Wednesday, May 6, 2009

Keluarga Idaman : Merancang Bahagia

Oleh : abuFateh


'Nak pilih doktor ke ustazah ni?'

'Kalau doktor lepas ni sama-sama sibuk. Sapa nak jaga anak?'

Soalan biasa yang selalu saya terima untuk dijawab. Soalan sebegini sebenarnya menggambarkan mentaliti si penanya. Memilih jenis dan kategori mana bakal pasangan hidup merupakan langkah awal untuk sebuah pembinaan rumahtangga yang bahagia.

Kebahagian sepuluh tahun mendatang perlu dirancang. Bukan sekadar relax dan menunggu sebuah natijah yang baik tanpa usaha yang unggul.

Saya tertarik dengan 3 artikel dari Berita Harian. Maklumat sebegini sangat perlu diketahui oleh pasangan yang berkahwin dan yang dalam perancangan ke arah itu. Seeloknya pembaca melayari artikel-artikel di bawah ini sebagai ilmu berguna untuk kita bersama.

1. Jodoh singkat
2. Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak
3. Pengakuan mangsa perceraian pada usia muda.

Saya sendiri mula gusar dengan fenomena 'cerai express' yang makin meningkat di negara kita. Mangsa yang tidak berdosa ialah anak-anak yang pastinya akan tandus kasih sayang dan trauma psikologi jangka masa panjang.

Pelbagai faktor yang mungkin boleh dibawa datang. Hakikatnya ianya perlu kepada kesedaran pasangan dalam mempertahankan mahligai yang dibina.

Ada rumahtangga yang dibina di atas asas yang cukup kukuh. Suami yang soleh, isteri yang taat dan ekonomi yang mantap. Tetapi terkadang hanya kerana masalah komunikasi menjadikan kemanisan yang dikecapi mula tawar. Suami 'bisu', isteri pula membatu. Tiada perkongsian yang menggembirakan hari-hari dalam sebuah rumah. Tidak pandai mengambil hati, merajuk melampau atau tidak pandai memujuk pasangan. Mungkin ianya dipadang remeh oleh segelintir individu, tetapi ketahuilah 'seni bergaul' satu perkara yang teramat penting dalam mengekalkan keharmonian rumahtangga.

Ramai suami atau isteri yang mampu berhadapan dengan orang bawahan di tempat kerja dengan baik tetapi gagal bila berada di rumah.

Ada yang berhujjah mengenai peri penting ilmu agama untuk sebuah rumahtangga yang bahagia. Ramai juga yang jahil dalam ilmu agama tapi mampu meraih bahagia. Persoalannya bagaimana?

Tahu ilmu agama tidak bermakna faqih! Juga tidak bermakna si empunya diri turut lengkap dengan amalan yang sewajarnya. Ianya kembali kepada kefahaman dan amalan. Sekadar tahu syarat sah akad nikah dan cerai talak bukanlah penjamin sebuah kebahagian. Akhlak berumahtangga sebagaimana ajaran Rasulullah saw asas penting yang jangan sesekali dilupakan.

Akhlak berumahtangga atau sikap dan nilai kita dalam bermuamalah dengan pasangan dan anak-anak merupakan seni penguat keutuhan keluarga. Ramai yang hanya cakna pada hukum hakam tapi tidak pada akhlak sebegini. Sedangkan nabi saw pernah mengingatkan kepada kita :

'sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik (hubungan muamalah) dengan ahli keluarganya, dan aku lah yang terbaik (hubungan muamalah) dengan keluargaku'.

Hadis ini perlu dinilai dari sudut perilaku nabi saw sebagai seorang suami. Bagaimana baginda saw bila bersama-sama dengan para isteri dan anak-anak dengan kesibukkan tugas sebagai rasul.

Rasulullah saw seorang yang sibuk. Baginda saw juga bukanlah seorang yang kaya raya. Kajian turut menyebut antara punca penceraian zaman sekarang ialah kekangan ekonomi dan kesibukkan suami isteri mencari nafkah. Sekiranya hal sebegini menjadi alasan, mengapa tidak kita menjengah kehidupan nabi saw sebagai panduan.

Kehadiran orang ketiga sering kali disebut-sebut sebagai punca. Orang ketiga maupun keempat sekiranya ditangani dengan betul pastinya masih mampu menyendal dinding yang hampir roboh. Masalahnya belum disendal, rumah sudah dibakar. Orang ketiga yang dibenarkan syarak boleh ditangani dengan baik. Yang sukarnya sekarang ini bukan sahaja suami yang mempunyai orang ketiga bahkan isteri terbabit sama.

Perkahwinan perlu kepada sebuah perancangan.

Betul ilmu agama sangat penting. Namun jangan diabaikan untuk merancang berubah sikap, menambah ilmu kekeluargaan dan merangka ekonomi keluarga buat hari-hari mendatang.

Ramai yang berkahwin kerana ingin berkahwian. Tak kurang juga kerana hanya sebagai ikut-ikutan lantaran kawan-kawan sekeliling sudah menamatkan zaman bujang. Perkahwinan tanpa perencanaan yang teliti terkadang boleh mengundang padah.

Ya, kita mesti yakin kepada rezeki daripada Allah! Namun yakin tanpa usaha dan perancangan itu satu kebodohan. Sekadar menagih janji Allah dengan lipahan rezeki seusai perkahwianan, 'rezeki anak' dan sebagainya tetapi statik berpeluk tubuh tanda awal rumahtangga yang akan runtuh. Ini cerita ekonomi dan rezeki, sama halnya dengan sudut-sudut lain yang perlu diteitikberatkan.

Justeru rancanglah kebahagiaan mendatang anda dari sekarang. Ilmu, amal, ekonomi, sikap dan kawalan emosi untuk sebuah keluarga idaman.

Jadi nak pilih doktor ke ustaz@ustazah? Saya sambung dalam entri mendatang. Ianya ada kaitan dalam merancang bahagia.

Monday, April 27, 2009

Membentuk Keluarga Mukmin


Memilih calon isteri yang beragama merupakan langkah awal membentuk sebuah keluarga mukmin kerana isterilah yang lebih berperanan di rumah (mendidik anak-anak) berbanding suami.
(Sambungan artikel Negara Rumah Tangga)

Halaqah Pemuda minggu lalu (16 April 2009) sempat kami bincang tajuk "Membentuk Keluarga Mukmin". Sahabat kami, Anuar bentangkan apa yang dia study dan kongsikan pengalamannya membentuk keluarga sendiri.
Memilih Calon Isteri
Membentuk keluarga sebenarnya bermula daripada memilih calon isteri. Isteri yang taat pada Allah, akan taat pada suami. Nasihat untuk sahabat yang masih bujang, pilihlah yang beragama. Walaupun kriteria tu banyak (rupa, harta, keturun dan agama), tapi Nabi S.A.W suruh utamakan agama kerana isterilah yang akan didik anak-anak jadi soleh atau sebaliknya. Tugas kita didik isteri, dan tugas isteri didik anak-anak kerana suami banyak berperanan di luar rumah - cari nafkah, dan berperanan dalam masyarakat.
Isteri Lebih Berperanan Di Rumah
Memang benar apa yang Nabi pesan tu. Saya benar-benar realise benda ni. Saya cuma ada dua hari seminggu untuk anak-anak. Lima hari lagi kebanyakkannya hilang untuk kerja dan masyarakat. Keluar (kerja) pagi, balik menjelang malam. Waktu malam pulak, kena keluar rumah kalau ada mesyuarat atau program.

Masa untuk anak-anak biasanya hujung minggu. Itu pun kadang-kadang terpaksa berprogram di hujung minggu. Maka, peranan membentuk anak-anak, banyak terpikul pada isteri. Dan memang isteri sayalah yang banyak berperanan selama ni dalam keluarga kami.

Islah Cawangan
Pasal fenomena terlepas pandang islah keluarga dikalangan aktivis Islam kebanyakan berlaku pada mereka yang tak ditarbiyah. Masalah kurangnya kefahaman agama. Untuk rawat masalah ni di peringkat Cawangan, Azfar (Ketua Pemuda) berpendapat, dua perkara mesti dilaksanakan;
  1. mendoakan sahabat-sahabat serta keluarganya; dan
  2. mengukuhkan ikatan ukhuwah sesama keluarga sahabat dengan mengadakan program yang melibatkan keluarga ahli dengan lebih kerap kerana dalam persahabatan ada bekalan (iman).
Tips Bentuk Keluarga
Beberapa tips lagi yang sempat kami bincangkan antaranya tentang;
  1. Kombinasi doa, usaha dan tawakkal dalam membentuk keluarga;
  2. Didikan ketika waktu makan bersama keluarga;
  3. Memaanfaatkan minda separa sedar (sub-concious mind) anak-anak dengan menerap dan membudayakan perkara yang baik sejak kecil; dan
  4. Banyak bermonolog dengan Tuhan - hati sentiasa bercakap-cakap dan merintih dengan Tuhan supaya dipelihara diri kita dan keluarga.

Meraikan Sahabat Baru

Kali ni, kami meraikan kehadiran dua sahabat yang pertama kali datang ke Halaqah Pemuda iaitu Akhi Nasir dan Akhi Syafei (Apai). Penyertaan mereka bersama kami insyaAllah akan mengukuhkan lagi gerak kerja dakwah di sini. Akhi Nasir berpengalaman kendalikan Unit Amal, manakala Apai ada ramai 'geng' dikalangan remaja dan belia di sini - untuk digembelingkan tenaga nanti, insyaAllah.

Zulkifli
Damansara Damai
22 April 2009

Sumber : http://mohdzulkifli.blogspot.com

Negara Rumahtangga


“Membentuk Keluarga Mukmin”

Itulah tajuk diskusi Halaqah Pemuda malam ni, insyaAllah. Tajuk malam ini sedikit kelainan daripada biasa. Saya cadangkan tajuk ini memandangkan akhir-akhir ini, saya perasan, ada kelemahan dari sudut Keluarga Muslim untuk jemaah Damansara Damai.

Negara Islam

Si ayah terlibat dengan program-program islah dan dakwah. Sentiasa berfikir untuk memenangkan Islam, menerapkan nilai-nilai Islam dalam negeri dan negara. Tetapi Islam tak ditegakkan dalam rumah sendiri, sedangkan sesebuah Negara Islam itu diasaskan dengan pembentukkan individu muslim, keluarga muslim dan masyarakat muslim.

Isteri, anak menantu terlupa untuk di islahkan. Isteri dan anak perempuan masih tak bertudung, atau auratnya masih tak ditutup sempurna. Anak lelaki pun masih berseluar pendek. Itu yang zahir, amalannya pulak macam mana? Solatnya, Qurannya, mungkin juga bermasalah.

Negara Rumahtangga

Kita mengejar kuasa untuk ditegakkan Islam dalam sebuah negara, sedangkan ‘kuasa’ Negara Rumahtangga yang telahpun ditangan kita belum lagi digunakan untuk Islam – membawa manusia kembali pada Tuhan.

Malam ni, saya minta sahabat kami, Saudara Hairol Anuar Ijoh buat sedikit pembacaan dan kongsikan dengan sahabat-sahabat. Seterusnya dibuka sessi perbincangan. Mudah-mudahan kami semua dapat bertukar-tukar ilmu, dan idea untuk diamalkan, insyaAllah.

Wallahu a’alam.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [At Tahrim 66: 6]


Zulkifli
Damansara Damai
16 April 2009


Peringkat pembentukkan negara Islam;

1. Individu muslim.

2. Keluarga muslim.

3. Masyarakat muslim.

4. Negara Islam.

5. Khilafah Islam.

Sumber : http://mohdzulkifli.blogspot.com

Tuesday, March 31, 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 23 - GEMBIRAKAN ISTERI YANG SEDIH

GEMBIRAKAN ISTERI YANG SEDIH

Perasaan sedih dikala tidak dapat melakukan sesuatu, atau tidak mendapat apa yang diinginkan adalah perkara lumrah yang wujud dalam diri setiap makhluk yang bernama manusia. cumanya, cara manusia menghadapi sedih itu tidak sama. Menangis, masam muka, memberontak dan berbagai-bagai lagi cara manusia menghadapi kesedihan.

Kebiasaan bagi perempuan, apabila mereka ditimpa sesuatu kesedihan, antara cara yang digunakan oleh mereka adalah dengan menitiskan air mata. Bermakna, air mata merupakan antara cara bagi perempuan menterjemah bagi kesedihan yang sedang dialami mereka.

Ini bukan bermakna, kaum lelaki tidak menangis di kala sedang bersedih. Tetapi, Keadaan ini berlaku kepada perempuan, disebabkan mereka dihadiahkan oleh Allah jiwa dan hati yang tidak sama dengan kaum lelaki. Hati dan jiwa yang dipenuhi kelembutan, disamping fitrah ketetapan dari Allah bahawa orang perempuan mempunyai sifat sedemikian.

Selalunya, apabila perempuan bersedih, mereka sebenarnya tidak menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang sedang menimpa. Ekoran itu, mereka meluahkan perasaan sedih itu melalui menangis.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah tersebut, hendaklah diberikan jalan penyelesaian bagi meringankan atau menghilangkan terus perasaan kesedihan tersebut.

Jika diperhatikan kepada Hadis, didapati Rasulullah SAW menggunakan kaedah ini dalam mengembirakan hati isteri dikala mereka sedang bersedih.

Ini dapat dibuktikan dengan satu hadis riwayat Jabir bin Abdillah R.A yang berkata;

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَّاجًا لَا نُرِيدُ إِلَّا الْحَجَّ وَلَا نَنْوِي غَيْرَهُ حَتَّى إِذَا بَلَغْنَا سَرِفَ حَاضَتْ عَائِشَةُ فَدَخَلَ عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ تَبْكِي فَقَالَ مَا لَكِ تَبْكِينَ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَابَنِي الْأَذَى قَالَ إِنَّمَا أَنْتِ مِنْ بَنَاتِ آدَمَ يُصِيبُكِ مَا يُصِيبُهُنَّ

Maksudnya;
“Kami keluar bersama Rasulullah untuk menunaikan haji. Kami tidak mempunyai tujuan lain, melainkan ketika kami sampai di ”Sarif”. Di sana, Aisyah telah kedatangan Haid. Rasulullah SAW masuk berjumpa dengan Aisyah, didapati beliau sedang menangis. Bagi bertanya; ”mengapa kamu menangis?” Aisyah menjawab; ”Aku didatangi Haid”. Berkata Nabi : ”kamu adalah anak-anak perempuan Adam. Kamu akan ditimpa perkara yang sama ditimpa kepada anak-anak perempuan Adam[1]”.

Hadis yang dinukilkan ini, kita akan dapati bahawa Rasulullah SAW amat bijak dalam menggembirakan hati Aisyah yang sedang menangis ekoran kedatangan Haid yang sudah pasti membantutkan peluang beliau untuk menunaikan haji bersama Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW sedar disebalik kesedihan yang dihadapi oleh Aisyah. Kesedihan itu berpunca, Aisyah tidak sedar bahawa kedatangan Haid merupakan perkara lumrah bagi semua manusia yang bernama Perempuan.

Justeru, bagi menghilangkan kesedihan tersebut, Rasulullah SAW bertindak menyebut tentang asal kejadian perempuan yang tidak boleh lepas dari kedatangan Haid. Asal kejadian ini, bukanlah perkara yang hanya menimpa kepada Aisyah sahaja, bahkan menimpa seluruh perempuan di atas muka bumi Allah SWT, sejak dari zaman nabi Adam, hinggalah ke akhir dunia.

Nah !! kita renungi hadis ini. kita akan dapati, kesedihan yang dihadapi oleh Isteri tidak selayaknya dibiarkan mereka terus menerus dengan kesedihan. Sebagai suami yang baik, sebarang kesedihan yang diketahui, hendaklah difikirkan cara dan kaedah bagi memberhentikan kesedihan tersebut.

Kesedihan yang menimpa isteri, jika dibiarkan, dibimbangi menghasilkan masalah di masa akan datang. Apabila sesuatu masalah tidak diselesaikan dengan segera, menyebabkan di masa akan datang, apabila masalah lain akan menimpa, pasti isteri tersebut akan menghadapi masalah yang bertimbun-timbun.

Apabila sudah banyak masalah yang sudah dihadapinya, memungkinkan mereka akan ditimpai masalah psikology jiwa yang juga memungkinkan berlaku berbagai-bagai kemungkinan yang tidak diingini. Seperti mereka akan susah hendak senyum. Susah hendak gembira. Tidak agrasif dalam bertindak dan sebagainya. semuanya berpunca dari permasalahan Psikology jiwa yang bermula dari kesedihan yang tidak diselesaikan.

Justeru, sebagai suami yang baik. Jadikan hadis ini sebagai panduan bagi mendapatkan kasih sayang antara suami Isteri yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi, jika kaedah menyelesaikan masalah tersebut digunakan cara yang romantik, kata-kata manis, ucapan-ucapan memuji yang sudah pasti dapat menghasilkan natijah kebahagiaan dalam mengharungi lautan rumahtangga yang kadangkala tenang dan kadangkala bergelora.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 mac 2009 * 1:16 petang

[1] Musnad Ahmad 14414.

Tuesday, March 24, 2009

Semakin hancurkah pembinaan baitul muslim menerusi unit Baitul Muslim?



download dvd harun yahya percuma. klik di sini.


dr_palestine207@yahoo.com

“Maaf, ana tak berminat utk meneruskan perancangan bait muslim yang enta aturkan kerana muslimat tu gemuk dan hitam. Bukan citarasa ana..” begitu bait kata-kata yang menerjah ke fikiran saya sampai ke hari ini. Dan natijahnya, muslimin tadi telah mendirikan rumahtangga dengan wanita yang yang menepati ciri-ciri idamannya. Malangnya wanita itu bukan ahli gerakan Islam. Tapi itu bukan masalah besar kerana dia muslimin, yang menjadi pencorak haluan kelurga. Tapi bagaimana dengan muslimat yang gemuk dan hitam itu…

Unit baitul muslim kurang efisyen dan bias?

Saya bukanlah orang yang paling layak untuk mengkritik,padahal saya berada di dalam unit yang dikritik. Tapi kritikan ini adalah semata-mata dengan tujuan untuk memperkasakan unit bait muslim sendiri. Sepanjang mengendalikan kes, saya dapati terlalu lama masa yang diambil untuk mengendalikan satu-satu kes berkaitan baitul muslim. Kebanyakannya mengambil masa berbulan-bulan. Dan jika link baitul muslim dibuat dengan unit baitul muslim di peringkat luar negara, ada yang mengambil masa bertahun. Sampai ke hari ini saya belum mengetahui mengapa kelambatan ini begitu ketara padahal kita sudah ada dunia yang tanpa sempadan, dunia di tapak tangan bilamana kita boleh saja bertanya khabar sahabat kita di luar sana dengan menekan kekunci telefon selular.
Terdapat satu evidence base yang telah saya amati, bahawa ada seorang muslimat yang dulunya merupakan aktivis dalam gerakan islam di kampus, sangat sopan dan memenuhi ciri2 wanita solehah. Dia memakai tudung labuh yang menjadi kebanggaan wanita muslimah. Kakinya sentiasa dilitupi dengan sarung kaki untuk menutup permukaan kakinya dihinggapi kotoran debu dan panahan mata lelaki tidak beriman. Saya menjadi sangat terkejut apabila bertemu dengannya baru-baru ini. Apa sudah jadi dengan penghayatan Islamnya, di mana dia meletakkan akhlaknya dulu apabila dia sanggup mendedahkan dadanya apabila mengenakan tudung bawal yang sangat nipis dah diikat ke belakang leher. Tiada lagi sarung kaki menutup kulit kakinya dari sinar ultraviolet. Saya terlalu hairan dan seharian selepas itu saya menjadi sangat takut dan mahu menangis sekuat hati. Apabila saya menyiasat dengan lebih lanjut tentang apa yang terjadi sebenarnya, kakak tadi yang merupakan pegawai kerajaan telah berusaha untuk menggunakan medium bait muslim di kampusnya untuk mencari pasangan hidup. Setelah berusaha, pihak yang mengendalikan kes kakak tadi mengambil langkah sambil lewa untuk menyelesaikannya. Setelah beberapa tahun, kes tadi tertunggak tanpa penyelesaian, kakak tadi menjadi putus harapan dan mula meragui keberkesanan untuk menggunakan unit bait muslim sebagai medium mencari teman hidup. Dan akhirnya akibat persekitaran dan pengaruh sekeliling, tanpa pantauan sesiapa yang bergelar ahli gerakan Islam, kakak tadi hanyut dalam dunianya dan lupa dengan segala yang telah dijanjikan sewaktu dia menjadi ahli gerakan Islam di kampusnya. Saya rasa amat sedih dan kecewa mendengar kisah ini.
Jadi saya menyeru dengan sepenuh hati supaya seluruh unit baitul muslim gerakan Islam di seluruh dunia supaya bersatu untuk melicinkan perancangan untuk membantu ikhwan dan akhawat membina baitul muslim secara optimum. Ada satu kritikan pedas yang saya dengar dari kampus jiran, “Unit bait muslim di tempat ana hanya membantu muslimat yang memiliki paras menarik dan muslimin yang berpewarakan seperti ustaz”. Alhamdulillah ini tidak berlaku di kampus saya. Saya lebih mengutamakan mereka yang memerlukan bantuan daripada mereka yang tidak perlukan bantuan. Jika apa yang berlaku di kampus jiran saya itu benar, alangkah malangnya…

Tahap kepercayaan ahli gerakan Islam terhadap unit bait muslim.

Semasa saya membuat survey dengan mengedarkan borang bancian untuk unit baitul muslim, satu daripada soalah yang diajukan di dalam borang ialah “Adakah anda percaya dengan unit baitul muslim sebagai medium untuk mencari teman hidup?”. Lebih daripada 80% menulis mereka percaya. Namun malangnya, tidak ramai di kalangan ahli yang betul-betul komited untuk menggunakan unit ini sebagai pemudah cara. Database muslimat lebih ramai diperolehi berbanding muslimin. Akhirnya ini menyebabkan lambakan permintaan dari kalangan muslimat. Di sebaliknya, muslimin lebih senang jika mereka mencari sendiri calon mereka tanpa menggunakan baitul muslim.Persoalannya, di mana hilangnya muslimin yang tergolong dalam 80% tadi? Sudahlah bilangan muslimin terlalu terhad, yang terhad tadi pula mengambil langkah yang menyebabkan sumber manusia di kalangan muslimin menjadi lebih kecil dan kecil lagi. Namun, bukan semua muslimin yang mengambil tindakan sedemikian.

Persediaan pihak muslimin untuk memiliki lebih dari satu pasangan.

Islam telah menggariskan dengan penuh hikmah dan lengkap bagaimana untuk membantu muslimat yang masih belum berumahtangga. Antaranya ialah dengan memilih jalan berpoligami. Soal adakah isteri pertama bersedia atau tidak itu bukanlah masalah yang terbesar. Tetapi masalah yang paling besar ialah apabila pihak muslimin sendiri tidak mampu untuk menyediakan satu medium yang sesuai untuk membolehkan mereka memiliki lebih dari seorang isteri. Antara masalah yang serius yang masih membelenggu para suami ialah kurang dari segi ilmu dan kurang berkemampuan dari segi ekonomi. Mungkin para suami di luar sana yang bercita-cita tinggi untuk meneruskan hasrat mulia ini, bersiap sedialah terutama dari 2 aspek yang telah disebutkan tadi.

Menjadikan faktor fizikal untuk mencari isteri melebihi faktor akhlak.

“ Ana nak minta calon isteri yang cantik, putih, dan sebolehnya kurus. Itu yang paling utama…”demikian permintaan yang diajukan kepada saya selaku ajk yang terlibat. Sepanjang pemerhatian ( saya tidak sempat membuat rekod secara spesifik tentang data yang terperinci kerana kesuntukan masa dan beban kerja). Secara keseluruhan, hampir 70% permintaan baitul muslim dari pihak muslimin yang diajukan kepada saya adalah berdasarkan kepada faktor fizikal melebihi faktor yang lain. Saya ingin membawa pembaca ke alam anatomi tentang siapa sebenarnya manusia di sebalik kulit ini? Sebenarnya, Allah telah menciptakan manusia semua berasal dari tanah, “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah, kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.”1. Sekiranya kita mengoyakkan satu persatu lapisan kulit (dermis & epidermis) kemudian kita akan menemui lemak (subcutaneous fat) dan kemudian kita bertemu pula dengan otot, saraf dan pembuluh darah serta noda limfa (muscles, nerves, veins, arteries & lymph nodes). Kemudian kita pergi lagi mengembara lebih dalam dari lapisan tadi, kita akan berjumpa dengan tulang-tulang (skeleton). Jadi di manakah kecantikan yang sebenarnya? Kecantikan amat superfisial. Jika berlaku kemalangan atau kecederaan disimbah asid atau kebakaran kecantikan superfisial tadi akan hilang sekelip mata. Sedar atau tidak kita semua hanyalah ruh yang ditutupi dengan tulang-tulang yang melekat padanya daging dan diselaputi kulit? Yang paling penting adalah ruh atau jiwa yang terdidik dengan akhlak Islam. Tapi malang, ramai yang tidak sedar hakikat ini. Memang amat tidak dapat dinafikan punca utama yang menjadi tarikan seseorang ialah kerana faktor mukanya dan fizikalnya yang lain. Tetapi sudah lupakah ahli-ahli gerakan Islam sekalian, dengan hadith Rasulullah? “Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama”.2
Saya sangat memandang tinggi pandangan Menteri Besar Kelantan yang membela muslimat @ wanita secara amnya :Tidak lama dahulu, MB juga mengeluarkan kenyataan mengenai pengambilan bekerja wanita cantik dan tidak cantik bekerja dan kerajaan negeri melalui tutur beliau lebih cenderung untuk mengambil wanita yang tidak cantik bekerja 3. Ada kebenaran yang cuba dibawa oleh MB Kelantan. Siapa lagi yang akan membela nasib kaum muslimat yang mempunyai ‘suboptimal beauty’ kalau bukan muslimin yang telah ditarbiyyah dengan ajaran Islam?. Sudahlah sukar untuk mendapat pekerjaan, susah pula untuk mendapat suami. Saya menggunakan istilah suboptimal beauty untuk menggantikan perkataan kurang jelita.
Ada satu lagi evidence base yang berlaku pada sahabat muslimat saya. Dia merupakan seorang siswi yang memiliki fizikal dan paras rupa yang menarik. Saya hairan, ramai muslimin yang ingin membantu muslimat tadi mendapatkan calon suami. Mereka berpendapat, rugi sangat kiranya muslimat tadi dimiliki oleh orang tidak faham Islam. Jadi tidak rugikah kita jika muslimat yang memiliki suboptimal beauty dimiliki oleh orang yang tidak faham islam? Adakah rugi itu hanya untuk wanita cantik? Alangkah malangnya..

Tempoh masa kesuburan wanita sangat terhad.

Wanita akan memasuki umur tuanya apabila mencapai umur 35 tahun. Ini bermakna ovum yang dihasilkan selepas itu tidak lagi berkualiti seperti ovum-ovum yang dihasilkan sebelum 35 tahun. If the female partner is 35 years or above, fertility is halved. Fertility declines sharply after age of 37.4 (Jika pasangan wanita berumur 35 tahun atau lebih, tahap kesuburan menjadi berkurang setengah dari asal. Kesuburan akan menurun dengan amat mendadak setelah lebih 37 tahun). Dan 1/10 dari bayi yang dilahirkan oleh wanita berusia lebih 40 tahun mungkin akan mempunyai sindrom Down’s.
Saya sangat terkesan dengan maklumat yang diperolehi ini. Jika unit baitul muslim tidak diutilisasikan dengan tahap yang optimum, saya bimbang ramai di kalangan muslimat yang ditarbiyah akan lewat mendirikan baitul muslim. Tambah bimbang lagi jika berkahwin pula dengan lelaki yang tidak ditarbiyyah dan tiada fikrah. Ataupun tidak berkahwin langsung pun. Alangkah membazirnya ovum-ovum yang berkualiti itu. Mungkin ada yang sudah lupa atau belum habis membaca buku Fathi Yakan; “Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan…”5

1. Al Quranul Karim, surah Al Mu’minun, ayat 12-14
2. Hadith riwayat Ibnu Majah
3. Najah Nadiah Amran, Isu mengenai wanita Islam dalam pemikiran MB Kelantan,
Subur, hal 14.
4. Campbell & Monga, Gynaecology by Ten Teachers, Arnold, pg 83.
5. Fathi Yakan, Apa ertinya saya menganut Islam, DPF, hal 68.
Sumber : Permaya
http://permaya.org/yaman/index.php?name=PNphpBB2&file=viewtopic&t=119&start=0&postdays=0&postorder=asc&highlight=

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 22 - MEMBELAI ISTERI

MEMBELAI ISTERI



Membelai isteri memperlihatkan isteri mendapat pembelaan. Suami yang membelai bisa digambarkan sebagai pendekar yang sedang mempertahankan permaisurinya.

Rasa mendapat pembelaan merupakan satu wajah dalaman hati perempuan bahawa mereka sedang dihargai. Dari situ, bermulanya kebahagiaan hidup.

Rasulullah SAW telah membuktikan kebahagiaan bentuk ini. diamalkan sebagai rutin harian, walaupun terpaksa berhadapan dengan masa sebuk yang keterlaluan.

Aisyah R.ha berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ يَوْمٍ إِلَّا وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا جَمِيعًا امْرَأَةً امْرَأَةً فَيَدْنُو وَيَلْمِسُ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ حَتَّى يُفْضِيَ إِلَى الَّتِي هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتَ عِنْدَهَا

Maksudnya;
“Nabi SAW sentiasa mengelilingi isteri-isteri baginda seorang demi seorang. Baginda SAW menghampiri kami dan membelai kami tanpa menyetubungi hinggalah Baginda SAW sampai ke rumah isteri yang masa gilirannya, maka dia bermalam disitu
[1]

Amat nyata, Nabi SAW tidak pernah mengabaikan perasaan hati para isteri, walaupun itu bukan malam gilirannya. Baginda SAW yang berpoligami, akan mengelilingi rumah para isteri semata-mata membelai mereka. sesampai di rumah isteri yang merupakan malam gilirannya, baru Baginda SAW bermalam di situ.

Tindakan Nabi SAW itu, bukanlah dilakukan secara bermusim, tetapi rutin harian. Nabi melakukan demikian, kerana tidak mahu “tawar hati” dalam hati para isteri, walaupun dalam masa sehari sekalipun.

Perhatian dalam dakwah, tidak mengabaikan Nabi terhadap para isteri. Ekoran itu tidak hairan, Allah memberikan izin kepada nabi berpoligami lebih dari umat.

Kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpoligami. Isteri adalah sebahagian dari kehidupan. Gembira mereka adalah gembira suami. Sedih mereka adalah sedih suami.

Jika isteri bersedih, membuatkan banyak perkara dalam urusan rumah tangga dilakukan dengan tidak ikhlas. Wujudnya tidak ikhlas itu, merupakan bibit permulaan krisis rumah tangga.

Justeru, keikhlasan antara suami isteri perlu dibina. Antara cara yang ditunjukkan oleh Nabi adalah, perhatian yang sewajarnya diberi, seperti belaian isteri tidak diabaikan.

Belaian ini, tidak semestinya datang dari suami, bahkan isteri juga perlu membelai suami. Belaian yang diberi, hendaklah bersesuaian dengan mood suami, agar belaian yang diberi hendaklah dipastikan mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 mac 2009 * 2:45 petang



[1] Musnad Ahmad : 23621.

Monday, March 23, 2009

Mendidik Anak Berdakwah

radix-long

“Yop, kalau Yop nampak Imad pergi ke dapur, Yop tengok ya. Jangan biarkan dia seorang diri di situ,” saya memberitahu Saiful Islam sebelum naik ke atas bersiap untuk solat.

“Ok,” jawabnya.

“Ummiiii, Imad berak,” kata anak perempuan saya, mengadu tentang adiknya yang tiba-tiba diam membatu di tepi tangga.

“Naurah bawakan Imad ke atas ya,” kata Ummu Saif kepadanya.

“Kalau Yop atau Naurah nampak lampu bilik air terbuka, tutupkan boleh?” saya berpesan.

“Boleh!” jawab Naurah. Saiful Islam mengangguk.

07012008342

Apa yang penting? Kerjasama…!!!

Dialog-dialog di atas adalah perbualan harian di antara kami sekeluarga. Pesanan-pesanan kepada anak agar mereka saling bantu membantu menjaga keselamatan adalah rutin yang diulang-ulang. Apatah lagi selepas kami masuk ke rumah baru yang bertingkat atas dan bawah ini. Apabila duduk di atas, kadang-kadang timbul rasa risau apabila anak-anak senyap di bawah.

Entah apa ‘projek’ mereka di bawah sana.

Perbualan sebegini jika dinilai sebelah mata, ia mungkin sekadar pesanan biasa dari seorang ibu atau bapa kepada anak-anaknya. Tidak lebih daripada itu.

Tetapi jika kita mempertimbangkannya dari sudut yang lebih tinggi, pesanan sebegini amat berkesan dalam menanamkan nilai PEDULI di antara satu sama lain. Kepedulian itu amat penting kerana ia adalah asas kepada perintah DAKWAH.

Mungkin biasa benar kita mendengar ibu bapa mengajar anak bersolat.

Biasa juga mendengar ibu bapa mendidik anak menutup aurat.

TIDAK DENGAN DAKWAH

Tetapi amat jarang kita mendengar ibu bapa mendedahkan anak-anak kepada konsep dan perintah DAKWAH.

Bukan sahaja daripada ibu bapa kepada anak, malah di dalam masyarakat kita sendiri. Dakwah adalah sebahagian daripada keganjilan Islam di akhir zaman ini. Jika disebut bab solat, semua orang tahu bahawa solat itu sebahagian daripada Islam. Jika dibicarakan soal zakat, maka pembayar zakat, penerima zakat, amil zakat dan orang yang enggan membayar zakat, semuanya tahu bahawa zakat itu adalah salah satu daripada binaan Islam.

Begitu juga dengan aurat, mengaji Quran dan menghormati ibu bapa.

Tetapi tidak dengan dakwah.

Dakwah urusan orang berketayap berjanggut. Dakwah itu subjek orang yang keluar 40 hari. Dakwah itu kerja ustaz-ustaz. Macam-macam idea tentang dakwah, memencilkannya daripada kehidupan Muslim.

Apatah lagi untuk seorang ibu atau bapa mengajar anak tentang dakwah.

Malah apa yang banyak berlaku ialah ibu bapa berpesan kepada anak-anak menjauhkan diri daripada dakwah. Mereka lebih tenang melihat anak yang bertudung tiba-tiba mencabut tudung, berbanding dengan anak yang bertudung tiba-tiba melabuhkan tudungnya.

“Gila dakwah,” kata mereka.

NASIHAT LUQMAN

Keganjilan itu, tidak pada manusia yang kaya hikmah bernama Luqman.

Nasihat-nasihat beliau kepada si anak, penuh tertib dan mendalam pengertiannya. Tidak jemu-jemu ahli Tafsir mengkaji dan menghuraikan keindahan dan ketinggian nilai pada nasihat Luqman kepada anaknya.

Di antara sederetan nasihat beliau kepada anaknya, yang disampaikan dengan penuh kasih sayang pada ungkapan kalimah Ya Bunayya (wahai anakku sayang), adalah nasihat beliau tentang DAKWAH.

31_17

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala musibah yang pasti menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya” [Luqman 31: 17]

Tiada perintah yang lebih besar berkaitan dengan hablun min Allah selain daripada solat. Dan tiada perintah yang lebih penting berkaitan hablun min al-Naas selain daripada perintah dakwah berupa amar ma’ruf dan nahi munkar.

Luqman tidak bertangguh menasihat anaknya tentang hal ini. Biar pun kita tidak mempunyai sebarang maklumat sahih berkenaan dengan profail si anak, namun lenggok bahasa Luqman memperlihatkan bahawa anaknya itu berada di usia yang muda. Sebahagian daripada nasihat Luqman kepadanya, adalah pada menyatakan tentang tuntutan dakwah.

Malah Luqman tidak sekadar mengingatkan anaknya tentang tuntutan dakwah, beliau juga mendedahkan si anak tentang realiti dakwah.

“…dan bersabarlah atas segala musibah yang pasti menimpamu.”

Dakwah itu sasarannya manusia.

Halangannya adalah syaitan dan nafsu.

Dakwah itu suatu tugas. Upahnya adalah ujian yang mendatang. Ia bukan jalan yang senang. Pendakwah pasti teruji. Justeru bersabarlah wahai anak dan sekalian yang menyeru, ini jalannya semenjak dahulu. Teruji dengan kesengsaraan, mungkin juga oleh kesenangan dan kemewahan. Apa-apa sahaja yang bakal melintang di jalan dakwahmu, bersabarlah.

Nasihat Luqman tentang dakwah kepada si anak, disampaikan dengan penuh sedar. Sabar dan proaktif, begin with the end mind juga disuluh secerahnya. Dan biar pun begitu realiti dakwah, ia adalah urusan yang besar. Tekadkan azam dan berikan komitmen.

SILIBUS IBU BAPA

Luqman mengajar anaknya tentang dakwah.

Ia juga tugas kita sebagai ibu bapa untuk mendidik anak agar berhasil melahirkan generasi pendakwah di masa hadapan. Langkah pertama untuk menyemai pemikiran dakwah di minda dan jiwa anak-anak, adalah dengan menyuntik kepedulian kepada jati diri mereka.

Didiklah anak-anak agar mereka saling mengambil berat di antara satu sama lain.

Bermula dari situ, insan kecil yang berjiwa peduli ini akan sampai masa dan ketikanya mereka menyambut dakwah dengan fitrah, tanpa kesah dan tanpa beban gelisah.

Dakwah itu fitrah… suburkanlah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com