidak dijadikan penghalang bagi Nabi untuk bermesra dengan isteri.

Mungkin ada sebilangan pihak akan merasa ganjil berkenaan dengan cium Isteri ketika sedang berpuasa. Segi hukum, cium isteri dikala sedang berpuasa bukanlah larangan. Tetapi yang terlarang adalah, cium itu boleh membawa kepada bersetubuh.

Ekoran dari itulah, ada sebilangan ulama fiqh menfatwakan mencium isteri bagi orang berpuasa adalah makruh. Mereka menyandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Ha yang berkata;

أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم رجل ، فقال : أقبل في رمضان ؟ قال : « نعم » ثم أتاه آخر ، فقال : أقبل في رمضان ؟ قال : لا ، فقالت عائشة : يا نبي الله ، أذنت لذلك ، ومنعت هذا ؟ قال : « إن الذي أذنت له شيخ كبير يملك إربه ، والذي منعته رجل شاب لا يملك إربه ، فلذلك منعته

Maksudnya;
“Seorang lelaki datang berjumpa dengan Rasulullah SAW, berkata; “bolehkah aku cium isteriku pada bulan Ramadhan?” Nabi berkata : “boleh”. Datang pula lelaki lain bertanya; “bolehkah aku cium isteriku pada bulan Ramadhan?” nabi berkata : “tidak boleh”. Aisyah berkata: Wahai Nabi Allah, kamu izinkan yang ini, dan kamu mencegah yang itu? berkata Nabi : Yang Aku izinkan itu adalah seorang lelaki yang sudah tua. Pasti dia mampu menahan syahwatnya. Dan yang Aku cegah itu pula adalah adalah lelaki muda. Dia tidak mampu menahan syahwatnya, sebab itulah aku mencegahnya[2]”

Jelas dari hadis ini. Larangan dari Nabi agar tidak mencium Isteri dalam bulan ramadhan adalah dikala bimbang berlaku persetubuhan. Adapun jika tidak ada kebimbangan berlaku persetubuhan, maka mencium Isteri itu adalah ibadah, yang memberikan pahala kepada orang yang melakukannya.

Nah !! tauladan Nabi ini amat berguna untuk dijadikan panduan dalam mencipta kemesraan dan kebahagiaan dalam berumahtangga. Dengan mencium Isteri, kebahagiaan, kemesraan dan keseronokkan dalam berumah tangga pasti akan wujud.

Jadikanlah mencium isteri ini sebagai rutin harian. kerana, disebalik tunjuk ajar nabi ini, pasti akan melahirkan sesuatu yang tidak terduga dalam melayari bahtera dalam usaha menuju ke Syurga Allah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 mac 2009 * 1:26 pagi


[1] Sahih Muslim : 1860
[2] Amali Al-Muhamali : 105.

Sunday, March 15, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 18

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 18
MESRA DAN MANJA DALAM PANGGILAN

Panggilan manja mempunyai daya penarik yang kuat untuk melunakkan hati perempuan. Apabila mereka marah, kepanasan api marah bisa disejukkan dengan air panggilan manja.

Dari sudut psikologi, panggilan manja tidak boleh digunakan sehari-hari. Dibimbangi "auranya" menjadi biasa. Apabila ia menjadi biasa, sudah pasti ia menjadi tidak berharga.

Orang yang mendapat kereta baru, dia akan menjaga kereta baru itu dengan sebaik-baiknya. Malam sukar untuk tidur, kerana pemikiranya terikat dengan kereta baru. Pun begitu, apabila kereta baru itu sudah sampai kepada umur yang lanjut, perasaan "sukar tidur" malam itu sudah tiada lagi. Semuanya kerana, kereta itu menjadi penglihatan matanya sehari-hari.

Begitujuga, orang yang baru pandai memandu, pantang nampak kunci kereta, terasa sahaja mahu memandu. Tetapi, apabila sudah hari-hari memandu, masakan kunci kereta, melihat kereta pun kadang-kadang tidak melahirkan perasaan gelojoh mahu memandu lagi.

Persoalannya, mengapa perasaan begitu terjadi???

Ianya kerana "aura" sudah kehabisan nilai. Bagaimana "aura" itu boleh kehabisan nilai?

Puncanya apabila ianya sudah menjadi bahan harian.

Keadaan yang sama juga ketika berinteraksi dengan isteri. Kebiasaan nabi SAW memanggil isteri dengan panggilan biasa. Tetapi, dalam keadaan tertentu, nabi Saw menjadikan panggilan manja sebagai senjata tajam dalam melahirkan kemesraan.

Diceritakan dalam hadis, bahawa Aisyah ada berkata;

إن أول سورة تعلمتها من القرآن طه ، فكنت إذا قلت : طه ما أنزلنا عليك القرآن لتشقى قال صلى الله عليه وسلم : « لا
شقيت يا عائش »

Maksudnya;
"Sesungguhnya surah yang mula-mula sekali aku pelajari daripada Al-Quran adalah surah Taha. Jika aku membaca "Taha.. tidaklah kami turunkan Al-Quran itu untuk kamu menjadi celaka" bersabda Nabi SAW : kamu tidak akan jadi celaka wahai 'Aisy[1]"

Hadis ini dapat dilihat, tindakan nabi SAW memanggil dengan panggilan manja itu bukanlah merupakan panggilan selalu, tetapi dalam masa-masa tertentu sahaja. Tindakan nabi melakukan sedemikian, agar aura panggilan manja itu tidak kehabisan nilai.

Bahkan jika diperhatikan kepada hadis lain, antara tindakan Nabi tempat nabi SAW memanggil isteri dengan panggilan manja, apabila baginda SAW ingin menegur isterinya yang melakukan kesilapan.

Ini disandarkan kepada hadis;

كانت عائشة رضي الله عنها إذا غضبت عرك النبي صلى الله عليه وسلم بأنفها ، ثم يقول : « يا عويش ، قولي : اللهم رب محمد ، اغفر لي ذنبي ، وأذهب غيظ قلبي ، وأجرني من مضلات الفتن »

Maksudnya;
"ketika Aisyah sedang marah, nabi SAW memicit hidungnya, lalu berkata : ya 'Uwaisy, katakanlah; Ya Allah yang merupakan tuhan Muhammad. Ampunilah untuku dosaku. Dan hilangkan kekerasan hatiku, dan selamatkan aku daripada fitnah yang menyesat[2]"

Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana bijaknya nabi SAW dalam mengurus psikologi isterinya dalam menegur.

Apabila kita menegur kesilapan isteri, kadangkala melahirkan perasaan isteri yang agak kurang menerima teguran. Perasaan itu timbul, ekoran mereka dalam keadaan ego.

Justeru, bagi melahirkan perasaan mereka boleh menerima teguran, psikologi yang digunakan nabi SAW adalah memanggilnya dengan panggilan yang mempunyai unsur manja dan mesra. Ini kerana, apabila unsur manja ini digunakan, pasti perasaan mahu menolak teguran tidak akan berlaku.

Oleh itu, kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan dalam menghadapi ranjau dalam berumah tangga. Panggilan manja perlu dijadikan sesuatu yang berharga. Sesuatu yang berharga, tidak boleh digunakan selalu, kerana nilainya akan lupus dari sudut perasaan hati.

Justeru, jadikanlah panggilan manja ini sebagai alat untuk meleraikan masalah, dikala berlaku krisis dan sebagainya.

Adapun panggilan harian, perlu juga mempunyai unsur bermanja, seperti soerang lelaki yang mempunyai isteri bernama Sabariyyah, maka dipanggilnya dengan "Yah" sahaja; hamidah, dipanggil dengan "mida" sahaja; Hafiza, dipanggil dengan "Fiza" sahaja dan seterusnya

Pun begitu, perlu ada juga "panggilan simpanan", dengan menyediakan panggilan yang lebih mesra dan manja berbanding panggilan mesra harian. Seperti "Wahai Sabariah Si kecil molek", "Wahai Mida si cantik manis", "Wahai Fiza si jantung hati" atau seumpama dengannya.

Ianya bukan untuk digunakan harian, tetapi sebagai panggilan untuk memberi ruang kepada hati perempuan menilai cinta dikala menghadapi krisis.

Fikir-fikirkanlah wahai para suami….

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Kg Lubuk Kawah * Jertih
15 mac 2009 * 2:23 pagi




[1] Sab'ah majlis : 10
[2] 'Aml Al-Yaum wa Al-lailah : 454.

Friday, March 13, 2009

Bercinta Sampai ke Syurga

Bercinta Sampai ke Syurga

March 13th, 2009 | by Abu Saif | 149 Views | Print Print | Email Email |

radix-long

Di sini ku berjanji disaksi rembulan
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…

Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?

Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?

43_67

Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]

Itulah realitinya.

Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.

Mengapa cinta menjadi permusuhan?

Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?

Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.

Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.

Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.

Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.

Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

khutbahnikah

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.

Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.

“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.

“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.

Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.

“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.

“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.

“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.

“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.

Kecuali sebuah penceraian…

SUATU HARI NANTI

Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu

Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya

Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa

Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana

Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan

Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi

Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.

Itulah yang banyak berlaku hari ini.

Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.

Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.

43_67i

“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]

43_68-70

“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.

Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.

Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…

Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.

Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang