Tuesday, July 21, 2009

Mengurus Kerjaya, Keluarga dan Dakwah

Salam Perjuangan,

Alhamdulillah hujung minggu lepas saya dan seorang sahabat ke Johor. Saya diminta untuk menyampaikan satu perbentangan bertajuk Pengurusan Kerjaya & Keluarga.

Objektif utama tajuk ini ialah bagi memastikan ahli gerakan Islam sentiasa istiqomah dalam perjuangan Islam walaupun telah berada di medan kerjaya dan keluarga.

Tajuk ini amat berat bagi saya yang baru berkerjaya hampir 4 tahun dan berkeluarga hampir 3 tahun. Pengalaman dan panduan yang hendak dikongsi amat cetek sekali, namun saya gagahi juga kerana harapan jawatankuasa.

Saya sebetulnya amat berminat dalam bidang Training & Consultancy dan akan cuba memperkembangkannya. Jadi peluang sebegini amat baik untuk melatih skill persembahan dan interaktif dua hala antara penyampai dan peserta.

Kunci kepada pengurusan kerjaya, keluarga dan dakwah terdapat dalam surah al-taubah ayat 24.

Al-Taubah,24

Maksudnya :

Katakanlah : “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kamu keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiaanya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq”.

Apabila kita mentadabbur ayat ini, maka jelaslah bahawa jihad di jalan Allah SWT (dalam bentuk menyampaikan Islam, memperjuangkan, mempertahankannya) adalah lebih utama berbanding ahli keluarga dan pekerjaan kita sendiri.

Tuntutan kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulnya berada pada tingkat yang utama berbanding yang lain. Ini merupakan kunci pengurusan yang jelas kepada anggota gerakan Islam.

Tawazun dalam rumahtangga, kerjaya & dakwah

Ada tiga elemen yang perlu diseimbangkan :

Q. Di antara kecintaan kepada isteri dan anak-anak dengan kecintaan kepada Allah dakwah dan jihad.

R. Di antara kecintaan kepada keselesaan hidup bersama keluarga dengan kesungguhan berdakwah di tengah tengah masyarakat yang sangat mencabar.

S. Di antara kecenderungan untuk memberikan kesenangan hidup keluarga dengan harta benda dengan tuntutan berbelanja ke jalan Allah SWT.

Kesimpulan

Dalam memastikan kita sentiasa istiqomah di dalam perjuangan Islam, maka kita perlu mengimbangkan antara kerjaya, keluarga & dakwah. Faktor utama di sini ialah tugas dan tanggungjawab kepada Allah SWT lebih utama berbanding yang lain.

Pada waktu yang sama, ia tidak bermakna kita menidakkan hak kepada ibubapa, isteri, anak-anak dan saudara mara. Kepada ibubapa, isteri, anak-anak dan saudara mara ada tuntuntan sendiri yang perlu dilaksanakan oleh orang-orang yang beriman mengikut panduan Allah SWT dan RasulNya.

Apabila bertembung kepentingan jihad dengan peribadi dan keluarga, maka mestilah diutamakan kepentingan jihad. Secara realitinya, jika pertembungan ini benar-benar berlaku maka mestilah mendapat nasihat kepimpinan & jamaah bagaimana kita ingin memutuskannya.

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Amin al-Kalantani

http://amin1982.wordpress.com


Thursday, July 16, 2009

Pembentukan Keluarga Islami Dan Pendidikan Anak

Jun 10, 2009 oleh Muhtar Suhaili

Muhammad 'Izzul Islam.. Permata kesayangan abah dan ibu.. 8 Jun 2009

“Muhammad ‘Izzul Islam: Permata Kesayangan Ayah dan Ibu”

As-Sarawaki, 17 Jamadits Tsani 1430H: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah ‘Azza Wajalla, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Alhamdulillah, sebenarnya saya baru sahaja menghabiskan 13 hari bercuti dari kerja pejabat (11 hari Gawai Bridging Holidays dan ditambah 2 hari cuti In-Lieu) bermula dari 30 Mei – 9 Jun 2009. Alhamdulillah, pada 29 Mei – 1 Jun, Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi kekuatan menyumbang khidmat menjayakan Kem Remaja Islam Sarawak 2009 di Miri, 1-2 Jun bermusafir ke Kuching dan singgah bermahabbah di Sibu, 3-6 Jun di Kuala Lumpur dan 7-9 Jun meluangkan masa bermesra bersama keluarga mertua di Kuching.

Sesungguhnya rehat juga adalah penting dalam kerjaya supaya semua ketegangan (stress) akan hilang dan sekaligus membina kekuatan dalaman diri agar kembali segar (fresh), mencetus idea-idea bernas yang lebih hebat dan mampu untuk mencorak strategi unggul sebelum kembali berkhidmat di pejabat atau sebelum ‘turun padang’ bertemu masyarakat. Isteri saya sudah memaklumkan (baca: complaint) betapa jarangnya kami ada masa berhujung minggu bersama dek kerana terlibat dengan pelbagai program! Maka minggu yang sudah tibalah saatnya untuk mengambil ruang waktu merehatkan minda dan melupakan segala perkara yang berkaitan dengan ‘business’ dan profession buat seketika.. Lebih utama, meluangkan masa bermakna semaksimum mungkin bersama keluarga tercinta!

Kelahiran Muhammad ‘Izzul Islam pada 14 September 2008

Kelahiran Muhammad ‘Izzul Islam pada 14 September 2008

Muhammad ‘Izzul Islam... 8 Jun 2009 - 6 hari lagi 9 bulan!

Muhammad ‘Izzul Islam... 8 Jun 2009 - 6 hari lagi 9 bulan!

Alhamdulillah, tengah malam semalam selamat tiba di Miri setelah memandu seorang diri (isteri dan anak tersayang masih di Kuching menghabiskan cuti sekolah) merentas Sarawak dari Kuching ke Miri melalui bahagian Samarahan-Sri Aman-Betong-Sarikei-Sibu-Bintulu yang mengambil masa lebih 12 jam dan merentas lebih 830 kilometer perjalanan. Luasnya Bumi Kenyalang!

Sarawak Tanahairku.. Negeriku Tanah Tumpahnya Darahku!

Sarawak Tanahairku.. Negeriku Tanah Tumpahnya Darahku!

Realiti Semasa – Perkongsian Rasa

Isteri saya seorang kaunselor sekolah. Saya meski seorang jurutera, alhamdulillah berpeluang bertemu masyarakat khususnya belia, remaja dan pelajar sekolah dalam program-program Yayasan AMAL Malaysia dan Task Force Kecemerlangan Miri, serta sekaligus berinteraksi secara terus dengan mereka dalam (belajar) memahami psikologi, sudut pandang, romantika dan trend muda-mudi masa kini. Seringkali kami diketemukan dengan anak-anak muda yang mengadu kebosanan dan kebencian, melampiaskan kekecewaan berbaur nada kemarahan, berkongsi kerunsingan dan pantas memohon nasihat menyelesaikan rencam masalah yang mendilemma di dalam diri dan mengoyak sanubari. Percayakah kalian sekiranya kami nyatakan bahawa kebanyakan masalah muda-mudi yang kami maklumi ini berpunca daripada ketempangan hubungan rumahtangga ibubapa dan cacamarbanya institusi keluarga? Ya, bahkan inilah realitinya! Rumahku Syurgaku menjadi impian semua, namun malangnya dek kerana suasana Rumahku Nerakaku menjadi realiti yang dihadapi sehari-hari, maka natijah akhirnya ia mengharu-birukan pembentukan keluarga Islami… Bahkan menghancurkan pembinaan generasi mendatang!

Keluarga Bahagia Impian Setiap Insan

Melalui entri kali ini, saya ingin berkongsi dan mungkin mendapatkan input dari tetamu ziarah yang beriman dan budiman sekalian mengenai topik membentuk Keluarga Islami yang dipenuhi sakinah, mawaddah wa rahmah. Sesuai dengan tajuk entri ini: “Pembentukan Keluarga Islami Dan Pendidikan Anak”, alangkah baiknya sekiranya input-input berkaitan dapat kita kongsikan bersama dalam memperkasa habluminannas (hubungan sesama manusia) dalam keluarga ke arah membina kehidupan yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sungguh, keluarga bahagia adalah impian setiap insan dan semua orang!

Ayat-ayat Cinta Dari Al-Qur’an dan As-Sunnah

Awwalan, pertamanya marilah kita melihat neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam menilai perkara ini. Sesungguhnya teori-teori manusia yang sehebat manapun dalam memperihalkan hal kerukunan rumahtangga pasti akan ada cacat-celanya. Akan tetapi suluhan Al-Qur’an dan asas kehidupan yang dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pasti lengkap sempurna lagi benar sahih.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dengan penuh kasih sayang di dalam Al-Qur’anul Kariim:

“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami kesenangan hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.”" (Surah Al-Furqan, ayat 74).

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan nasihat dan pelajaran kepada orang yang hendak berkeluarga dengan bersabda:

“Dapatkan wanita yang beragama, (jika tidak) nescaya engkau merugi!” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengangkat keutamaan anak soleh dengan sabdanya:

“Apabila manusia mati maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu bermanfaat, atau anak soleh yang mendo’akannya.” (HR. Muslim, dari Abu Hurairah).

Aku Sedang Belajar Membentuk Keluarga Islami

Ya, Aku Sedang Belajar Membentuk Keluarga Islami! Usia perkahwinan yang baru berusia 18 bulan dengan dikurniakan seorang cahaya mata menunjukkan masih kurangnya pengalaman dalam alam berumahtangga. Pelbagai teori telah dihadam termasuk melalui buku-buku seperti “Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaqin” (Panduan Bercinta dan Memendam Rindu) oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziah, “Adab-adab Melamar, Malam Pengantin dan Hak-hak Suami Isteri” oleh Abdullah Nasih Ulwan, “Suami Mithali Isteri Sejati” oleh Dr Juanda Jaya, “Men Are From Mars, Women Are From Venus” by John Gray, “Raising Happy Kids” by Rozieta Shaari, sehinggalah “Asam Garam Gula & Kopi” dan “Teh Tarik Kurang Manis” oleh Abdul Jalil Ali, “Duhai Yang Tersayang” dan “Satu Rasa Dua Hati” oleh Pahrol Mohd Juoi, “Aku Terima Nikahnya” dan “Bercinta Sampai Ke Syurga” oleh Hasrizal Abdul Jamil, serta tidak dilupakan e-book yang dihadiahkan oleh Ustaz Izwan sebagai hadiah perkahwinan yang bertajuk “Pendidikan Anak Dalam Islam” karya Syaikh Yusuf Muhammad Al-Hassan. Meskipun teori-teori telah dihadami, namun yang pastinya praktikal pada teori itulah yang pada hakikatnya perlu kita laksanakan agar memberi impak dan kesan bermakna.

'Eidul Fitri 1429H Bersama Keluarga.. Muhammad 'Izzul Islam Berusia 17 Hari.

'Eidul Fitri 1429H Bersama Keluarga.. Muhammad 'Izzul Islam Berusia 17 Hari.

Bersama Keluarga Mertua di Kuching Waterfront, Berlatarbelakang Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Yang Baru

Bersama Keluarga Mertua di Kuching Waterfront, Berlatarbelakang Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Yang Baru

Pendidikan dan Peranan Keluarga Dalam Islam

Keluarga mempunyai peranan penting dalam pendidikan, baik dalam lingkungan masyarakat Islam mahupun non-Islam. Ini kerana keluarga merupakan tempat pertumbuhan anak yang pertama di mana dia mendapat pengaruh dari anggota-anggotanya pada masa yang amat penting dan paling kritis dalam pendidikan anak iaitu tahun-tahun pertama dalam kehidupanya. Bahkan pada masa tersebut apa yang ditanamkan dalam diri anak akan sangat membekas, sehingga tidak mudah hilang atau berubah kemudiannya.

Para ulama’ umat Islam telah menyedari akan pentingya pendidikan melalui keluarga. Syeikh Abu Hamid Al-Ghazali ketika membahaskan tentang peranan kedua ibubapa dalam pendidikan mengatakan:

“Ketahuilah bahawa anak kecil merupakan amanah bagi kedua ibubapanya. Hatinya yang masih suci merupakan permata alami yang bersih dari pahatan dan bentukan. Dia siap diberi pahatan apapun dan condong kepada apa saja yang ditunjukkan kepadanya. Jika dibiasakan dan diajarkan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan dan berbahagialah kedua ibubapanya di dunia dan Akhirat, juga setiap pendidik dan gurunya. Akan tetapi jika dibiasakan keburukan dan dibiarkan sebagaimana binatang ternak, nescaya akan menjadi jahat dan binasa. Dosanya pun ditanggung oleh guru dan walinya. Maka hendaklah ibubapa memelihara, mendidik dan membina serta mengajarinya akhlak yang baik, menjaganya dari teman-teman jahat, tidak membiasakannya bersenang-senang dan tidak pula menjadikannya suka kemewahan, sehingga akan menghabiskan umurnya untuk mencari hal tersebut bila dewasa.”

Memperhatikan Anak Pada Usia Enam Tahun Pertama

Sebagai perkongsian melalui entri ini, suka untuk saya kongsikan tentang kepentingan pendidikan anak-anak pada fasa pertama kehidupannya iaitu usia 6 tahun pertama yang dipetik dari e-book bertajuk “Pendidikan Anak Dalam Islam” karya Syaikh Yusuf Muhammad Al-Hassan. Ini relevan dengan usia anak saya Muhammad ‘Izzul Islam kini dan mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat buat saya, isteri dan tetamu ziarah yang budiman sekalian.

“Fasa pertama dalam kehidupan anak (usia enam tahun pertama) merupakan fasa yang amat kritis dan paling penting. Fasa ini mempunyai pengaruh yang sangat mendalam dalam pembentukan peribadinya. Apapun yang terrakam dalam benak anak pada fasa ini, nanti akan tampak pengaruh-pengaruhnya dengan nyata pada keperibadiannya ketika menjadi dewasa. (Aisyah Abdurrahman Al-Jalal, Al-Muatstsirat as-Salbiyah).

Oleh kerana itu, para pendidik perlu memberikan banyak perhatian pada pendidikan anak dalam fasa ini. Aspek-aspek yang wajib diperhatikan oleh kedua orangtua dapat diringkaskan seperti berikut:

1. Memberikan kasih sayang yang diperlukan anak dari pihak kedua orangtua, terutama ibu.

Ini amatlah perlu agar anak belajar mencintai orang lain. Jika anak tidak merasakan cinta kasih ini, maka akan tumbuh mencintai dirinya sendiri saja dan membenci orang di sekitarnya.

“Seorang ibu yang Muslimah harus menyedari bahawa tidak ada suatu apapun yang mesti menghalanginya untuk memberikan kepada anak keperluan asasinya berupa kasih sayang dan perlindungan. Dia akan merosak seluruh eksistensi anak jika tidak memberikan haknya dalam perasaan-perasaan ini, yang dikurniakan Allah dengan rahmat dan hikmahNya dalam diri ibu, yang memancar dengan sendirinya untuk memenuhi keperluan anak.” (Muhammad Quthub, Manhajut Tarbiyah Al-Islamiyah, juz 2).

Maka para ibu hendaklah sentiasa memperhatikan hal ini dan tidak hanya sibuk dengan kegiatan kariernya di luar rumah, perselisihan dengan suami atau kesibukan lainnya.

2. Membiasakan anak berdisiplin mulai dari bulan-bulan pertama dari awal kehidupannya.

Ini bukan sesuatu yang tidak mungkin. Telah terbukti bahawa membiasakan anak untuk menyusu dan buang hajat pada waktu-waktu tertentu dan tetap sesuatu yang mungkin meskipun melalui usaha yang berulang kali sehingga sistem tubuh akan terbiasa dan terlatih dengan hal ini.

Kebiasaaan berdisiplin akan tumbuh dan bertambah sesuai dengan pertumbuhan anak, sehingga akhirnya dia mampu untuk mengawal tuntutan dan keperluannya pada masa mendatang.

3. Hendaklah kedua orangtua menjadi teladan yang baik bagi anak dari permulaan kehidupannya.

Caranya ialah dengan menetapi manhaj Islam dalam perilaku mereka secara umum dan dalam pergaulannya dengan anak secara khusus. Jangan mengira kerana anak masih kecil dan tidak mengerti apa yang terjadi di sekitarnya sehingga kedua orangtua melakukan tindakan-tindakan yang salah di hadapannya. Ini mempunyai pengaruh yang besar sekali kepada peribadi anak.

“Ini berpunca daripada kemampuan anak untuk menangkap, dengan sedar atau tidak, adalah besar sekali. Terkadang melebihi apa yang kita duga! Sementara kita melihatnya sebagai makhluk kecil yang tidak tahu dan tidak mengerti. Memang, sekalipun ia tidak mengetahui apa yang dilihatnya, itu semua berpengaruh baginya. Sebab, di sana ada dua alat yang sangat peka sekali dalam diri anak iaitu alat penangkap dan alat peniru, meski kesedarannya mungkin terlambat sedikit atau banyak. Akan tetapi hal ini tidak dapat merubah sesuatu sedikitpun. Anak akan menangkap secara tidak sedar, atau tanpa kesedaran sempurna, dan akan meniru secara tidak sedar, atau tanpa kesedaran sempurna, segala yang dilihat atau didengar di sekelilingnya.” (Muhammad Quthub, Manhajut Tarbiyah Al-Islamiyah, juz 2).

4. Anak dibiasakan dengan etika umum yang mesti dilakukan dalam pergaulannya.

Antara lain: (Sila rujuk karangan Ahmad Izuddin Al-Bayanuni, Minhaj At-Tarbiyah Ash-Shalihah).

· Dibiasakan mengambil, memberi, makan dan minum dengan tangan kanan. Jika makan dengan tangan kiri, diperingatkan dan dipindahkan makanannya ke tangan kanannya secara halus.

· Dibiasakan mendahulukan bahagian kanan dalam erpakaian. Ketika mengenakan kain, baju, atau lainnya hendaklah dimulai dari kanan; dan ketika melepas pakaiannya memulai dari kiri.

· Dilarang tidur tertelungkup dan dibiasakan tidur dengan miring ke kanan.

· Dihindarkan tidak memakai pakaian atau seluar yang pendek, agar anak tumbuh dengan kesedaran menutup aurat dan malu membukanya.

· Dicegah menghisap jari dan menggigit kukunya.

· Dibiasakan sederhana dalam makan dan minum, dan dijauhkan dari sikap rakus.

· Dilarang bermain dengan hidungnya.

· Dibiasakan membaca Bismillah ketika hendak makan.

· Dibiasakan untuk mengambil makanan yang terdekat dan tidak memulai makan sebelum orang lain.

· Tidak memandang dengan tajam kepada makanan mahupun kepada orang yang makan.

· Dibiasakan tidak makan dengan tergesa-gesa dan supaya mengunyah makanan dengan baik.

· Dibiasakan memakan makanan yang ada dan tidak mengingini yang tidak ada.

· Dibiasakan kebersihan mulut dengan menggunakan siwak atau sikat gigi setelah makan, sebelum tidur, dan ketika bangun tidur.

· Dididik untuk mendahulukan orang lain dalam makanan atau permainan yang disenangi, dengan dibiasakan agar menghormati saudara-saudaranya, sanak familinya yang masih kecil, dan anak-anak tetangga jika mereka melihatnya sedang menikmati sesuatu makanan atau permainan.

· Dibiasakan mengucapkan dua kalimat syahadat dan mengulanginya berkali-kali setiap hari.

· Dibiasakan membaca “Alhamdulillah” jika bersin, dan mengatakan “Yarhamukallah” kepada orang yang bersin jika membaca “Alhamdulillah”.

· Supaya menahan mulut dan menutupnya jika menguap, dan jangan sampai bersuara.

· Dibiasakan berterima kasih jika mendapat suatu kebaikan, sekalipun hanya sedikit.

· Tidak memanggil ibu dan bapa dengan namanya, tetapi dibiasakan memanggil dengan kata-kata: Ummi (Ibu), dan Abi (Bapa) dan seumpamanya.

· Ketika berjalan jangan mendahului kedua orangtua atau siapa yang lebih tua darinya, dan tidak memasuki tempat lebih dahulu dari keduanya untuk
menghormati mereka.

· Dibiasakan berjalan kaki pada laluan pejalan kaki, bukan di tengah jalan.

· Tidak membuang sampah di jalanan, bahkan menjauhkan kotoran darinya.

· Mengucapkan salam dengan sopan kepada orang yang dijumpainya dengan mengatakan “Assalamu ‘Alaikum” serta membalas salam orang yang mengucapkannya.

· Diajari kata-kata yang benar dan dibiasakan dengan bahasa yang baik.

· Dibiasakan menuruti perintah orangtua atau siapa saja yang lebih besar darinya, jika disuruh sesuatu yang diperbolehkan.

· Bila membantah diperingatkan supaya kembali kepada kebenaran dengan sukarela, jika memungkinkan. Akan tetapi kalau tidak, dipaksa untuk menerima kebenaran. Ini kerana hal ini lebih baik daripada tetap membantah dan melawan.

· Hendaknya kedua orangtua mengucapkan terima kasih kepada anak jika menuruti perintah dan menjauhi larangan. Boleh juga sekali-kali memberikan
hadiah yang disenangi berupa makanan, mainan atau diajak berjalan-jalan/ bersiar-siar.

· Tidak dilarang bermain selama masih selamat, seperti bermain dengan pasir dan permainan yang diperbolehkan, sekalipun menyebabkan bajunya kotor. Ini kerana permainan pada period ini penting sekali untuk pembentukan jasmani dan akal anak.

· Ditanamkan kepada anak agar senang pada alat permainan yang dibolehkan seperti bola, alat permainan telefon, kapal terbang mini , dan lain-lainnya. Selain itu, turut ditanamkan kepadanya agar membenci alat permainan yang mempunyai bentuk terlarang seperti manusia dan haiwan.

· Dibiasakan menghormati hak milik orang lain, dengan tidak mengambil permainan ataupun makanan orang lain, sekalipun permainan atau makanan saudaranya sendiri.

Kepentingan Memohon Dan Berdo’a Kepada Allah

Firman Allah Ta’ala:

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdo’alah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu…” (Surah Al-Mu’min, ayat 60).

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila ia memohon kepada-Ku…” (Surah Al-Baqarah, ayat 186).

Diriwayatkan dari An-Nu’man bin Basyir Radhiyallahu ‘Anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Do’a adalah ibadah.”

Do’a mempunyai peranan yang amat penting dalam pendidikan anak, bahkan dalam seluruh urusan kehidupan, dan hanya Allah ‘Azza Wajalla yang memberikan taufiq dan hidayah. Seorang Muslim mungkin telah berusaha secara maksima dalam upaya mendidik anaknya agar menjadi insan soleh/ah tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, ada anak yang menjadi anak soleh sekalipun terdidik di tengah lingkungan yang menyimpang dan jahat; bahkan mungkin dibesarkan tanpa mendapat perhatian pendidikan dari kedua orangtua!

Atas segalanya, petunjuk itu semata-mata dari Allah. Dialah yang berfirman:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya…” (Surah Al-Qashash, ayat 56).

Maka kita semua tidak boleh melupakan aspek ini dan wajib memohon dan berdo’a kepada Allah semoga berkenan menjadikan kita dan anak keturunan kita orang-orang yang soleh. Sungguh, hanya Dialah yang memberi petunjuk kepada jalan yang lurus!

Penutup Bicara

Benarlah bahawa anak-anak adalah amanah Allah kepada ibubapa. Anak-anak adalah cahaya mata, aset agama, bangsa, dan negara. Dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni Muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Al-Bukhari).

Anak-anak adalah cahaya mata
Penghibur hati penyejuk jiwa
Nikmat Allah yang paling bahagia
Nisbah benda lahiriah di dunia
Amanah Allah yang mesti dijaga!

Wallahu a’lam bissawab.

http://www.muhtarsuhaili.com/

Monday, July 13, 2009

Cinta di rumah Hassan Al-Banna

Sumber: http://mujahideen-islam.blogspot.com/

Penulis kali ini membuka satu perkongsian ilmu tentang seorang syuhada, murabbi, da'ie dan pejuang Islam yang agung abad ini iaitu Imam As-Syahid Hasan Al-Banna. Semenjak penulis dipilih oleh ALlah untuk merasai nikmat bergerak dalam jamaah Islam, penulis sering tertumpu kepada pembacaan hasil-hasil karya as-syahid seperti risalah Ta'alim, Ke Mana Kita Menyeru dan sebagainya. Apabila penulis membaca karya2 as-syahid, maka penulis amat2 mengagumi pemikiran luar biasa yang ada pada diri as-syahid. Namun, apa yang penulis nak mengetengahkan di sini tentang keperibadian Hasan Al-Banna sebagai seorang ayah dan pada masa yang sama as-syahid juga seorang da'ie, penulis nak berkongsi ilmu bagaimana perilaku as-syahid di rumah ketika bersama keluarganya kerana ada hadis Nabi s.a.w yang di antara maksudnya ,"Dirimu mempunyai hak, keluargamu mempunyai hak".

Jika merujuk kepada penafsiran hadis ini, maka kita dapat mengetahui bahawa RasuluLlah saw menerangkan jangan biarkan diri kita membuat ibadah dengan mengabaikan langsung hak diri dan keluarga, bahkan sepatutnya ibadah kita kena seiring dengan penjagaan hak diri dan keluarga. Seperti mana satu hadis Nabi saw yang mengisahkan ada 3 orang para sahabat yang berjumpa Nabi dan menyatakan mereka ingin berpuasa tapi tidak mahu berbuka seumur hidup, tidak mahu berkahwin seumur hidup, dan mahu ber'Qiamullail' dengan tidak tidur seumur hidup. Tetapi RasuluLlah menegah dari berbuat demikian kerana ia menzalimi diri n menafikan hak diri. Cuma di sini, penulis sering terfikir dan mengamati sahabat2 yang telah berumahtangga bagaimana mereka dapat membahagikan masa antara keluarga dengan dakwah, adakah mereka dapat menghabiskan masa bersama2 keluarga mereka?? Itu persoalan yang berada di benak fikiran penulis. Bagi penulis yang masih belum mencapai 'darjat' itu, penulis rasa bersyukur kerana masih mudah bergerak sebab tiada komitmen seberat itu.

Jika merujuk kepada buku "Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna", buku ini menceritakan tentang keperibadian As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang ayah dan juga da'ie. As-syahid tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga terutama anak2nya iaitu Wafa', Saiful Islam, Tsana, Ir.Roja dan yang masi dalam kandungan iaitu Istisyhad. Apa yang ditekankan oleh as-syahid adalah hal ehwal anak2nya dari segi pentarbiyyahan dengan mendidik anaknya antaranya mengaji, dan membuat perpustakaan di rumah. Apa yang paling menyentuh hati penulis apabila as-syahid amat menitikberatkan mencatat sendiri rekod perkembangan anak2nya dari segi pelajaran, kesihatan dan dokumen2 penting sebagai rujukan as-syahid.

Dari segi hukuman pula, Saiful Islam berkata bahawa hukuman yang paling berat dikenakan oleh as-syahid terhadap beliau adalah ditarik telinga pada waktu pagi atas kesalahan yang beliau lakukan dan pada waktu tengaharinya, as-syahid menelefonnya dari pejabat untuk berdamai dan menenangkannya. Bagi as-syahid, hukuman bukanlah satu bentuk pentarbiyyahan yang baik tapi ia adalah semata2 untuk menyedarkan si anak bahawa diri si anak telah membuat kesilapan.
Tentang keperluan dapur, as-syahid sendiri akan mencatat barang keperluan yang hendak dibeli dan menyerahkan senarai barang itu kepada seorang sahabat ikhwan yang mempunyai kedai runcit untuk menyediakan barang2 keperluan tersebut. Jika anak2nya cuti sekolah pula, maka as-syahid akan membawa anak2nya bersiar2 ke utara.

Itulah serba ringkas diantara keperibadian as-syahid sebagai seorang ayah yang saya ambil sedikit dari buku "Cinta Di Rumah Hasan Al-Banna" dan beliau sesungguhnya telah berjaya mengamati, memahami dan menyelami hadis Nabi yang penulis nyatakan tadi. Keperibadian as-syahid sebagai seorang ayah harus diambil sebagai panduan kerana keperibadian inilah yang telah hilang dari kebanyakan para2 da'ie yang bergelar ayah.

"Sesungguhnya seorang ayah itu adalah pemimpin bagi isteri dan anak2nya" kerana lahirnya pemimpin itu dari tiga cara iaitu:

1) Pemimpin yang mencetak dirinya sendiri.
2) Pemimpin yang di angkat kerana keadaan.
3) Pemimpin yang memang dihantar oleh ALlah swt.

Monday, July 6, 2009

Saling Memahami dan Jauhi Silap Faham

Antara prinsip asas kepada keharmonian rumahtangga ialah :

Pertama : Saling memahami
Si suami memahami kondisi si isteri, begitulah pula dengan si isteri.
Bagaimana nak capai kefahaman?
Suami dan isteri hendaklah sentiasa berinteraksi tanpa tembok penghalang.
Masing-masing mesti ikhlas menyatakan pandangan diri mereka.
Jika berbeda, jadikan perbincangan dan cuba mencari yang terbaik.

Kedua : Jauhi Silap Faham
Ini amat penting dalam memastikan institusi keluarga terpelihara.
Biasanya, kes perang antara suami & isteri banyak berpunca dari silap faham.
Si isteri menganggap suaminya sudah tidak menyayangi dirinya apabila
si suami tidak melayani seperti biasa. Dan sikapnya berubah terhadap suaminya.
Si suami yang berhadapan dengan masalah pula, silap faham terhadap respon si isteri.
Akhirnya, perang dingin ini berterusan.
Si suami pula

Wednesday, May 6, 2009

Keluarga Idaman : Merancang Bahagia

Oleh : abuFateh


'Nak pilih doktor ke ustazah ni?'

'Kalau doktor lepas ni sama-sama sibuk. Sapa nak jaga anak?'

Soalan biasa yang selalu saya terima untuk dijawab. Soalan sebegini sebenarnya menggambarkan mentaliti si penanya. Memilih jenis dan kategori mana bakal pasangan hidup merupakan langkah awal untuk sebuah pembinaan rumahtangga yang bahagia.

Kebahagian sepuluh tahun mendatang perlu dirancang. Bukan sekadar relax dan menunggu sebuah natijah yang baik tanpa usaha yang unggul.

Saya tertarik dengan 3 artikel dari Berita Harian. Maklumat sebegini sangat perlu diketahui oleh pasangan yang berkahwin dan yang dalam perancangan ke arah itu. Seeloknya pembaca melayari artikel-artikel di bawah ini sebagai ilmu berguna untuk kita bersama.

1. Jodoh singkat
2. Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak
3. Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda.

Saya sendiri mula gusar dengan fenomena 'cerai express' yang makin meningkat di negara kita. Mangsa yang tidak berdosa ialah anak-anak yang pastinya akan tandus kasih sayang dan trauma psikologi jangka masa panjang.

Pelbagai faktor yang mungkin boleh dibawa datang. Hakikatnya ianya perlu kepada kesedaran pasangan dalam mempertahankan mahligai yang dibina.

Ada rumahtangga yang dibina di atas asas yang cukup kukuh. Suami yang soleh, isteri yang taat dan ekonomi yang mantap. Tetapi terkadang hanya kerana masalah komunikasi menjadikan kemanisan yang dikecapi mula tawar. Suami 'bisu', isteri pula membatu. Tiada perkongsian yang menggembirakan hari-hari dalam sebuah rumah. Tidak pandai mengambil hati, merajuk melampau atau tidak pandai memujuk pasangan. Mungkin ianya dipadang remeh oleh segelintir individu, tetapi ketahuilah 'seni bergaul' satu perkara yang teramat penting dalam mengekalkan keharmonian rumahtangga.

Ramai suami atau isteri yang mampu berhadapan dengan orang bawahan di tempat kerja dengan baik tetapi gagal bila berada di rumah.

Ada yang berhujjah mengenai peri penting ilmu agama untuk sebuah rumahtangga yang bahagia. Ramai juga yang jahil dalam ilmu agama tapi mampu meraih bahagia. Persoalannya bagaimana?

Tahu ilmu agama tidak bermakna faqih! Juga tidak bermakna si empunya diri turut lengkap dengan amalan yang sewajarnya. Ianya kembali kepada kefahaman dan amalan. Sekadar tahu syarat sah akad nikah dan cerai talak bukanlah penjamin sebuah kebahagian. Akhlak berumahtangga sebagaimana ajaran Rasulullah saw asas penting yang jangan sesekali dilupakan.

Akhlak berumahtangga atau sikap dan nilai kita dalam bermuamalah dengan pasangan dan anak-anak merupakan seni penguat keutuhan keluarga. Ramai yang hanya cakna pada hukum hakam tapi tidak pada akhlak sebegini. Sedangkan nabi saw pernah mengingatkan kepada kita :

'sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik (hubungan muamalah) dengan ahli keluarganya, dan aku lah yang terbaik (hubungan muamalah) dengan keluargaku'.

Hadis ini perlu dinilai dari sudut perilaku nabi saw sebagai seorang suami. Bagaimana baginda saw bila bersama-sama dengan para isteri dan anak-anak dengan kesibukkan tugas sebagai rasul.

Rasulullah saw seorang yang sibuk. Baginda saw juga bukanlah seorang yang kaya raya. Kajian turut menyebut antara punca penceraian zaman sekarang ialah kekangan ekonomi dan kesibukkan suami isteri mencari nafkah. Sekiranya hal sebegini menjadi alasan, mengapa tidak kita menjengah kehidupan nabi saw sebagai panduan.

Kehadiran orang ketiga sering kali disebut-sebut sebagai punca. Orang ketiga maupun keempat sekiranya ditangani dengan betul pastinya masih mampu menyendal dinding yang hampir roboh. Masalahnya belum disendal, rumah sudah dibakar. Orang ketiga yang dibenarkan syarak boleh ditangani dengan baik. Yang sukarnya sekarang ini bukan sahaja suami yang mempunyai orang ketiga bahkan isteri terbabit sama.

Perkahwinan perlu kepada sebuah perancangan.

Betul ilmu agama sangat penting. Namun jangan diabaikan untuk merancang berubah sikap, menambah ilmu kekeluargaan dan merangka ekonomi keluarga buat hari-hari mendatang.

Ramai yang berkahwin kerana ingin berkahwian. Tak kurang juga kerana hanya sebagai ikut-ikutan lantaran kawan-kawan sekeliling sudah menamatkan zaman bujang. Perkahwinan tanpa perencanaan yang teliti terkadang boleh mengundang padah.

Ya, kita mesti yakin kepada rezeki daripada Allah! Namun yakin tanpa usaha dan perancangan itu satu kebodohan. Sekadar menagih janji Allah dengan lipahan rezeki seusai perkahwianan, 'rezeki anak' dan sebagainya tetapi statik berpeluk tubuh tanda awal rumahtangga yang akan runtuh. Ini cerita ekonomi dan rezeki, sama halnya dengan sudut-sudut lain yang perlu diteitikberatkan.

Justeru rancanglah kebahagiaan mendatang anda dari sekarang. Ilmu, amal, ekonomi, sikap dan kawalan emosi untuk sebuah keluarga idaman.

Jadi nak pilih doktor ke ustaz@ustazah? Saya sambung dalam entri mendatang. Ianya ada kaitan dalam merancang bahagia.

Monday, April 27, 2009

Membentuk Keluarga Mukmin


Memilih calon isteri yang beragama merupakan langkah awal membentuk sebuah keluarga mukmin kerana isterilah yang lebih berperanan di rumah (mendidik anak-anak) berbanding suami.
(Sambungan artikel Negara Rumah Tangga)

Halaqah Pemuda minggu lalu (16 April 2009) sempat kami bincang tajuk "Membentuk Keluarga Mukmin". Sahabat kami, Anuar bentangkan apa yang dia study dan kongsikan pengalamannya membentuk keluarga sendiri.
Memilih Calon Isteri
Membentuk keluarga sebenarnya bermula daripada memilih calon isteri. Isteri yang taat pada Allah, akan taat pada suami. Nasihat untuk sahabat yang masih bujang, pilihlah yang beragama. Walaupun kriteria tu banyak (rupa, harta, keturun dan agama), tapi Nabi S.A.W suruh utamakan agama kerana isterilah yang akan didik anak-anak jadi soleh atau sebaliknya. Tugas kita didik isteri, dan tugas isteri didik anak-anak kerana suami banyak berperanan di luar rumah - cari nafkah, dan berperanan dalam masyarakat.
Isteri Lebih Berperanan Di Rumah
Memang benar apa yang Nabi pesan tu. Saya benar-benar realise benda ni. Saya cuma ada dua hari seminggu untuk anak-anak. Lima hari lagi kebanyakkannya hilang untuk kerja dan masyarakat. Keluar (kerja) pagi, balik menjelang malam. Waktu malam pulak, kena keluar rumah kalau ada mesyuarat atau program.

Masa untuk anak-anak biasanya hujung minggu. Itu pun kadang-kadang terpaksa berprogram di hujung minggu. Maka, peranan membentuk anak-anak, banyak terpikul pada isteri. Dan memang isteri sayalah yang banyak berperanan selama ni dalam keluarga kami.

Islah Cawangan
Pasal fenomena terlepas pandang islah keluarga dikalangan aktivis Islam kebanyakan berlaku pada mereka yang tak ditarbiyah. Masalah kurangnya kefahaman agama. Untuk rawat masalah ni di peringkat Cawangan, Azfar (Ketua Pemuda) berpendapat, dua perkara mesti dilaksanakan;
  1. mendoakan sahabat-sahabat serta keluarganya; dan
  2. mengukuhkan ikatan ukhuwah sesama keluarga sahabat dengan mengadakan program yang melibatkan keluarga ahli dengan lebih kerap kerana dalam persahabatan ada bekalan (iman).
Tips Bentuk Keluarga
Beberapa tips lagi yang sempat kami bincangkan antaranya tentang;
  1. Kombinasi doa, usaha dan tawakkal dalam membentuk keluarga;
  2. Didikan ketika waktu makan bersama keluarga;
  3. Memaanfaatkan minda separa sedar (sub-concious mind) anak-anak dengan menerap dan membudayakan perkara yang baik sejak kecil; dan
  4. Banyak bermonolog dengan Tuhan - hati sentiasa bercakap-cakap dan merintih dengan Tuhan supaya dipelihara diri kita dan keluarga.

Meraikan Sahabat Baru

Kali ni, kami meraikan kehadiran dua sahabat yang pertama kali datang ke Halaqah Pemuda iaitu Akhi Nasir dan Akhi Syafei (Apai). Penyertaan mereka bersama kami insyaAllah akan mengukuhkan lagi gerak kerja dakwah di sini. Akhi Nasir berpengalaman kendalikan Unit Amal, manakala Apai ada ramai 'geng' dikalangan remaja dan belia di sini - untuk digembelingkan tenaga nanti, insyaAllah.

Zulkifli
Damansara Damai
22 April 2009

Sumber : http://mohdzulkifli.blogspot.com

Negara Rumahtangga


“Membentuk Keluarga Mukmin”

Itulah tajuk diskusi Halaqah Pemuda malam ni, insyaAllah. Tajuk malam ini sedikit kelainan daripada biasa. Saya cadangkan tajuk ini memandangkan akhir-akhir ini, saya perasan, ada kelemahan dari sudut Keluarga Muslim untuk jemaah Damansara Damai.

Negara Islam

Si ayah terlibat dengan program-program islah dan dakwah. Sentiasa berfikir untuk memenangkan Islam, menerapkan nilai-nilai Islam dalam negeri dan negara. Tetapi Islam tak ditegakkan dalam rumah sendiri, sedangkan sesebuah Negara Islam itu diasaskan dengan pembentukkan individu muslim, keluarga muslim dan masyarakat muslim.

Isteri, anak menantu terlupa untuk di islahkan. Isteri dan anak perempuan masih tak bertudung, atau auratnya masih tak ditutup sempurna. Anak lelaki pun masih berseluar pendek. Itu yang zahir, amalannya pulak macam mana? Solatnya, Qurannya, mungkin juga bermasalah.

Negara Rumahtangga

Kita mengejar kuasa untuk ditegakkan Islam dalam sebuah negara, sedangkan ‘kuasa’ Negara Rumahtangga yang telahpun ditangan kita belum lagi digunakan untuk Islam – membawa manusia kembali pada Tuhan.

Malam ni, saya minta sahabat kami, Saudara Hairol Anuar Ijoh buat sedikit pembacaan dan kongsikan dengan sahabat-sahabat. Seterusnya dibuka sessi perbincangan. Mudah-mudahan kami semua dapat bertukar-tukar ilmu, dan idea untuk diamalkan, insyaAllah.

Wallahu a’alam.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At Tahrim 66: 6]


Zulkifli
Damansara Damai
16 April 2009


Peringkat pembentukkan negara Islam;

1. Individu muslim.

2. Keluarga muslim.

3. Masyarakat muslim.

4. Negara Islam.

5. Khilafah Islam.

Sumber : http://mohdzulkifli.blogspot.com