Friday, July 6, 2012

Sabar Dalam Mendirikan Rumahtangga Muslim

Assalamualaikum kepada semua pembaca Baitul Dakwah.


Kini kita semakin hampir kepada bulan Ramadhan Al-Mubarak 1433.


Tinggal dalam 13 hari sahaja lagi untuk kita menikmati kemanisan Ramadhan Al-Mubarak.


Ambillah peluang bulan Ramadhan Al-Mubarak untuk mengukuhkan bait muslim yang kita bina bersama.


Antara initipati kepada As-Shiam (Puasa) adalah sabar.


Sabar merupakan senjata ampuh terhadap kelangsungan kehidupan berumahtangga.


Sabar juga menjadi ubat kepada api kemarahan yang meluap-luap.


Sabar juga menjadi penguat cinta.


Sabar dalam perkara furu' (ranting).


Sabar tidak boleh disalahertikan.


Jika isteri melakukan perkara bertentangan dengan syariat Islam, maka wajib suami menegur dengan hikmah.


Mudah-mudahan ibadah Puasa mampu menguatkan erti kasih dan cinta terhadap bait muslim.


Salam Ramadhan


Ketua Editor Baitul Dakwah


***Saya mengalu-alukan kepada pengunjung yang ingin menghantar tulisan berkaitan Baitul Dakwah, boleh email kepada saya di al_amin1982@yahoo.com***

Thursday, March 29, 2012

Isteri Tak Suka, Suami Tak Rela


20120317-085017.jpg
“Aku tahu masa bila engkau redha denganku dan masa bila engkau tidak redha denganku” kata baginda.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbual dengan isterinya Aishah radhiyallahu ‘anha.
“Bagaimana engkau tahu akan hal tersebut?” Aishah menyoal.
“Apabila engkau redha denganku engkau akan berkata: Tidak, demi Tuhan Muhammad! Apabila engkau tidak redha denganku, engkau akan berkata: Tidak, demi Tuhan Ibrahim!” ujar Baginda.
Kenyataan daripada seorang suami yang peka.
Yang memerhati.
“Memanglah begitu wahai Rasulullah. Akan tetapi aku hanya menghindari namamu!” Aisyah beralasan.
RASULULLAH SEBAGAI PENCINTA
Soalan yang gemar ditanya, bagaimana Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bercinta?
Hakikatnya cara baginda bersikap dalam percintaan, sama seperti sikap baginda dalam skala kehidupan yang lebih menyeluruh. Seorang insan yang amat teliti dalam interaksi. Peka dengan kemerosotan motivasi anak muda yang dididik seperti kisah Malik bin al-Huwairith. Seorang yang menyantuni pesalah seperti kisah Muawiyah al-Sulami.
Dan kisah riwayat al-Bukhari dan Muslim di atas, membuktikan lagi bahawa baginda benar-benar seorang yang menyantuni manusia dengan walyatalatthof.
Seorang suami yang tahu apa yang isterinya suka dan apa yang dia tidak suka.
Kalau suka, ada tandanya. Tanpa perlu dikata-kata.
Kalau tidak suka, ada tabiatnya. Tanpa perlu disebut-sebut.
Jelas bagi yang peka. Yang memerhati.
Jika Aisyah suka, beliau menyambutnya dengan ungkapan ‘Tuhan Muhammad’. Dan jika hatinya berat serta tidak menyetujui, beliau menyebut dengan ungkapan ‘Tuhan Ibrahim’. Ada corak yang konsisten pada reaksi Aisyah dalam interaksinya bersama sang suami.
Aisyah juga menyantuni Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Pada mengungkapkan rasa tidak setuju, beliau menggunakan sebutan ‘Tuhan Ibrahim’, yakni menisbahkan ungkapan itu kepada insan yang sangat dekat dengan hati suaminya. Ibrahim al-Khalil ‘alayhi al-salaam, amat dekat kepada jiwa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
SUAMI ISTERI YANG PEKA
Teringat saya kepada petikan lirik lagu Dulu Lain Sekarang Lain dendangan SM Salim:
Jangan dibuat yang isteri tak suka
Jangan meminta yang suami tak rela
Tentu selamat rumahtangga
Nasihat ini hanya dapat difahami oleh suami dan isteri yang peka dengan ‘bahasa tubuh’ pasangan masing-masing.
Benda yang isteri tidak suka, tak payah buat. Jangan sesudah buat, ditanya pula “ayang tak suka ke?”
Benda yang suami tidak suka, tak perlu minta. Jangan sesudah minta, baru bertanya, “abang tak suka ye?”
Isteri yang meneladani Aisyah, tahu apabila dia berbual-bual dengan suami, ada topik-topik tertentu yang apabila dibuka, suami hanya mendiamkan diri tidak membalas apa-apa. Itu sepatutnya sudah cukup untuk memahamkan isteri, bahawa suaminya tidak suka dengan topik yang dibuka itu.
Semalam, hari ini dan mungkin esok-esok juga.
Suami yang meneladani Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga tahu apabila dia berbual-bual dengan isteri, apakah yang boleh menyebabkan air muka isteri berubah. Janganlah dibuka tajuk berkenaan jika keperluannya hanya sekadar mahu bersembang mesra. Melainkan ia membabitkan kepentingan atau mudarat yang perlu dibawa kepada perbincangan, maka topik berkenaan disentuh dengan penuh santun.
Topik ini menjadi sebahagian daripada keindahan seni rumahtangga Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Sesuatu yang sukar untuk dihayati, jika antara suami dan isteri panggilan manjanya ialah AKU NKO AKU NKO!
Abu Saif @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Saturday, December 31, 2011

Kerana Mereka Adalah Suami Isteri

Aku Terima Nikahnya sudah dilengkapkan dalam tiga siri. Setiap satunya menekankan sudut-sudut yang menjadikan buku sebelumnya tidak ‘tergantung’.

Setelah siri Aku Terima Nikahnya landing dengan topik Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai murabbi kepada cinta kita, saya tidak berhajat untuk membuka semula apa yang telah kemas tersimpul. Biarlah ATN begitu.

Demikian.

Namun saya sedar, ia hanyalah rakaman kepada satu peringkat daripada peringkat-peringkat yang ditempuh oleh sebuah perkahwinan.

Andai MAWADDAH [al-Rum 30: 21] itu diertikan sebagai ‘cinta yang bertambah hasil kejayaan mengatasi cabaran‘, ertinya proses Mawaddah tidak pernah selesai. Cabaran-cabaran bagi sebuah rumahtangga menjelang usia ‘mid life‘ akan terus mengunjungi perkahwinan kita. Pelbagai warna, pelbagai rupa.

Hakikatnya juga, selepas 10 tahun berumahtangga, benda-benda yang lebih realistik untuk diperkatakan banyak menuntut bicara tentang krisis. Tentang masalah. Dan bagaimana hendak mengatasinya. Cabaran bagi sebuah rumahtangga di usia seperti usia saya dan isteri, semakin dalam dan mencungkil diri kami berdua.

Cabarannya semakin peribadi.

Semakin menguji.

Mengendalikan rentak kehidupan antara sempadan AKAD dan TALAQ adalah sebuah perjuangan.

Justeru, bagaimanakah perkara-perkara itu hendak dibicarakan?

Jika ia mendedahkan kelemahan dan kesilapan saya untuk dicari iktibarnya, membuka pekung di dada sendiri, demi sebuah kejujuran dalam bicara, saya mampu melakukannya, Insha Allah. Saya akan mengambil tanggungjawab ke atas maruah diri sendiri.

Tetapi, bagaimanakah hendak membicarakan tentang pahit maung rumahtangga tanpa berkata tentang kelemahan isteri? Kesalahannya? Kelakuan dan perangainya?

Bagaimana dengan kelemahan dan kesilapan anak-anak? Ketika mereka semakin mumayyiz dan ‘Aqil dalam memahami apa yang ditulis dan diperkatakan tentang mereka?

Dari Jabir: Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam melarang suami mengetuk pintu keluarganya pada malam hari, melarang berkhianat kepada mereka atau mencari-cari kesalahan mereka. [Hadith riwayat Muslim]

Menulis yang baik-baik, bunyinya seperti cuba menggambarkan seolah-olah rumahtangga saya itu pelanginya pagi ke petang.

Menulis yang buruk-buruk, keji pula saya mengaibkan insan-insan yang saya kasihi di mata ramai.

MENELADANI CARA RAKAMAN RUMAHTANGGA NABAWI

Melihat kepada hadith-hadith Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang rumahtangga Baginda, kita memang bertemu dengan pelbagai perkara yang boleh difahami sebagai keaiban. Bukan semuanya indah-indah belaka. Cemburu sang isteri, kesilapan perhitungan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada mendamaikan cemburu para isteri (yang ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Tahrim ayat 1), kelakuan-kelakuan manusiawi para Alul Bayt, semuanya dirakam dengan telus dan tulus.

Membaca hadith tentang rumahtangga Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, ia tidak ubah seperti sebuah drama. Ada ilmunya, ada tawa, ada duka, ada menang dan ada kalah, ada peluh dan air mata. Namun kesemuanya digarap sebagai teladan dan sempadan daripada Rumahtangga Nabawi kepada kita.

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [Al-Nisaa' 4: 19]

Saya mengambil teladan itu untuk mencari panduan diri dalam kendali rumahtangga. Mencatat pengalaman itu, dalam bentuk tulisan yang mudah-mudahan boleh berfungsi sebagai panduan. Teruji pula dengan hakikat diri sebagai penceramah dan jurulatih yang menjadikan rumahtangga sebagai core subject.

Namun sukar buat saya. Sukar mencari bahasa optimis dan positif, pada membentangkan ibrah daripada sebuah krisis.

Buku Bestseller yang ditulis orang seorang lelaki yang pernah bercerai dan runtuh rumahtangga pertamanya

Seperti John Gray yang membuat pengakuan bahawa dirinya pernah gagal dalam perkahwinan pertama, sebelum munculnya buku Men Are From Mars, Women Are From Venus.

Gray married self-help author Barbara De Angelis and they divorced in 1984. Gray married his current wife, Bonnie in 1986. Gray has two daughters from his wife Bonnie’s previous marriage and another daughter together. – petikan Wikipedia

Dek gagal mencari titik jawapan yang jelas kepada persoalan ini, saya hilang momentum dalam menulis tentang keluarga. Majalah ANIS kehilangan saya sebagai kolumnis, dan saya kehilangan Majalah ANIS sebagai sumbangan.

Jarang sekali menulis tentang rumahtangga dan keluarga.

Di tahun ke-10 perkahwinan kami, manisnya hidup berumahtangga semakin lain dari biasa. Ia bukan lagi manis kerana asalnya manis, tetapi manis apabila satu demi satu krisis berjaya diatasi.

Apa yang saya mampu lakukan hanya bersabar.

Sabar apabila ada yang menuduh saya cuba membina bayangan khayalan tentang sebuah rumahtangga dek kurangnya berbicara tentang masalah, pergaduhan, keaiban dan hal-hal yang sinonim dengan realiti sebuah rumahtangga.

Namun syabas bagi mereka yang mampu untuk read between the lines bahawa rumahtangga saya sama seperti rumahtangga orang lain.

Dan syabas juga kepada anak bujang yang faham bahawa, uniknya cinta antara seorang suami dan isteri ialah, seburuk mana pun kelakuan suami kepada isteri, dan seteruk mana pun perangai isteri kepada suami, akhirnya mereka kembali kepada sebuah damai, kerana mereka adalah SUAMI ISTERI.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

Wednesday, October 19, 2011

BERSANGKA BAIK DEMI CINTA

Sumber :

http://genta-rasa.com/2011/09/08/bersangka-baik-demi-cinta/


Usia perkahwinan sudah lebih tiga puluh tahun. Mereka sudah punya tiga orang cucu. Namun siisteri meluahkan rasa hatinya dengan berkata, “saya sudah letih berdepan dengan kerenah suami. Sikap sambil lewanya sangat memeningkan kepala. Saya benar-benar berada di persimpangan, ingin minta agar perkahwinan ini dibubarkan atau meneruskannya. Apa pandangan saudara?”

“Teruskan perkahwinan,” jawab saya dengan pasti. Saya teringat ungkapan lama yang menjadi pegangan diri sejak dahulu. Ungkapan itu berbunyi: “Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Tetapi jika jalan sudah benar namun pelbagai masalah menghalang, jangan berpatah balik, teruskan perjalanan!”

“Mengapa pula?” tanya siisteri.

“Jika puan boleh sabar selama 30 tahun, hanya ada beberapa tahun sahaja untuk terus bersabar. Umur kita tidak lama. Sabarlah dalam bersabar. Yang penting cubalah positifkan pemikiran dan perasaan. Puan di jalan yang betul, cuma rintangannya ada. Puan mesti atasi dan teruskan perkahwinan ini. ”

“Saudara cakap senang tetapi bagaimana hendak terus positif jika dia terus bersikap negatif?”

Saya senyum. Ya, tulisan kali ini saya tujukan untuknya dan untuk saya juga serta untuk kita semua. Sebenarnya pemikiran yang betul adalah syarat untuk kita bersikap positif. ‘Right mental attitude’ sangat penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Sikap yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumah tangga yang tidak menentu. Bagaimana untuk tenang dan bahagia di dalam diri tidak kira apa yang sedang dihadapi di luar diri kerana apa yang lebih utama ialah ‘what happens in you’ bukan ‘what happens to you.’

Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:

  1. 1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.

Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan terus menjadi mangsa?

Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang, percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggung jawab ku.

Katalah dalam satu pertelingkahan dan kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak. Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil. Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.

Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan, kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan.

Semua itu hanya boleh dicapai apabila kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita yang ada pada kawalan pasangan kita.

Ironinya, mereka yang berjaya melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.

ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’ yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang yang begini?

Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama – sokong yang membawa rebah.

iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah ‘membunuh’ potensi hari ini.

Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu. Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu. Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari ini dan esok!

Jangan biarkan tragedi masa lalu menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya, carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan baru hari ini!

iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.

Stres akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.

Jangan tahan jika anda hendak ketawa, berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?

Ini akan memberi kekuatan untuk kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang dan emosi kita telah kembali stabil.

v) Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang Habsyah. Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya, sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya, mengapa kita tidak?

Memang banyak perkara yang penting dan kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita. Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah tangga bahagia.

Apabila rumah tangga kelihatan malap atau ‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya dan membosankan pasangan hidupnya!

Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah benar-benar terjadi.

Apabila kita bersangka baik, hati akan menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…

Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya, kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

Wednesday, August 10, 2011

Prinsip Keluarga Bahagia

Bicara Ilmu 39 – Tanyalah Ustaz “Prinsip Keluarga Bahagia 1

Reference : http://www.ustazamin.com/


Alhamdulillah, 22 Julai hingga 24 Julai saya dapat menyempurnakan program tanyalah ustaz bertajuk “Prinsip Keluarga Bahagia.

Kita kongiskan bahagian pertama..

Di dalam al-Quran surah Rum ayat 21 Allah menyatakan bahawa:-

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk mu pasangan suami isteri dari antara kamu, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram antara satu sama lain dan dijadikanka di antara mu kasih sayang dan belas kasihan; sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Kepentingan keluarga bahagia hingga Allah sebutkan bahawa antara perkara yang menggembirakan kita bangsa manusia ialah ketika kita masuk syurga, keluarga kita juga masuk ke syurga (al-Insyiqaq 7-9)\

Kelurga di sini bermaksud keluarga di dunia atau pun keluarga yang akan dianugerahkan di akhirat (Tafsir Qurtubi)

إلى أهله الذين كانوا له في الدنيا ***إلى أهله الذين قد أعدهم الله له في الجنة .

Prinsip Pertama Keluarga Bahagia (Jaga Tiga Perhubungan)

1. Suami dan Isteri

2. Ibu bapa dan anak

3. Adik-beradik

Suami Isteri

- kurang memahami (saya penat/ perbelanjaan)

-penuhi keperluan nafkah batin

- jaga sekufu

Ibu bapa dan anak

Lima jenis ibu bapa yang perlu di hormati.

Ibu bapa kandung/ Ibu bapa tiri / ibu bapa Susuan/ ibu bapa mertaua Mertua dan ibu bapa angkat

Adik-beradik

Hendaklah sentiasa menjaga perhubungan adik beradik dan damaikan yang mana berselisihan

“Ilmu Pelita Hidup”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

KLIA (Dalam perjalanan ke Guangzhou China)

26 Julai 2011 jam 9.00 pagi

Friday, April 29, 2011

Download Forum Baitul Muslim

Salam Sejahtera kepada semua pengunjung baitul dakwah.

Kini anda boleh download
Rakaman Forum Baitul Muslim Bersama Kang Abik di UTP (2010) dan Ustaz Hasrizal di Youtube seperti alamat di bawah : -

http://www.youtube.com/watch?v=V06m2TDdvfA&feature=related

Selamat mendengar dan mengambil pengajaran.

Monday, April 11, 2011

CINTA YANG MEMBINASAKAN....

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ
وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّـهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Dihiasi indah bagi manusia kecintaan terhadap perempuan dan anak-anak dan harta benda yang banyak dari emas dan perak, kuda-kuda pilihan, binatang ternakan dan sawah ladang. Yang demikian itu adalah kesenangan hidup dunia. Dan di sisi Allah sebaik-baik tempat kembali ( Ali Imran: 14-16 )

Kecenderungan nafsu yang membawa kepada cinta ini. Cinta yang merosakkan... yang membutakan mata hati....yang meleburkan iltizam ..yang mengendurkan semangat jihad...yang melunturkan keperibadian para daie.....

Dunia perjuangan jadi sempit...berat terasa untuk keluar berjihad meninggalkan anak isteri..akhirnya perjuangan hancur di tangan para daie sendiri.

Justeru ya abnaie...istiqamahlah dengan amal ruhi mu demi mentazkiyyah nafsu dari perangkap CINTA DUNIA yang membinasakan....

Dipetik dari http://takwinfardilmuslim.blogspot.com/